Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya ada soalan berkaitan cabutan bertuah. Semasa hari keluarga, penganjur mengadakan acara cabutan bertuah yang mengenakan bayaran yuran untuk menyertai cabutan bertuah tersebut. Walau bagaimanapun, semua peserta akan memperoleh hadiah dan hadiah yang diperoleh melebihi nilai yuran yang dibayar. Adakah ia diharuskan?
Ringkasan Jawapan
- Jika peserta cabutan bertuah itu mempunyai kemungkinan untung iaitu dengan memperoleh hadiah yang melebihi bayarannya dan kemungkinan rugi jika dia tidak mendapat apa-apa atau mendapat hadiah yang nilainya kurang daripada bayaran yang dikeluarkan, maka ia merupakan judi yang jelas. Oleh itu, perbuatan tersebut adalah haram.
- Manakala jika semua peserta akan mendapat hadiah yang bernilai melebihi yuran, maka hukumnya juga haram. Hal ini kerana walaupun dinamakan sebagai cabutan bertuah untuk mendapat hadiah, ia pada hakikatnya merupakan jual beli yang mengandungi unsur kesamaran (gharar) dan ketidaktahuan pada barang yang dibeli iaitu hadiah yang akan diterima.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pada asasnya, cabutan bertuah yang mempunyai yuran adalah termasuk dalam judi yang diharamkan berdasarkan firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, pemujaan berhala dan menilik nasib dengan anak panah adalah (semuanya) perbuatan kotor (keji) daripada perbuatan syaitan! Maka, jauhilah (semua perbuatan) itu agar kamu berjaya.”
Surah Al-Ma’idah (90)
Imam al-Bujairimi berkata dalam mentakrifkan judi:
وَالْمَيْسِرَ هُوَ الْقِمَارُ وَهُوَ مَا يَكُونُ فِعْلُهُ مُتَرَدِّدًا بَيْنَ أَنْ يَغْنَمَ وَأَنْ يَغْرَمَ
Maksudnya: “al-Maisir ialah sesuatu perbuatan yang bergantung kepada kemungkinan antara mendapat keuntungan atau menanggung kerugian.”[1]
Berdasarkan takrif di atas, jika peserta cabutan bertuah itu mempunyai kemungkinan untung iaitu dengan memperoleh hadiah yang melebihi bayarannya dan kemungkinan rugi jika dia tidak mendapat apa-apa atau mendapat hadiah yang nilainya kurang daripada bayaran yang dikeluarkan, maka ia merupakan judi yang jelas. Oleh itu, perbuatan tersebut adalah haram.
Namun, berbeza situasinya apabila peserta cabutan bertuah secara pasti akan menerima hadiah yang nilainya melebihi yuran yang dibayar. Kebiasaannya, penganjur akan menggunakan duit yuran peserta ditambah dengan duit tajaan atau sumbangan daripada penganjur sendiri untuk membeli hadiah-hadiah tersebut. Perbuatan ini tidaklah termasuk dalam perjudian yang ditakrifkan di atas kerana ia tidak mempunyai kemungkinan untung atau rugi bagi peserta.
Walau bagaimanapun, hakikat perbuatan ini boleh disifatkan sebagai jual beli walaupun ia disebut sebagai cabutan bertuah dan ia juga tidak sah kerana terdapat unsur ketidaktahuan dan kesamaran (gharar) pada barang yang dibeli. Dalam situasi di atas, yuran yang dibayar oleh peserta seolah-olah harga untuk membeli hadiah yang hanya akan diketahui melalui cabutan bertuah. Ia boleh disamakan dengan jual beli dengan melempar batu (bai’ al-hasa) yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada jual beli barang dengan membaling batu dan jual beli gharar.”
(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi ketika menjelaskan tentang contoh-contoh jual beli gharar yang diharamkan menyebutkan bahawa jual beli dengan membaling batu adalah salah satu daripadanya, beliau berkata:
ولا يجوز بيع الحصى وهو أن يقول بعتك ما وقع عليه الحصى من ثوب أو أرض
Maksudnya: “Tidak diharuskan menjual barang dengan cara melempar batu iaitu dengan mengatakan: ‘Saya menjual kepada kamu apa yang terkena batu ini daripada kain atau tanah.’”[2]
Kesimpulan
- Jika peserta cabutan bertuah itu mempunyai kemungkinan untung iaitu dengan memperoleh hadiah yang melebihi bayarannya dan kemungkinan rugi jika dia tidak mendapat apa-apa atau mendapat hadiah yang nilainya kurang daripada bayaran yang dikeluarkan, maka ia merupakan judi yang jelas. Oleh itu, perbuatan tersebut adalah haram.
- Manakala jika semua peserta akan mendapat hadiah yang bernilai melebihi yuran, maka hukumnya juga haram. Hal ini kerana walaupun dinamakan sebagai cabutan bertuah untuk mendapat hadiah, ia pada hakikatnya merupakan jual beli yang mengandungi unsur kesamaran (gharar) dan ketidaktahuan pada barang yang dibeli iaitu hadiah yang akan diterima.
WaAllahua’lam
Rujukan:
[1] Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Bujairimi, Hasyiat al-Bujairimi ‘ala Sharh al-Manhaj, (T.tp: Matba’ah al-Halabi, 1950), jld. 4 hlmn. 376.
[2] Abu Zakaria Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, (Kaherah: al-Muniriah, 1347H), jld. 9 hlmn. 340.