Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1827 : APAKAH HUKUM MANDI WAJIB BAGI SESEORANG YANG MEMILIKI GAYA POTONGAN RAMBUT YANG BERGARIS ATAU BERCORAK (QAZA’)

 

AK 1827

 

SOALAN

Assalamualaikum WBT. Apakah hukum mandi wajib bagi seseorang yang memiliki potongan gaya rambut yang bergaris atau bercorak (qaza’)?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Sah mandi wajib seseorang itu sekiranya dia melakukan rukun mandi wajib dengan sempurna dan memastikan keadaan rambut tersebut tidak menghalang air untuk sampai ke semua rambut dan pangkalnya.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga Baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Maksud Qaza’

Secara umumnya, definisi qaza’ ialah:

حَلْقُ بَعْضِ الرَّأسِ دُونَ بَعْضٍ

Maksudnya: “Mencukur sebahagian rambut tanpa sebahagian yang lain”.

(Lihat: Al-Misbah al-Munir, 502)

Manakala Imam al-Nawawi pula mendefiniskan qaza’ seperti berikut:

يُحْلَقُ بَعْضُ رَأْسِ الصَّبِيِّ وَيُتْرَكُ بَعْضٌ

Maksudnya: “Mencukur sebahagian rambut seorang anak dan meninggalkan sebahagian yang lain”.

(Lihat: Minhaj Syarh Muslim, 14/101)

Berdasarkan definisi di atas dapat difahami bahawa qaza’ ialah perbuatan seseorang yang memotong atau mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian rambut yang lain bagi tujuan mengikuti fesyen potongan rambut tertentu. Antara contoh potongan rambut termasuklah fesyen yang berbentuk skin fade, taper fade, flat top, pompadour, 4am fade dan lain-lain.

Terdapat beberapa hadis yang melarang perbuatan qaza’ seperti yang diriwayatkan oleh Ubaidullah bin Hafs RA:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَنْهَى عَنِ الْقَزَعِ‏.‏ قَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ قُلْتُ وَمَا الْقَزَعُ فَأَشَارَ لَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ قَالَ إِذَا حَلَقَ الصَّبِيَّ وَتَرَكَ هَا هُنَا شَعَرَةً وَهَا هُنَا وَهَا هُنَا‏.‏ فَأَشَارَ لَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ إِلَى نَاصِيَتِهِ وَجَانِبَىْ رَأْسِهِ‏.‏ قِيلَ لِعُبَيْدِ اللَّهِ فَالْجَارِيَةُ وَالْغُلاَمُ قَالَ لاَ أَدْرِي هَكَذَا قَالَ الصَّبِيِّ‏.‏ قَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ وَعَاوَدْتُهُ فَقَالَ أَمَّا الْقُصَّةُ وَالْقَفَا لِلْغُلاَمِ فَلاَ بَأْسَ بِهِمَا وَلَكِنَّ الْقَزَعَ أَنْ يُتْرَكَ بِنَاصِيَتِهِ شَعَرٌ، وَلَيْسَ فِي رَأْسِهِ غَيْرُهُ، وَكَذَلِكَ شَقُّ رَأْسِهِ هَذَا وَهَذَا

Maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah SAW melarang qaza’. Ubaidullah berkata, aku berkata, “Apakah qaza’ itu?” Ubaidullah mengisyaratkan kepada kami dan berkata, “Apabila seorang anak dicukur dan ditinggalkan rambutnya di sini dan di sini serta di sini”. Ubaidullah mengisyaratkan pada kami kepada ubun-ubun dan kedua sisi kepalanya. Ubaidullah ditanya, “anak perempuan dan anak lelaki?”. Dia berkata “Saya tidak tahu”. Dia mengatakan, “seorang anak”. Ubaidullah berkata aku pun kembali bertanya, maka dia berkata rambut pelipis dan bahagian tengkuk bagi anak lelaki tidak mengapa. Qaza’ adalah meninggalkan rambut di bahagian ubun-ubun sementara tidak ada rambut di kepalanya. Demikian pula membelah rambut kepalanya begini dan begini.

Riwayat Bukhari (5920)

Selain itu terdapat larangan melakukan qaza’ dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ الْقَزَعِ ‏.‏ قَالَ قُلْتُ لِنَافِعٍ وَمَا الْقَزَعُ قَالَ يُحْلَقُ بَعْضُ رَأْسِ الصَّبِيِّ وَيُتْرَكُ بَعْضٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melarang melakukan qaza’. Aku bertanya kepada Nafi’, apakah itu qaza’? Nafi’ menjawab mencukur sebahagian rambut anak kecil dan membiarkan sebahagian yang lain”.

Riwayat Muslim (2120)

Berdasarkan kedua-dua hadis di atas jelas menunjukkan tentang larangan perbuatan qaza’ dalam Islam iaitu memotong atau mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Imam al-Nawawi menyatakan dalam penulisannya:

يكره القزع وهو حلق بعض الرأس سواء كان متفرقا أو من موضع واحد لحديث (الصحيحين) بالنهي عنه

Maksudnya: Makruh (perbuatan) Qaza’ iaitu mencukur sebahagian kepala sama ada di tempat yang berbeza atau di tempat yang sama berdasarkan hadis (Bukhari dan Muslim) yang disebut larangannya.

(Lihat: Raudhah al-Talibin, 3/234)

Ini bermakna para ulama telah bersepakat bahawa qaza’ adalah perbuatan yang makruh sekiranya dilakukan pada tempat yang berbeza atau di tempat yang sama. Walau bagaimanapun, qaza’ diharuskan untuk tujuan perubatan atau seumpamanya dan hukum ini terpakai ke atas lelaki dan perempuan.

(Lihat: Fathu al-Bari Syarh Sahih Muslim, 10/378)

Berbalik kepada persoalan di atas, apakah hukum mandi wajib bagi seseorang yang memiliki potongan gaya rambut yang bergaris atau bercorak (qaza’)? Bagi menjawab persoalan ini, hukum mandi wajib adalah sah sekiranya seseorang itu telah melaksanakan rukun mandi wajib dengan sempurna iaitu:  

1. Niat

2. Meratakan air ke seluruh anggota badan termasuk seluruh helaian rambut, pangkalnya, kuku dan seumpamanya.

(Lihat: Busyra al-Karim Bi Syarh Masail al-Ta’lim, 132)

Penekanan terhadap meratakan air pada seluruh badan sehingga setiap rambut dan pangkalnya disabdakan oleh Rasulullah SAW ketika Baginda ditanya oleh Ummu Salamah RA:

يَا رَسُولَ الله إِنِّي امْرَأَة أَشد ضفر رَأْسِي فأنقضه لغسل الْجَنَابَة قَالَ لَا إِنَّمَا يَكْفِيكِ أَنْ تَحْثِي عَلَى رَأْسِكِ ثَلَاثَ حَثَيَاتٍ ثُمَّ تُفِيضِينَ عَلَيْكِ الْمَاءَ فَتَطْهُرِينَ

Riwayat Muslim (348)

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku wanita yang tebal sanggul kepalaku, adakah aku perlu menguraikannya untuk mandi junub. Baginda berkata tidak, memadailah engkau jiruskan tiga raup air di atas kepala kemudian meratakan air ke atas kamu. Maka dengan cara itu, sucilah engkau”.

Berdasarkan hadis ini, Nabi SAW menjelaskan bahawa tidak wajib membuka ikatan rambut asalkan diyakini bahawa air mampu menyentuh semua bahagian rambut dan pangkalnya. Oleh itu, jika seseorang melaksanakan kedua-dua rukun mandi wajib tersebut, maka sah dan sempurna mandi wajibnya.

(Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 4/12)

Sebagai kesimpulan, mandi wajib seseorang itu adalah sah sekiranya memiliki rambut yang bergaris atau bercorak selagimana keadaan rambut tersebut tidak menghalang air untuk sampai ke semua rambut dan pangkalnya. Walau bagaimanapun, menghindari melakukan qaza’ adalah lebih baik dari melakukannya.

 

RUJUKAN

  • Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. (2002). Sahih al-Bukhari. Beirut: Dar Ibn Kathir. 1. p.1490.
  • Ahmad ibn Muhammad Fayyumi. Al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Sharh al-Kabir lil Imam al-Rafi’i. Kaherah: al-Matba’at al-Bahiyah al-Misriah. p.502.
  • Al-Nawawi, Muhyiddin Abu Zakaria bin Sharaf. (t) Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin. Beirut. Jil.3, p.234.
  • Al-Nawawi, Yahya bin Sharaf. t. Al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabiy. cet.1. Jil. 14, p.143.
  • Al-Nawawi, Muhyiddin Abu Zakaria bin Sharaf. (2005). Al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim. Beirut: Dar al-Minhaj. p.12.
  • Muslim, Muslim Ibn al-Hajjaj Qushayri Al-Naisaburi. (t.t). Sahih Muslim, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabiy. Jil. 2.
  • Sa’id bin Muhammad Ali Ba’asyan. 2004. Busyra al-Karim bi Syarh Masail al-Ta’lim. Beirut: Dar al-Minhaj. p.132.