Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2025: HUKUM MEMBERI NAMA ANAK YANG KEGUGURAN TANPA TAHU JANTINA

HUKUM_MEMBERI_NAMA_ANAK_YANG_KEGUGURAN_TANPA_TAHU_JANTINA.jpg

Soalan

Assalamualaikum, saya ada pertanyaan berkaitan nama anak. Isteri saya mengalami keguguran setelah lebih 5 bulan dalam kandungan. Tapi saya tak tahu jantina anak saya kerana doktor tak dapat pastikan jantina janin masa itu. Jadi, macam mana saya nak bagi nama anak saya? Saya keliru nak letak nama lelaki atau nama perempuan. Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Janin yang gugur setelah empat bulan dalam kandungan disunatkan untuk diberi nama oleh bapa dengan nama-nama yang baik mengikut jantina janin tersebut. Sekiranya jantina anak tersebut tidak dapat dikenal pasti, berilah apa-apa nama yang sesuai untuk kedua-dua jantina. Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan

Anak-anak bukan sahaja hadiah dan amanah teragung kepada pasangan suami isteri bahkan anak yang soleh merupakan harta berharga bagi kedua ibu bapa di dunia dan di akhirat. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

إِذَا مَاتَ الإنْسَانُ انْقَطَعَ عنْه عَمَلُهُ إِلَّا مِن ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِن صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو له

Maksudnya: “Amalan seorang manusia akan terputus apabila dia meninggal dunia kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.”

(Riwayat Muslim)

Memberikan nama anak yang baru lahir disunatkan pada hari ketujuh selepas kelahiran. Namun begitu, diharuskan untuk memberikan nama sebelum daripada hari ketujuh tersebut seperti pada hari kelahiran.[1]

Berdasarkan kitab Nihayah al-Muhtaj, disunatkan memberikan nama kepada janin yang gugur semasa tempoh hamil dengan nama-nama yang baik mengikut jantina janin tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya janin tersebut tidak dapat dikenal pasti jantina kerana janin masih tidak sempurna sifat atau berlaku sebarang masalah lain yang menghalang penetapan jantina, maka disunatkan memberi nama yang sesuai untuk kedua-dua jantina sama ada lelaki atau perempuan seperti Talhah dan Hindun[2].

Maksud janin gugur yang sunat diberikan nama ialah janin yang telah ditiupkan roh iaitu setelah empat bulan dalam kandungan. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW:

إنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكونُ في ذلكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذلكَ، ثُمَّ يَكونُ في ذلكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذلكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ المَلَكُ فَيَنْفُخُ فيه الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ، أَوْ سَعِيدٌ

Maksudnya:Setiap seorang daripada kamu ditempatkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu juga, kemudian menjadi mudhghah selama itu juga; kemudian Allah mengutuskan seorang malaikat untuk ditiupkan ruh kepadanya. Kemudian diperintahkan kepadanya empat perkara: Tulislah rezeki, ajal dan amalannya, serta sedih atau bahagianya.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa ulama bersepakat roh ditiupkan selepas empat bulan dalam kandungan[3]. Oleh itu, pasangan ibu bapa yang diuji dengan kehilangan cahaya mata kerana berlaku keguguran selepas empat bulan kehamilan disunatkan untuk memberikan nama-nama yang baik kepada janin mereka.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad. (1994). Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. Dar al-Kutub al-‘Alamiyyah. Jilid 6, Hlmn. 140.

(وَ) يُسَنُّ أَنْ (يُسَمَّى فِيهِ) أَيْ السَّابِعِ كَمَا فِي الْحَدِيثِ الْمَارِّ أَوَّلَ الْفَصْلِ، وَلَا بَأْسَ بِتَسْمِيَتِهِ قَبْلَهُ، وَذَكَرَ الْمُصَنِّفُ فِي أَذْكَارِهِ أَنَّ السُّنَّةَ تَسْمِيَتُهُ يَوْمَ السَّابِعِ أَوْ يَوْمَ الْوِلَادَةِ

[2] Al-Ramli, Muhammad bin Ahmad. (1984) Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Mihaj. Beirut: Dar al-Fikr. Jilid 8 hlmn 147.

أَنْ (يُسَمَّى فِيهِ) لِلْخَبَرِ الصَّحِيحِ وَإِنْ مَاتَ قَبْلَهُ بَلْ يُنْدَبُ تَسْمِيَةُ سِقْطٍ نُفِخَتْ فِيهِ رُوحٌ، فَإِنْ لَمْ يُعْلَمْ لَهُ ذُكُورَةٌ وَلَا أُنُوثَةٌ سُمِّيَ بِاسْمٍ يَصْلُحُ لَهُمَا كَطَلْحَةَ وَهِنْدٍ

[3] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. (1392H). Al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi. Jilid 16, hlmn. 191.

‌وَاتَّفَقَ ‌الْعُلَمَاءُ ‌عَلَى ‌أَنَّ ‌نَفْخَ ‌الرُّوحِ ‌لَا ‌يَكُونُ ‌إِلَّا ‌بَعْدَ ‌أَرْبَعَةِ ‌أَشْهُرٍ