IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-54: ADAKAH RUSA BOLEH DIJADIKAN HAIWAN SEMBELIHAN UNTUK IBADAT KORBAN?

 

IF_Haji_Korban_54.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum, saya ada soalan untuk ditanya, hukum korbankan rusa untuk hari raya qurban boleh atau tidak?

RINGKASAN JAWAPAN:

Tidak harus untuk menjadikan rusa sebagai haiwan sembelihan dalam ibadat korban meskipun rusa tersebut merupakan haiwan ternakan bagi seseorang pengusaha. Hal ini kerana, ibadat korban merupakan ibadat yang dikhususkan ke atas An’am iaitu haiwan ternakan yang boleh dizakatkan dan rusa tidak termasuk dalam kategori tersebut.

WallahuA’lam.

 

HURAIAN JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sesungguhnya ibadat korban ialah suatu ibadat menyembelih haiwan bagi tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT hukum perlaksanaannya adalah sunat ke atas umat islam dalam tempoh 10 hingga 13 zulhijah.

Oleh itu, bagi menjawab pesoalan yang diajukan perlu fahami terlebih dahulu sepotong ayat yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۗ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.”

(Surah al Haj: 34)

Berdasarkan ayat berikut, dapat difahami bahawa pensyariatan ibadat korban ke atas umat Islam sebagai tanda syukur terhadap rezeki Allah dengan menyembelih binatang ternakan. Oleh yang demikian agama Islam telah meletakkan syarat dan ciri-ciri bagi haiwan yang harus untuk dijadikan sembelihan dalam ibadat korban.

Haiwan yang ingin dijadikan sembelihan korban mestilah haiwan dalam kategori haiwan ternakan yang jinak atau haiwan yang boleh dikeluarkan zakat. Menurut Imam Nawawi di dalam karangannya tentang syarat dalam ibadat korban: “Haiwan yang disembelih itu mestilah daripada haiwan ternakan iaitu: unta, lembu dan kambing sama ada jantan atau betina, dan kesemua ini telah disepakati.” 

(Rujuk Raudhah al Tholibin: 3/193)

Tambahan lagi, ibadat korban ini adalah ibadat yang bersangkut-paut dengan binatang dan Islam telah mengkhususkan haiwan bagi ibadat tersebut seperti yang dinyatakan dalam karya Imam Khatib Syirbini:

التَّضْحِيَةَ عِبَادَةٌ تَتَعَلَّقُ بِالْحَيَوَانِ فَتَخْتَصُّ بِالنَّعَمِ كَالزَّكَاةِ، فَلَا يُجْزِئُ غَيْرُ النَّعَمِ مِنْ بَقَرِ الْوَحْشِ وَغَيْرِهِ

Maksudnya: “Korban ialah ibadat yang berkaitan dengan haiwan dan ia dikhususkan dengan haiwan ternakan seperti zakat, maka tidak sah (korban) selain daripada haiwan Na’am seperti lembu liar dan seumpamanya.”

(Rujuk Mughni al Muhtaj: j6/125)

Berdasarkan kepada kenyataan daripada kedua-dua tokoh mazhab Syafie, haiwan seperti unta, lembu, kambing dan seumpama dengannya seperti kerbau, biri-biri atau kibas sahaja antara haiwan termasuk dalam kumpulan haiwan ternakan. Maka, haiwan seperti rusa tidak boleh dijadikan haiwan korban kerana ia termasuk dalam kategori haiwan liar dan bukan ternakan di sisi Syarak.

Kesimpulannya:

Tidak harus untuk menjadikan rusa sebagai haiwan sembelihan dalam ibadat korban meskipun rusa tersebut merupakan haiwan ternakan bagi seseorang pengusaha. Hal ini kerana, ibadat korban merupakan ibadat yang dikhususkan ke atas An’am iaitu haiwan ternakan yang boleh dizakatkan dan rusa tidak termasuk dalam kategori tersebut.

Wallahu A’lam.

 

Rujukan:

[1] An-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Sharaf.  1412H/1991M. Cetakan: 3. Raudhah al Tolibin. Tahqiq: Zuhair al Syawish. Al Maktab al-Islami: Beirut

[2] Al-Syirbini, Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib. 1994M/1415H. cetakan 1. Mughni al Muhaj Ila Makrifat Ma’ani alfaz al-Minhaj. Dar Kutub al-Ilmiah.

 

 


Print   Email