Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-106 : ISU APPS & AZAN ZUHUR LEWAT SATU JAM DI BANGLADESH

 

Soalan:

Kami para petugas perubatan di Malaysian Field Hospital Cox’s Bazar Bangladesh pada bulan Ramadhan. Waktu solat dan iftar kami rujuk kepada Apps MuslimPro yang kami yakini tepat dan terpakai. Namun masjid setempat yang bermazhab Hanafi biasanya azan lewat sejam terutamanya waktu Zuhur & Asar. Waktu Subuh pula azannya lewat berbanding waktu pada Apps. Yang manakah perlu kami ikuti terutamanya untuk menentukan waktu Sahur, solat & Iftar?

 

Jawapan:

Mukadimah

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami bahagikan jawapan kepada kepada dua isu perbahasan;

  • Khilaf ulama berkenaan waktu-waktu solat
  • Hukum melewatkan Azan
  • Hukum mengikut waktu solat pada Apps

 

Khilaf ulama berkenaan waktu-waktu solat

Kami merujuk kepada kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (7/171-174) untuk melihat perbincangan ulama tentang waktu Subuh, Zuhur dan Asar.

i-  Waktu Subuh

“Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha pada menyatakan waktu bermula Subuh adalah apabila terbitnya fajar sadiq… dan tanda-tandanya ialah remang putih pada ufuk secara mendatar (dan berterusan).”

ii- Waktu Zuhur

Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha pada menyatakan waktu bermula Zuhur dari gelincirnya matahari dari pertengahan langit menghadap ke barat.”

iii- Waktu Asar

Adapun permulaan waktu Asar di sisi Sahibain (Dua ulama besar mazhab Hanafi, Abu Yusuf dan Muhammad) dan Jumhur fuqaha adalah apabila bayang-bayang objek tersebut lebih panjang daripada objek, manakala di sisi Abu Hanifah perlu lebih panjang dari dua kali bayang-bayang.”

iv- Waktu Maghrib

“Tiada khilaf antara para fuqaha pada menyatakan bahawa permulaan waktu Maghrib itu adalah apabila tenggelamnya matahari.”

Hukum Melewatkan Azan

Dalam kitab al-Mabsut (1/146), kitab rujukan mazhab Hanafi, Imam al-Sarakhsi Rahimahullah berkata:

وَالْأَفْضَلُ فِي صَلَاةِ الظُّهْرِ أَنْ يُؤَخِّرَهَا وَيُبَرِّدَ بِهَا فِي الصَّيْفِ وَفِي الشِّتَاءِ يُعَجِّلُهَا بَعْدَ الزَّوَالِ وَقَالَ الشَّافِعِيُّ  رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ  إنْ كَانَ يُصَلِّي وَحْدَهُ يُعَجِّلُهَا بَعْدَ الزَّوَالِ فِي كُلِّ وَقْتٍ وَإِنْ كَانَ يُصَلِّي بِالْجَمَاعَةِ يُؤَخِّرُ يَسِيرًا وَاسْتَدَلَّ بِحَدِيثِ خَبَّابِ بْنِ الْأَرَتِّ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ - قَالَ شَكَوْنَا إلَى رَسُولِ اللَّهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  حَرَّ الرَّمْضَاءِ فِي خِيَامِنَا فَلَمْ يُشْكِنَا أَيْ لَمْ يُجِبْنَا إلَى شَكْوَانَا فَدَلَّ أَنَّهُ كَانَ يُعَجِّلُ الظُّهْرَ وَأَصْحَابُنَا اسْتَدَلُّوا بِقَوْلِهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  أَبْرِدُوا بِالظُّهْرِ فَإِنَّ شِدَّةَ الْحَرِّ مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ» وَفِي حَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ  رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ  كَانَ النَّبِيُّ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  فِي سَفَرٍ فَلَمَّا زَالَتْ الشَّمْسُ جَاءَ بِلَالٌ لِيُؤَذِّنَ فَقَالَ لَهُ أَبْرِدْ هَكَذَا مِرَارًا فَلَمَّا صَارَ لِلتِّلَالِ فَيْءٌ قَالَ أَذِّنْ

Maksudnya: “Afdhal untuk melewatkan solat Zuhur dan solat dalam keadaan sudah sejuk pada musim panas dan untuk diawalkan pada musim sejuk apabila sudah gelincir matahari. Berkata al-Syafie RA: Sekiranya seseorang itu solat bersendirian hendaklah solat itu diawalkan pada setiap waktu solat dan sekiranya bersolat dengan jemaah, maka dilewatkan sedikit. Hukum ini berdasarkan hadis Khabbab bin al-Arat RA berkata: Kami mengadu kepada Rasulullah SAW akan panas teriknya di khemah-khemah kami lantas  baginda tidak menghiraukannya.”[1] Yakni tidak merespon terhadap apa yang kami adukan. Ini menunjukkan bahawa solat Zuhur itu hendaklah diawalkan. Ashab kami (Hanafiah) pula berdalil dengan sabda Baginda SAW: Sejukkanlah diri kamu pada waktu Zuhur kerana bersangatan panas itu datang dari terik neraka Jahannam. Manakala daripada hadis Abu Hurairah RA: Bahawa Nabi SAW ketika suatu perjalanan, apabila matahari sudah gelincir, Bilal datang untuk melaungkan azan. Lantas Baginda bersabda kepadanya: Tunggu sejuk dahulu. Ini berlaku beberapa kali sehingga bayang-bayang bukit memanjang. Lalu Baginda bersabda: Azanlah.[2]

Berdasarkan fakta di atas, kita memahami bahawa sunat hukumnya di sisi Mazhab Hanafi untuk melewatkan solat Zuhur apabila matahari menyinar dengan sangat terik pada waktu tengahari sehingga jika solat dilaksanakan pada waktu demikian maka akan mengganggu solat lantaran haba yang sangat panas. Hadis yang disebutkan diatas juga memberi kefahaman bahawa harus melewatkan azan Zuhur sehingga cuaca menjadi kurang panas agar manusia dapat berkumpul dan bersolat berjemaah dalam keadaan cuaca yang selesa.

 

Hukum mengikut waktu solat pada Apps

Salah satu daripada syarat sah solat adalah masuk waktu solat. Berkata pengarang kitab al-Taqrirat al-Sadidah (hal.199):

“Tidak sah solat melainkan selepas masuk waktu, sama ada secara yakin atau prasangka yang kuat berdasarkan ijtihad (usaha bersungguh untuk mengetahuinya).

Terdapat enam tingkatan cara mengetahui masuk waktu:

  1. Kemampuan untuk mengetahui dengan yakin seperti melihat tenggelamnya matahari
  2. Wujudnya orang yang dapat memberitahu berdasarkan ilmunya
  3. Jam (penentu masa) yang mujarrab (yang telah diuji sebagai berfungsi dengan tepat) atau tukang azan yang dipercayai ketika waktu gelap.[3]
  4. Berkemampuan untuk berijtihad bagi orang yang celik dengan suatu pekerjaan.[4]
  5. Berkemampuan untuk berijtihad bagi orang yang buta dengan suatu pekerjaan[5]

Justerum sekiranya aplikasi “Apps MuslimPro” telah diuji dan dipastikan sebagai tempat menunjukkan perubahan waktu solat, maka boleh digunakan sebagai penentu masuk waktu solat termasuk waktu sahur dan berbuka. Ini berdasarkan kategori yang ketiga yakni jam yang mujarrab. Jika tidak tepat, maka tidak boleh digunakan.

Kesimpulan

Berdasarkan isu yang dibangkitkan, serta perbincangan di atas, maka kami menyimpulkan beberapa keputusan berikut:

  • Para ulama tidak khilaf tentang kaedah masuk waktu solat Subuh, Zuhur dan Maghrib. Namun dalam mazhab Hanafi, waktu Asar adalah lebih lewat berbanding Jumhur ulama yakni apabila panjang bayang-bayang mesti lebih panjang daripada dua kali saiz suatu objek. Barangkali ini punca mengapa azan dan solat Asar di kawasan tersebut dilewatkan kerana mengikut mazhab Hanafi.
  • Adapun azan Subuh yang lewat, terdapat banyak kemungkinan yang berlaku. Mungkin kerana ijtihad berbeza-beza sedangkan ijtihad tidak membatalkan ijtihad yang lain. Sekiranya lebih diyakini Apps berkenaan berbanding muazzin maka ikutlah Apps berkenaan. Namun jika lebih percaya kepada muazzin, maka tinggalkan kiraan pada Apps berkenaan. Adapun jika berjaya melihat sendiri, contohnya fajar sadiq di ufuk langit, maka batallah mengikut Apps atau muazzin kerana itu adalah setinggi-tinggi tingkatan pengetahuan.
  • Waktu Zuhur tiada khilaf ulama pada waktu masuknya. Justeru, kami berpendapat masjid di tempat berkenaan sengaja melewatkan azan dan solat bukan kerana kiraan waktu masuk yang berbeza, tetapi kerana beramal dengan hadis untuk melewatkan azan dan solat ketika waktu yang sangat panas. Ini bagi memastikan orang berjemaah dalam dilaksanakan apabila waktu sudah redup dan solat berlaku dalam keadaan selesa. Pendapat ini boleh ditahqiqkan dengan bertanya sendiri kepada pengurusan masjid berkenaan.
  • Kami mencadangkan agar adab berbeza pendapat diraikan dengan bersungguh-sungguh supaya tidak menimbulkan fitnah. Ini dapat dilakukan dengan menerima uruf masyarakat setempat yang diurus oleh Ulil Amri tempat masing-masing. Tidak boleh bagi kita untuk membuat solat jemaah bagi solat Zuhur dan Asar lebih awal di masjid berkenaan kerana akan menimbulkan sangka buruk dalam kalangan masyarakat yang bermazhab Hanafi. Jika hendak melaksanakan solat Jemaah, boleh dilaksanakan dalam komuniti sendiri seperti hospital dan lain-lain. Inilah adab berbeza pandangan yang sebetulnya. Wallahua’lam.

Rujukan:

[1] Riwayat Imam Muslim (no.619)

[2] Riwayat Imam al-Bukhari (no.539)

[3] Sebahagian ulama memasukkan boleh menggunakan ayam yang terlatih untuk berbunyi apabila masuk waktu solat.

[4] Seperti dengan wirid bacaan al-Quran atau suatu pekerjaan yang menepati tempoh tertentu.

[5] Mereka yang berada pada kategori pertama boleh memilih kategori kaedah pertama dan kedua. Jika tiada, maka antara kaedah pertama dan ketiga. Begitu juga keempat. Adapun orang yang berada pada ketegori kedua tidak boleh menggantikan dengan kategori lain di bawahnya. Kategori ketiga boleh memilih sama ada kaedah ketiga atau ijtihad. Kategori keempat tidak boleh bertalid. Kategori kelima boleh memilih sama ada kaedah kelima atau taqlid.