Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-446 : HUKUM MAKAN KETAM KELAPA

IF 446

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu pertanyaan. Saya ada lihat dalam youtube sejenis spesies ketam yang besar dipanggil ketam kelapa. Adakah kita sebagai orang Islam dibenarkan untuk memakan ketam tersebut. Mohon pencerahan Datuk Mufti.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya : “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A`raf : 157)

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib (15/381), dalam ayat ini Allah SWT menyifatkan Nabi Muhammad SAW dengan sembilan sifat, antaranya, menghalalkan bagi manusia akan benda-benda yang dihukum oleh Allah sebagai halal yakni dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang mengatakan ia haram. Begitu juga Rasulullah SAW mengharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, dan orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Maka setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum berbeza.

Selain itu, sebagai seorang Muslim, makanan yang dimakan hendaklah memenuhi dua criteria berikut, iaitu halal dan baik. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

(Surah al-Baqarah : 168)

Definisi dan habitat ketam kelapa

Para ulama silam menamakan ketam di dalam kitab-kitab mereka sebagai kala jengking air (عَقْرَبَ الْمَاءِ) serta diberi gelaran sebagai Bapa laut (أَبُو بَحْرٍ). (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/378 dan Mughni al-Muhtaj, 6/146)

Ketam kelapa (Birgus latro) adalah spesies umang-umang, yang juga dikenali sebagai ketam perompak atau pencuri sawit. Ketam ini adalah artropoda darat terbesar yang hidup di dunia. Beratnya sahaja boleh mencecah sehingga 4.1 kg (9.0 lb). Begitu juga, ia boleh membesar sehingga 1 m (3 kaki 3 inci). Ia ditemui di kepulauan di Lautan Hindi, dan sebahagian dari Lautan Pasifik Timur iaitu di Kepulauan Gambier dan Kepulauan Pitcairn.[1]

Ketam kelapa juga adalah merupakan hidupan yang unik kerana apabila ia naik ke daratan, ia tidak akan kembali ke dalam air kecuali ketam kelapa betina yang akan melepaskan telur-telurnya bagi proses penetasan. Ketam ini dikenali sebagai ketam kelapa kerana ia mempunyai keupayaan untuk memanjat pokok kelapa menggunakan sepitnya. Kemudian, ia juga berupaya untuk menjatuhkan buah kelapa serta mengupasnya bagi mendapat isi kelapa tersebut. Mempunyai sepuluh kaki termasuk dua sepit besar yang digunakan sebagai alat untuk mencari makanan dan juga senjata bagi mempertahankan dirinya. Selain itu, dua kakinya yang paling kecil digunakan untuk membersihkan organ pernafasannya. Bernafas di dalam air menggunakan organ khusus yang disebut paru-paru branchiostegal dan organ pernafasan tambahan iaitu insang rudimental. Ketam kelapa jantan umumnya lebih besar berbandaing ketam kelapa betina dan ia boleh hidup antara 30 hingga 60 tahun. Warna ketam kelapa bergantung kepada habitatnya.[2]

Hidupan air

Haiwan terbahagi kepada dua kategori, iaitu hidupan darat dan hidupan laut. Hidupan laut ialah haiwan yang hidup di dalamnya dan apabila ia keluar darinya, hidupnya seperti haiwan yang disembelih. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/547)

Syeikh al-Ramli juga menyebutkan :

حَيَوَانُ الْبَحْرِ وَهُوَ مَا لَا يَعِيشُ إلَّا فِيهِ، وَإِذَا خَرَجَ مِنْهُ صَارَ عَيْشُهُ عَيْشَ مَذْبُوحٍ أَوْ حَيٍّ لَكِنَّهُ لَا يَدُومُ

Maksudnya : Haiwan laut (air) ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalamnya, apabila ia keluar daripada air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat). (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150)

Haiwan laut kesemuanya halal dimakan melainkan terdapat nas akan pengharamannya atau memudaratkan. Firman Allah SWT :

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Maidah : 96)

Begitu juga, sabda Nabi SAW :

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya : “Airnya suci dan bangkainya halal (dimakan)”

Riwayat al-Tirmizi (68)

Haiwan yang hidup di darat dan air (dua alam)

Mengenai perkara ini, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari telah menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang telah di menjadi dawabit (garis panduan) bagi perkara ini, iaitu :

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya : “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam laut (air) atau apabila ia keluar daripada air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta dinisbahkan kepadanya (hidupan air). Dan sekiranya, haiwan tersebut tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk di dalam haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram (memakannya).

(Lihat Asna al-Matalib, 1/566)

Imam Syafie juga, ada menyatakan bahawa bagi menentukan haiwan tersebut termasuk dalam kategori haiwan buruan yang mana, lihatlah haiwan buruan tersebut lebih banyak hidupnya di darat atau di laut. Juga termasuk dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya (air lumpur), air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain. (Lihat al-Umm, 2/130 dan 2/199)

Hukum memakan ketam kelapa

Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa sebahagian ulama berpendapat ketam halal dimakan kerana ia tidak dapat hidup lama di atas darat, akan tetapi yang sahihnya adalah haram. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/378) Al-Khatib al-Syirbini pula menyebutkan ketam haram untuk dimakan disebabkan oleh dua perkara iaitu racun dan dianggap kotor serta jijik. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/146) Al-Bujairami juga menyebutkan bahawa diharamkan untuk memakan ketam kerana ia dianggap jijik sepertimana tiram dan juga kerana padanya ada mudarat (racun). (Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 4/326)

Manakala, Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa terdapat satu pendapat yang lemah yang menghalalkan katak dan ketam. Al-Baghawi telah menukilkan daripada al-Halimi mengenai kehalalan ketam. Kemudian, Imam al-Nawawi telah menyimpulkan dengan menyatakan bahawa :

الصَّحِيحُ الْمُعْتَمَدُ أَنَّ جَمِيعَ مَا فِي الْبَحْرِ تَحِلُّ مَيْتَتُهُ إلَّا الضِّفْدَعَ وَيُحْمَلُ مَا ذَكَرَهُ الْأَصْحَابُ أَوْ بَعْضُهُمْ مِنْ السُّلَحْفَاةِ وَالْحَيَّةِ وَالنَّسْنَاسِ عَلَى مَا يَكُونُ فِي مَاءٍ غَيْرِ الْبَحْرِ

Maksudnya : “Pendapat yang sahih lagi muktamad ialah semua haiwan di laut adalah halal bangkainya (untuk dimakan) kecuali katak. Dan diandaikan apa yang telah disebutkan oleh ulama-ulama mazhab Syafie atau sebahagian daripada mereka mengenai keharaman penyu, ular dan nasnas yang terdapat di dalam air, selain air laut.”

(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33)

Melihat kepada kenyataan di atas, apabila Imam al-Nawawi menyebutkan katak sebagai contoh, seolah-olah kesemua haiwan yang hidup dua alam seperti katak, buaya, ular air dan seumpamanya adalah halal dimakan melainkan ada nas yang melarangnya atau mudarat kepada pemakannya. Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa katak haram dimakan kerana ada nas yang melarang untuk membunuhnya. Manakala ular dan ketam kerana racunnya serta kedua-duanya dianggap jijik. Dan diharamkan untuk memakan buaya kerana ia memburu dengan taringnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/548-549)

Menurut mazhab Maliki, diharuskan memakan katak, serangga, ketam dan penyu  kerana tidak ada nas yang mengharamkannya (daripada dimakan). Adapun mengharamkannya disebabkan oleh ia dianggap jijik (kotor) mestilah dengan apa yang telah dinaskan oleh syarak. Oleh itu, tidak boleh mengharamkan haiwan itu semata-mata ia dianggap jijik (kotor) oleh jiwa, yang mana tidak ada nas mengenai hal tersebut. Mazhab Hanbali pula berpendapat setiap haiwan yang hidup di darat yang mana berasal daripada hidupan laut, tidak halal dimakan melainkan setelah disembelih seperti burung air (Aequorlitornithes), penyu, anjing laut, kecuali hidupan yang tidak mempunyai darah merah seperti ketam sebagaimana pendapat Imam Ahmad. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2799-2800)

Oleh itu, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa ketam termasuk haiwan yang halal dimakan selagimana tiada nas yang jelas mengharamkannya dan tidak memudaratkan. Apabila kita melihat kembali pandangan para ulama yang mengharamkannya, ia diharamkan kerana dua sebab, iaitu memudaratkan (beracun) dan dianggap jijik. Oleh itu, sekiranya dua sebab ini tiada, maka hukumnya kembali kepada asal iaitu harus dimakan sebagaimana kaedah menyebutkan :

إذا زالت العلة زال الحكم

Maksudnya : “Apabila hilang ‘illahnya (sebabnya), maka tiadalah hukum tersebut”

Lebih-lebih lagi, perkara ini dikuatkan lagi dengan satu pendapat Ibn Qasim yang menyatakan telah berlaku Umum al-Balwa[3] bahawa danilas (sejenis siput) dimakan di Mesir dan ketam dimakan di Syam. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/147)

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami cenderung menyatakan bahawa ketam kelapa termasuk dalam haiwan yang harus dimakan sebagaimana ketam-ketam yang lain. ‘Uruf dan adat setempat juga menunjukkan bahawa ketam jenis ini dimakan serta dijual di pasar-pasar.[4]  

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa ketam termasuk haiwan yang halal dimakan selagimana tiada nas yang jelas mengharamkannya serta tidak memudaratkan. Oleh itu, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa ketam kelapa hala dimakan. Lebih-lebih lagi, ‘uruf dan adat setempat menunjukkan bahawa ketam jenis ini dimakan serta dijual di pasar-pasar.

Kami juga pernah membahaskan mengenai perkara yang berkaitan di dalam al-Kafi li al-Fatawi (1404) : Hukum Memakan Ketam Bulu (Hairy Crabs)[5] dan Irsyad al-Fatwa Siri ke-118 : Hukum Memakan Ketam Nipah[6].

Akhir kalam, kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Coconut_crab. Telah diakses pada 18 Februari 2020.

[2] Lihat rancangan televisyen Selamat Pagi Malaysia yang membawakan Bingkisan Sabah : Ketam Kelapa, bertarikh 12 Februari 2017. https://www.youtube.com/watch?v=bqZnLyo1Ztg. Telah diakses pada 17 Februari 2020.

[3] sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku.

[4] Lihat youtube bertajuk Jumpa Ketam Kelapa Kat Sabah! pada minit 1:48 hingga 2:00, bertarikh 26 Oktober 2017. https://www.youtube.com/watch?v=CvSJ8DBLahs&feature=youtu.be. Telah diakses pada 5 Mac 2020.

[5] Lihat https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3752-al-kafi-1404-hukum-makan-ketam-bulu-hairy-crabs.

[6] Lihat https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1318-irsyad-al-fatwa-ke-118-hukum-memakan-ketam-nipah.