Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-517: HUKUM NIAT MAKMUM YANG BERBEZA DENGAN NIAT IMAM DALAM SOLAT WITIR

niat

Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu kemusykilan. Pada bulan puasa yang lepas, setiap kali selepas menunaikan solat sunat tarawih bersama keluarga, kami akan melaksanakan solat sunat witir. Kebiasaannya, kami akan solat 3 rakaat dan dua salam. Cuma, ada satu hari itu, imam tak bagitahu yang dia hendak melaksanakan solat witir dengan cara 3 rakaat satu salam, sedangkan niat kami berbeza iaitu mengikut tatacara 3 rakaat dua salam (dua kali niat).

Soalannya, adakah solat kami dikira sah?

Jawapan Ringkas

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertama: Secara asalnya, tidak boleh menambah atau mengurangkan bilangan rakaat solat berbeza daripada bilangan rakaat yang diniatkan pada permulaan solat witir.

Kedua: Sekiranya imam niat tiga rakaat sekaligus sedangkan makmum pula niat tiga rakaat dua salam seperti kes di atas, maka makmum boleh untuk niat mufaraqah ketika tahiyyat akhir rakaat kedua, kemudian menyempurnakan baki satu rakaat terakhir bersama imam dengan niat yang baru.

Ketiga: Sekiranya imam niat tiga rakaat dua salam sedangkan makmum pula niat tiga rakaat sekaligus, maka makmum boleh mengikuti imam sehingga selesai salam rakaat kedua, kemudian menyempurnakan bakinya secara bersendirian sama seperti kes solat orang yang masbuq.

Keempat: Sekiranya makmum berasa ragu-ragu sama ada imam akan solat witir tiga rakaat secara sekaligus ataupun secara terpisah, maka diharuskan kepadanya untuk niat solat witir secara mutlaq tanpa menyertakan secara spesifik bilangan rakaat dalam niatnya.

Huraian Jawapan

Solat witir merupakan salah satu ibadah yang dituntut di dalam agama Islam. Perkara ini dikuatkan berdasarkan beberapa riwayat yang menceritakan tentang anjuran dan galakan melakukan. Antaranya, Abu Hurairah R.A berkata:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

MaksudnyaKekasihku (Rasulullah S.A.W) berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur.

Riwayat Al-Bukhari (1981)

Pertamanya, berhubung tatacara solat sunat witir, kami berpandangan bahawa solat secara tiga rakaat beserta dua salam adalah lebih afdhal berbanding solat secara tiga rakaat satu salam sahaja atas faktor berlakunya pertambahan niat, takbir dan juga salam yang kesemuanya tergolong dalam kategori ibadah yang diberikan ganjaran pahala. Boleh rujuk selanjutnya di artikel kami, https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3734-al-kafi-1393-tatacara-solat-witir-yang-afdhal.

Keduanya, perihal perbezaan niat di antara imam dan makmum di dalam solat witir, terdapat dua situasi yang mungkin akan berlaku:

Situasi pertama: Imam niat tiga rakaat sekaligus, makmum pula niat tiga rakaat dua salam seperti kes di atas.

Situasi kedua: Imam niat tiga rakaat dua salam, makmum pula niat tiga rakaat sekaligus.

Secara asalnya, di sisi mazhab imam Syafi’e tidak dibenarkan untuk menambah bilangan rakaat atau mengurangkannya daripada apa yang telah diniatkan pada permulaan solat khususnya “solat sunat yang tidak mutlaq” seperti solat sunat rawatib dan solat witir.

(Lihat: Nihayah al-Muhtaj, 2/130)

Sebagai jalan keluar kepada kedua-dua situasi di atas, secara umumnya ada dibincangkan oleh ulama dalam bab syarat-syarat solat berjemaah.

Bagi situasi pertama, Syeikh Zuhaili ada menyebutkan di dalam kitabnya, dibolehkan kepada mereka yang solat Subuh untuk mengikuti imam solat yang lebih banyak dari rakaatnya seperti solat Zohor, Asar, dan Maghrib. Sekiranya imam bangun untuk rakaat ketiga, maka makmum diberi pilihan sama ada niat mufaraqah (berpisah daripada ikut imam) dengan cara duduk tahiyyat akhir dan memberi salam ataupun menunggu imam sehinggalah sampai kepada rukun yang berbaki.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/432)

Apabila diqiyaskan perihal di atas dengan solat witir, maka makmum boleh untuk niat mufaraqah dengan cara apabila imam naik untuk rakaat ketiga, makmum tersebut tetap duduk untuk melaksanakan duduk tahiyyat akhir dan salam. Kemudian, menunaikan baki satu rakaat bersama imam semula dengan niat yang baru.

Manakala bagi situasi kedua, kami membawakan pandangan imam Nawawi Rhm. (wafat 676H) berkenaan solat isyak di belakang imam solat terawih,   

وَلَوْ صَلَّى الْعِشَاءَ خَلْفَ التَّرَاوِيحِ، جَازَ. فَإِذَا سَلَّمَ الْإِمَامُ قَامَ إِلَى بَاقِي صَلَاتِهِ، وَالْأَوْلَى أَنَّ يُتِمَّهَا مُنْفَرِدًا. فَلَوْ قَامَ الْإِمَامُ إِلَى رَكْعَتَيْنِ أُخْرَيَيْنِ مِنَ التَّرَاوِيحِ، فَنَوَى الِاقْتِدَاءَ بِهِ ثَانِيًا، فَفِي جَوَازِهِ الْقَوْلَانِ، فِيمَنْ أَحْرَمَ مُنْفَرِدًا ثُمَّ اقْتَدَى فِي أَثْنَائِهِمَا.

Maksudnya: “…Begitu juga seseorang yang solat isyak di belakang imam yang bersolatkan terawih, perbuatan ini dianggap sah. Caranya, sejurus sahaja imam selesai solat terawih dua rakaat, maka makmum tadi bangun selesaikan baki dua rakaat lagi. Sebaiknya diselesaikan baki tersebut secara bersendirian. Namun, sekiranya makmum ingin mengikuti imam solat terawih untuk kali kedua bagi menghabiskan baki rakaat isyak tadi, terdapat dua pandangan berkaitan keharusannya; antaranya membenarkan kerana keadaanya sama seperti solat seseorang yang awalnya niat bersendirian kemudian di pertengahannya berniat Jemaah dengan orang lain.”

(Lihat: Raudah al-Thalibin, 1/367)

Apabila diqiyaskan pandangan imam Nawawi di atas dalam situasi kedua pula, makmum boleh mengikuti imam sehingga selesai salam rakaat kedua, kemudian menyempurnakan bakinya secara bersendirian sama seperti kes solat orang yang masbuq.

Namun begitu, sekiranya makmum berasa ragu-ragu sama ada imam akan solat witir tiga rakaat secara bersambung atau berpisah, maka diharuskan kepadanya untuk niat solat witir secara mutlaq tanpa menyertakan secara spesifik bilangan rakaat dalam niatnya. Lantas, solatnya itu mengikut sepertimana solat imam. Jika imam buat secara berasingan, makmum juga perlu ikut secara berasingan. Jika imam melakukan tiga rakaat sekaligus, makmum juga perlu menyambungnya.

Sebahagian ulama menyebutkan,

وَالظَّاهِرُ كَمَا قَالَ شَيْخُنَا أَنَّهُ يَصِحُّ وَيُحْمَلُ عَلَى مَا يُرِيدُ مِنْ رَكْعَةٍ إلَى إحْدَى عَشْرَةَ وِتْرًا اهـ

Maksudnya: Zahir (dapat difahami) melalui pandangan Syaikhuna bahawa solat itu (witir) sah dan niatnya mengikut kepada berapa bilangan rakaat yang dikehendaki bermula daripada satu rakaat sehinggalah 11 rakaat.

 (Lihat: Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 2/10)

Dapat difahami bahawa solatnya tetap sah walaupun tanpa menetapkan bilangan rakaat sama ada solat tersebut dilakukan sebanyak satu rakaat sehinggalah 11 rakaat. Wallahua’lam.