Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-409 : HUKUM MEMASAK ATAU MEMAKAN HAIWAN YANG MASIH HIDUP

IF 409 ikan mentah

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ingin bertanya, apakah hukum memasak atau memakan haiwan yang masih hidup (contohnya sotong kurita). Harap Datuk Mufti dapat memberi pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

(Surah al-Nahl : 90)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya (suruhan) berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya (tidak dimakan). (Lihat Tafsir al-Sadi, hlm. 447)

Berbuat baik kepada haiwan

Sebagai umat Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk. Ia merangkumi berbuat baik kepada manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam. Demikian juga, kita dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh haiwan melainkan bertujuan bagi mendapat manfaat darinya seperti memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda :

ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ : يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها

Maksudnya : “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya : Wahai Rasulullah! Apakah haknya? Baginda menjawab : Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.”

Riwayat al-Nasaie (4349)

Sehinggakan saat hendak menyembelih haiwan pun kita disuruh untuk berbuat ihsan (baik) kepadanya (haiwan tersebut), dengan mematikan (menyembelih) dengan cara yang terbaik. Rasulullah SAW bersabda mengenai perkara ini :

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu  menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Hadis ini secara jelas telah menyatakan mengenai kewajiban berlaku ihsan kepada setiap makhluk. Kata Syeikh al-Sa’di : “Maka termasuklah antaranya berbuat ihsan kepada kesemua kategori manusia, dan juga kepada haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut (untuk berlaku ihsan).” (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127).

Memasak atau memakan haiwan yang masih hidup

Terlebih dahulu, kita kena ketahui bahawa perkara ini tidak mungkin akan berlaku kepada haiwan yang hidup di darat kerana bagi menghalalkan dagingnya, ia hendaklah disembelih terlebih dahulu. Sekiranya haiwan tersebut tidak disembelih sebagaimana sembelihan yang telah ditetapkan oleh syarak, maka ia menjadi bangkai dan haram ke atas kita memakannya.

Begitu juga, apa-apa bahagian yang terpotong daripada haiwan ternakan (darat) yang masih hidup, menjadi bangkai. Sabda Nabi SAW :

ما قُطِعَ منَ البَهيمةِ وَهيَ حيَّةٌ فَهوَ ميتَةٌ

Maksudnya : “Apa-apa yang dipotong dari haiwan ternakan dalam keadaan ia masih hidup maka ia adalah bangkai.” Riwayat al-Tirmizi (1480)

Al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa :

وَالْجُزْءُ الْمُنْفَصِلُ مِنْ الْحَيَوَانِ الْحَيِّ ...كَمَيْتَتِهِ أَيْ ذَلِكَ الْحَيِّ : إنْ طَاهِرًا فَطَاهِرٌ، وَإِنْ نَجِسًا فَنَجِسٌ... فَالْمُنْفَصِلُ مِنْ الْآدَمِيِّ أَوْ السَّمَكِ أَوْ الْجَرَادِ طَاهِرٌ، وَمِنْ غَيْرِهَا نَجِسٌ... أَمَّا الْمُنْفَصِلُ مِنْهُ بَعْدَ مَوْتِهِ فَحُكْمُهُ حُكْمُ مَيْتَتِهِ بِلَا شَكٍّ إلَّا شَعْرَ... الْمَأْكُولِ فَطَاهِرٌ بِالْإِجْمَاعِ

Maksudnya : “Bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup… (hukumnya) adalah seperti bangkainya. Iaitu haiwan yang hidup tersebut, sekiranya ia suci (iaitu bangkainya) maka bahagian yang terpisah itu juga adalah suci, sekiranya ia adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah najis… Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia atau ikan atau belalang adalah suci, manakala selainnya (manusia, ikan dan belalang) adalah najis… Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan. Hukumnya adalah suci secara Ijma’ (para ulama).” (Lihat Mughni al-Muhtaj,1/235)

Akan tetapi, bagi haiwan atau hidupan (yang hidup di dalam air), tidak perlu disembelih dan bangkainya adalah suci. Firman Allah SWT :

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ

Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut.”

(Surah al-Maidah : 96)

Nabi SAW juga ada bersabda :

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya : “Airnya suci, dan bangkainya suci (tidak perlu disembelih).”

Riwayat al-Tirmizi (68)

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, disebutkan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa sekiranya seseorang mendapatkan ikan yang masih hidup, tidak boleh untuk dia terus memakannya sehinggalah ikan tersebut mati atau dimatikan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ulama Hanafiyyah dan Hanabilah. Dan makruh hukumnya memanggang ikan tersebut hidup-hidup kerana ia telah menyeksanya tanpa keperluan. Hal ini kerana ikan adalah hidupan yang cepat mati, maka boleh ditunggu ia mati terlebih dahulu (sebelum dimasak). (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/131)

Imam al-Nawawi telah menyebutkan di dalam kitabnya bahawa sekiranya ditelan ikan ketika ia masih lagi hidup atau dipotong separuh daripadanya (ketika masih hidup), kemudian dimakan, ada dua pendapat. Pendapat yang paling sahih ialah makruh dan bukannya haram. Manakala pendapat yang kedua ialah haram dan ini adalah merupakan pendapat Imam al-Ghazali. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/73) Maka, termasuklah juga haiwan-haiwan atau hidupan lain yang hidup di dalam air, yang mana mengambil hukum ikan.

Oleh itu, kami berpendapat memasak ikan atau sotong kurita atau lain-lain hidupan air (yang halal dimakan) ketika masih lagi hidup adalah makruh. Matikanlah terlebih dahulu haiwan berkenaan dengan cara yang terbaik atau menunggunya mati terlebih dahulu kerana kebiasaannya haiwan yang tinggal di air tidak dapat hidup lama di atas darat (berpisah dengan air).

Demikianlah juga, hukum memakan haiwan berkenaan ketika masih lagi hidup adalah makruh sekiranya tidak memudaratkan. Hal ini kerana kebiasaannya daging haiwan yang masih mentah (belum dimasak) mudah terdedah dengan pelbagai jenis bakteria yang boleh memberi mudarat dan membahayakan tubuh badan. Oleh itu, adalah lebih baik haiwan berkenaan dibuang perutnya, kemudian dibersihkan dan dimasak terlebih dahulu, sebelum dimakan. Ini adalah lebih selamat dan menepati sebagaimana firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

(Surah al-Baqarah : 168)

Kesimpulannya

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum memakan dan memasak haiwan seperti ikan atau sotong kurita atau hidupan yang seumpamanya (hidup di dalam air dan halal dimakan), ketika masih lagi hidup adalah makruh.

Lebih-lebih lagi, kita dituntut supaya berbuat baik (ihsan) kepada haiwan. Maka, termasuk dalam perbuatan ihsan tersebut, tidak menyeksanya dengan memasaknya dalam keadaan ia masih lagi hidup.

Begitu juga, kita dituntut untuk memakan makanan yang halal lagi baik. Memakan haiwan yang telah dimasak dan dibersihkan adalah lebih menjamin konsep baik (kualiti) pada makanan tersebut kerana daging haiwan yang masih mentah (belum lagi dimasak) kebiasaannya mudah terdedah kepada pelbagai jenis bakteria yang boleh membahayakan tubuh badan kita.

Akhir kalam, kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.