Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE - 63 : WARNA HAIWAN KORBAN YANG UTAMA

 

 

 

UTAMA

 

Soalan:

Assalamualaikum. Benarkah terdapat jenis-jenis warna haiwan korban yang diutamakan berbanding warna lain ? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Pemilihan warna haiwan korban disunatkan mengikut keutamaan seperti turutan berikut:

  1. Putih
  2. Kuning
  3. Kelabu
  4. Merah
  5. Belang putih dan hitam
  6. Hitam

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Kriteria pemilihan haiwan korban yang utama adalah dari sudut sempurna fizikalnya mahupun keutamaan warnanya. Terdapat beberapa riwayat berkaitan permilihan warna haiwan korban.

Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

قَالَ: «ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا»

Maksudnya: “Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor jantan kibasy (kambing biri-biri) putih kehitaman lagi bertanduk, Baginda menyembelih keduanya dengan tangannya, lalu mengucapkan basmallah serta bertakbir, dan Baginda meletakkan kakinya di antara leher dan badan kedua haiwan tersebut "

Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966)

Maksud “أَمْلَحَيْنِ” daripada الْأَمْلَحُ (amlah) menurut Ibn  al-‘Arabi  ialah putih bersih sementara al-Asma’i menyatakan putih bertompok warna kehitaman. [1] Sebahagian pendapat ulama lain menyatakan warna putih lebih banyak daripada hitam dan atasnya warna merah. [2]

Sementara Imam al-Munawi menyatakan الْأَمْلَحُ (amlah) ialah  warna  putih dan hitam yang mana putihnya lagi banyak atau disebut  الأغبر (aghbar) atau warna hitam di celah bulunya   dan warna putihnya bersih seperti garam   atau atasnya warna kemerahan. Pemilihan sifat warna haiwan tersebut kerana elok penampilannya atau kerana banyak lemak dan dagingnya. Justeru itu, orang yang melaksanakan ibadah korban mestilah memilih jenis haiwan yang paling terbaik, sempurna fizikalnya dan paling gemuk.  [3]

Sementara Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyatakan pemilihan haiwan korban mengikut  keutamaan warna :

اسْتِحْبَابُ اسْتِحْسَانِ لَوْنِ الْأُضْحِيَّةِ وَقَدْ أَجْمَعُوا عَلَيْهِ قَالَ أَصْحَابُنَا أَفْضَلُهَا الْبَيْضَاءُ ثُمَّ الصَّفْرَاءُ ثُمَّ الْغَبْرَاءُ وَهِيَ الَّتِي لَا يَصْفُو بَيَاضُهَا ثُمَّ الْبَلْقَاءُ وَهِيَ الَّتِي بَعْضُهَا أَبْيَضُ وَبَعْضُهَا أَسْوَدُ ثم السوداء

“Fuqaha mazhab Syafi’i menyatakan sunat memilih haiwan korban berdasarkan warna yang terbaik dan mereka bersepakat tentang perkara itu. Menurut ulama kami bahwa warna yang paling afdal haiwan sembelihan korban ialah putih, kemudian warna kuning, seterusnya warna kelabu iaitu tidak putih bersih, kemudian warna al-balqa’ iaitu sebahagian warna putih dan sebahagian warna hitam (belang) kemudian warna  hitam.[4]

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

دَمُ عفراءَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ دَمِ سَوداوين".

Maksudnya: “Darah binatang korban yang kulitnya berwarna kelabu lebih aku sukai berbanding dua ekor yang berwarna hitam”

Riwayat Ahmad

Warna الْعَفْرَاءُ ialah warna putih yang tidak terang, maka warna putih lebih afdal daripada warna lain. Selain warna putih juga masih sah dijadikan haiwan korban seperti yang dinyatakan dalam hadis Bukhari sembelihan haiwan kibasy yang berwarna amlah “أَمْلَح” / aghbarالأغبر (lebih banyak putih  dari hitam). [5]

Sementara itu, fuqaha al-Bujairimi menambah warna merah dalam sususan keutaman pemilihan warna haiwan korban:

وَأَفْضَلُهَا الْبَيْضَاءُ ثُمَّ الصَّفْرَاءُ ثُمَّ الْعَفْرَاءُ ثُمَّ الْحَمْرَاءُ ثُمَّ الْبَلْقَاءُ ثُمَّ السَّوْدَاءُ

Mengutamakan haiwan korban berwarna putih, kemudian kuning, kelabu, merah, seterusnya warna belang putih hitam dan hitam.”[6]

PENUTUP

Berdasarkan perbahasan yang dikemukakan, warna yang paling afdal haiwan sembelihan korban ialah putih, kemudian warna kuning, seterusnya warna kelabu, merah kemudian warna  belang putih hitam dan warna  kehitaman.

 

Rujukan :

[1] Al-Nawawi, 1392, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Bayrut : Dar al-Ihya’ Turath al-Arabi. J: 13 P: 120

قال بن الْأَعْرَابِيِّ وَغَيْرُهُ الْأَمْلَحُ هُوَ الْأَبْيَضُ الْخَالِصُ الْبَيَاضِ وَقَالَ الْأَصْمَعِيُّ هُوَ الْأَبْيَضُ وَيَشُوبُهُ شَيْءٌ مِنَ السواد

[2] Zakariya al-Ansari. tth. Asna al-Matalib fi Syarh Raud Thalib, Dar al-Kitab Islami , J:1 P: 534

وَقِيلَ: الَّذِي بَيَاضُهُ أَكْثَرُ مِنْ سَوَادِهِ وَقِيلَ: الَّذِي يَعْلُوهُ حُمْرَةٌ

[3] Al-Munawi, 1356, Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ Shaghir, Mesir : Maktabah al-Tijari al -Kubra   J : 5 P: 227

أملح بمهملة وهو الذي فيه سواد وبياض والبياض أكثر أو الأغبر أو الذي في خلل صوفه طاقات سوداء والأبيض الخالص كالملح أو الذي يعلوه حمرة وإنما اختار هذه الصفة لحسن منظره أو لشحمه وكثرة لحمه وقيه أن المضحي ينبغي أن يختار الأفضل نوعا والأكمل خلقا والأحسن سمنا

[4] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, Dar al-Ihya al-Turath al-‘Arabiy, Beirut, jld. 13, hlmn. 120

[5] Ibn Kathir, t.t.h. Tafsir al-Quran al-‘Azim. Dar al-Taybah Li Nasyar wa Tauzi’ J :5 P: 421

 قَالُوا: وَالْعَفْرَاءُ هِيَ الْبَيْضَاءُ بَيَاضًا لَيْسَ بِنَاصِعٍ، فَالْبَيْضَاءُ أَفْضَلُ مِنْ غَيْرِهَا، وَغَيْرُهَا يُجْزِئُ أَيْضًا؛ لِمَا ثَبَتَ فِي صَحِيحِ الْبُخَارِيِّ،

 عَنْ أَنَسٍ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَحَّى بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ (3) .

[6] Al-Bujairimi, 1950.  Hasiyah al-Bujairimi ‘ala Syarah Minhaj, J: 4 P: 297