Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE-59: ADAKAH BOLEH BERPUASA PADA HARI ARAFAH JIKA TIDAK BERPUASA BERMULA DARI 1 ZULHIJAH

IFH59

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Mufti , saya ada persoalan yang ingin diajukan berkenaan puasa hari Arafah. Apakah hukum berpuasa pada hari Arafah sahaja sekiranya dia tidak berpuasa bermula dari satu Zulhijah. Adakah perlu diiring dengan puasa sebelum itu?

Sekian, terima kasih Dato’.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Seseorang yang ingin berpuasa pada hari Arafah tidak wajib berpuasa pada lapan hari sebelum hari Arafah memandangkan hadis yang meriwayatkan tentang kelebihan berpuasa pada hari tersebut tidak mensyaratkan agar berpuasa pada hari yang sebelumnya. Bahkan terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa Nabi SAW pernah meninggalkan beberapa hari sebelum hari Arafah dan berpuasa pada sebahagian hari yang lain. Oleh itu, seseorang itu boleh berpuasa pada hari Arafah dan memilih untuk berpuasa pada keseluruhan hari sebelumnya atau berpuasa pada sebahagian daripada hari-hari tersebut.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Hari Arafah merupakan hari yang kesembilan dalam bulan Zulhijah. Jemaah Haji akan melakukan wukuf di padang Arafah pada ketika itu. Umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada hari tersebut kerana terdapat ganjaran yang besar bagi orang yang menunaikannya. Ganjaran yang dimaksudkan ialah pengampunan dosa oleh Allah SWT bagi setahun sebelum dan selepasnya. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Bermaksud: Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun selepasnya.

Riwayat Muslim (1162)

Imam al-Nawawi menjelaskan makna hadis di atas dosa-dosa orang yang berpuasa pada hari Arafah akan diampunkan untuk dua tahun. Para ulama berkata dosa yang dimaksudkan di sini ialah dosa-dosa kecil. Sekiranya mereka yang berpuasa itu tidak mempunyai dosa-dosa kecil maka akan diberikan keringanan bagi dosa-dosa besar dan sekiranya tiada dosa-dosa besar maka akan diangkat darjatnya.[1]

(Rujuk: Syarh al-Nawawi ala Muslim, 8/51)

Sementara itu, terdapat hadis lain yang menyebut berkenaan bahawa Nabi SAW tidak berpuasa pada hari-hari sebelum hari Arafah. Hadis ini diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:

‌مَا ‌رَأَيْتُ ‌رَسُولَ ‌اللَّهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌صَائِمًا ‌فِي ‌الْعَشْرِ ‌قَطُّ

Bermaksud: Aku tidak melihat Rasulullah SAW berpuasa pada sepuluh hari Zulhijah.

Riwayat Muslim (1176)

Imam al-Nawawi menjelaskan hadis ini bahawa maksud الْعَشْرِ adalah sembilan hari Zulhijah bermula dari awal bulan.[2]

(Rujuk: Syarh al-Nawawi ala Muslim, 8/72)

Menurut Imam al-Nawawi sebahagian ulama berpendapat tentang hadis di atas dengan takwilan bahawa Aisyah RA tidak melihat Nabi SAW berpuasa bukan bermakna Baginda SAW meninggalkannya. Ini kerana Baginda SAW adakalanya bersama dengan Aisyah RA selama satu hari dari sembilan hari Zulhijah. Manakala hari-hari yang lain Baginda SAW bersama isteri-isterinya yang lain, ataupun kemungkinan Baginda SAW berpuasa pada sebahagian hari pada awal Zulhijah dan berpuasa sebahagian hari hari yang lain. Adakala Nabi SAW berpuasa pada keseluruhan hari dan ada ketika Baginda SAW tidak berpuasa sehari pun dari hari-hari terawal Zulhijah. Ada juga yang mentakwil bahawa Baginda SAW tidak berpuasa Zulhijah atas sebab-sebab tertentu seperti musafir, sakit atau sebab-sebab yang lain.[3]

(Rujuk: Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 6/387)

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa dosa-dosa yang diampun oleh Allah SWT bagi orang yang berpuasa pada hari Arafah adalah dosa-dosa kecilnya atau diringankan dosa-dosa besarnya atau diangkat darjatnya ke beberapa darjat. Seseorang yang ingin berpuasa pada hari Arafah tidak wajib berpuasa pada lapan hari sebelum hari Arafah memandangkan hadis yang diriwayatkan berkenaan kelebihan berpuasa pada hari tersebut tidak mensyaratkan agar berpuasa pada hari yang sebelumnya. Bahkan terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa Nabi SAW pernah meninggalkan beberapa hari sebelum hari Arafah dan berpuasa pada sebahagian hari yang lain. Oleh itu, seseorang itu boleh berpuasa pada hari Arafah dan memilih untuk berpuasa pada keseluruhan hari sebelumnya atau berpuasa pada sebahagian daripada hari-hari tersebut.

 [1] مَعْنَاهُ يُكَفِّرُ ذُنُوبَ صَائِمِهِ فِي السَّنَتَيْنِ قَالُوا وَالْمُرَادُ بِهَا الصَّغَائِرُ وَسَبَقَ بَيَانُ مِثْلِ هَذَا فِي تَكْفِيرِ الْخَطَايَا بِالْوُضُوءِ وَذَكَرْنَا هُنَاكَ أَنَّهُ إِنْ لَمْ تَكُنْ صَغَائِرُ يُرْجَى التَّخْفِيفُ مِنَ الْكَبَائِرِ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ رُفِعْتَ دَرَجَاتٍ.

 [2] وَالْمُرَادُ بِالْعَشْرِ هُنَا الْأَيَّامُ التِّسْعَةُ مِنْ أَوَّلِ ذِي الْحِجَّةِ.

 [3] متأول علي انها لم تره ولا يَلْزَمْ مِنْهُ تَرْكُهُ فِي نَفْسِ الْأَمْرِ لِأَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَكُونُ عِنْدَهَا فِي يَوْمٍ مِنْ تِسْعَةِ أَيَّامٍ وَالْبَاقِي عِنْدَ بَاقِي أُمَّهَاتِ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُنَّ أَوْ لَعَلَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَصُومُ بَعْضَهُ فِي بَعْضِ الْأَوْقَاتِ وَكُلَّهُ فِي بَعْضِهَا وَيَتْرُكُهُ فِي بَعْضِهَا لِعَارِضِ سَفَرٍ أَوْ مَرَضٍ أَوْ غَيْرِهِمَا