Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 261: TATACARA SOLAT PADA HARI JUMAAT TERAKHIR DI BULAN RAMADAN YANG MAMPU MENGGANTIKAN SOLAT YANG DITINGGALKAN SELAMA 400 TAHUN?

TATACARA_SOLAT_PADA_HARI_JUMAAT_TERAKHIR_DI_BULAN_RAMADAN_YANG_MAMPU_MENGGANTIKAN_SOLAT_YANG_DITINGGALKAN_SELAMA_400_TAHUN.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum wrth, sesiapa yang solat empat rakaat dengan satu kali tasyahud pada hari Jumaat terakhir di bulan Ramadan maka akan diampunkan dosanya selama 400 tahun, benarkah amalan ini sabit daripada Rasulullah SAW? Saya ada terlihat video berkenaan perkara ini di Tiktok. Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Solat empat rakaat dengan satu kali tasyahud (tahiyat) pada hari Jumaat terakhir di bulan Ramadan dengan harapan dapat menggantikan solat yang ditinggalkan selama 400 tahun adalah suatu amalan yang tiada asal dan hanya rekaan semata-mata. Bahkan riwayat tersebut adalah palsu serta haram melakukannya menurut ulama mazhab Syafi'i.

Huraian Jawapan

Masyarakat pada hari ini mudah tertarik dengan hadis-hadis yang menceritakan berkenaan anjuran dan galakan dalam beramal terutama apabila ia melibatkan dalam bulan-bulan tertentu seperti bulan Ramadan dan ganjarannya begitu besar. Tular baru-baru ini di Tiktok satu video yang menceritakan berkenaan kelebihan solat empat rakaat dengan satu kali tasyahud pada hari Jumaat terakhir bulan Ramadan mampu menghapuskan dosa meninggalkan solat selama 400 tahun. Hasil carian mendapati riwayat yang dimaksudkan ialah seperti berikut:

من فاته صلاة في عمره ولم يحصها، فليقم في آخر جمعة من رمضان، ويصل أربع ركعات بتشهد واحد، يقرأ في كل ركعة فاتحة الكتاب وسورة القدر خمس عشرة مرة، وسورة الكوثر كذلك، ويقول في النية: نويت أصلي أربع ركعات كفارة لما فاتني من الصلاة قال أبو بكر : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " هي كفارة أربعمائة سنة "

Maksudnya: “Sesiapa yang pernah meninggalkan solat dan dia tidak mengetahui bilangannya maka dirikanlah solat di Jumaat terakhir Ramadan dengan empat rakaat satu tasyahud. Pada setiap rakaat dibaca Surah al-Fatihah lalu Surah al-Qadr dan Surah al-Kauthar sebanyak 15 kali. Hendaklah dia sebut dalam niatnya: Sahaja aku solat empat rakaat kafarah kepada solat yang telah aku tinggalkan. Abu Bakar RA menyebutkan bahawa aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Solat seperti ini menggantikan solat yang ditinggalkan selama 400 tahun.”

Riwayat ini tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis yang muktabar namun terdapat satu riwayat yang seakan-akan tujuannya dengan riwayat di atas ialah:

مَنْ صَلَّى فِي آخِرِ جُمُعَةٍ مِنْ رَمَضَانَ الْخَمْسَ الصَّلَوَاتِ الْمَفْرُوضَةَ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ قَضَتْ عَنْهُ مَا أَخَلَّ بِهِ مِنْ صَلاةِ سنَتِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan solat lima waktu pada Jumaat terakhir di bulan Ramadan sehari semalam maka ia telah menyempurnakan solatnya yang tidak sempurna selama setahun”

Imam al-Syaukani mengkritik hadis ini dengan menyebut bahawa hadis ini adalah hadis yang palsu bahkan beliau tidak menjumpai dalam mana-mana-mana kitab hadis palsu yang menyebutkan tentangnya. Tetapi hadis ini popular dalam kalangan penuntut ilmu fiqh di Sanaʻa’, Yaman pada zaman tersebut dan ramai yang melakukannya. Menurutnya lagi, dia tidak mengetahui siapa yang mereka-reka hadis ini dan menyampaikannya kepada mereka, semoga Allah memburukkan orang yang berdusta atas nama Nabi SAW.[1]

Apakah hukum mendirikan solat ini? menurut seorang ulama besar dalam mazhab Syafi'i, Sheikh Zainuddin al-Malibari solat ini termasuk dalam perkara yang diharamkan oleh syarak sepertimana yang disebut dalam karya beliau, Fath al-Mu'in:

أما الصلاة المعروفة ليلة الرغائب ونصف شعبان ويوم عاشوراء فبدعة قبيحة وأحاديثها موضوعة. قال شيخنا: كابن شبهة وغيره وأقبح منها ما اعتيد في بعض البلاد من صلاة الخمس في الجمعة الأخيرة من رمضان عقب صلاتها زاعمين أنها تكفر صلوات العام أو العمر المتروكة وذلك حرام.

Maksudnya: “Manakala solat yang dikenali sebagai malam al-Raghaib, Nisfu Syaʻban dan Hari Asyura adalah bidaah yang buruk dan hadis-hadisnya palsu. Guru kami seperti Ibn Syabhah dan selain beliau berkata, seburuk-buruk daripadanya ialah apa yang biasa diamalkan pada sesetengah negeri yang terdiri daripada solat lima waktu pada hari Jumaat terakhir di bulan Ramadan dengan mereka menyangka bahawa ia menggantikan solat-solat yang ditinggalkan setahun atau seumur hidup dan amalan ini adalah haram.”[2]

 

Kesimpulan

Solat empat rakaat dengan satu kali tasyahud pada hari Jumaat terakhir di bulan Ramadan dengan harapan dapat menggantikan solat yang ditinggalkan selama 400 tahun adalah suatu amalan yang tiada asal dan hanya rekaan semata-mata. Bahkan riwayat tersebut adalah palsu serta haram melakukannya.

Waallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad al-Syaukani, al-Fawa’id al-Majmuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah, ed. ‘Abd al-Rahman Yahya al-Muaʻallimi (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.t.), hlm. 54.

هَذَا: مَوْضُوعٌ لا إِشْكَالَ فِيهِ وَلَمْ أَجِدْهُ فِي شَيْءٍ مِنَ الْكُتُبِ الَّتِي جَمَعَ مُصَنِّفُوهَا فِيهَا الأَحَادِيثَ الْمَوْضُوعَةَ وَلَكِنَّهُ اشْتَهَرَ عِنْدَ جَمَاعَةٍ مِنَ الْمُتَفَقِّهَةِ بِمَدِينَةِ صَنْعَاءَ فِي عَصْرِنَا هَذَا وَصَارَ كَثِيرٌ مِنْهُمْ يَفْعَلُونَ ذَلِكَ وَلا أَدْرِي مَنْ وَضَعَهُ لَهُمْ. فَقَبَّحَ اللَّهُ الْكَذَّابِينَ.

[2] Zain al-Din Ahmad bin ‘Abd al-‘Aziz al-Malibari, Fath al-Muʻin bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din (t.tp.: Dar Ibn Hazm, t.t.), hlm. 170.