PUTRAJAYA, 23 MAC 2022 - Mesyuarat Jawatankuasa Melihat Anak Bulan 2022 telah diadakan sebentar tadi yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan.
Mesyuarat yang diadakan secara hybrid ini adalah melibatkan ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan yang mewakili agensi berkaitan dan ahli profesional dalam bidang falak dan astronomi.
Antara agenda yang dibincangkan adalah berkaitan perihal penetapan Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah serta analisis data anak bulan bagi ketiga-tiga bulan tersebut. Turut diadakan pembentangan Kriteria Imkanur Rukyah (KIR) Baharu 2021 bagi penetapan awal bulan dalam takwim hijri Malaysia oleh YBrs. Dr. Saiful Anwar Nawawi dari Universiti Malaya (UM)
Mesyuarat juga dimaklumkan, Malaysia telah mengguna pakai kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan) yang baharu bermula Muharam 1443H. Justeru, penetapan awal bulan hijri termasuk Ramadan, Syawal dan Zulhijjah pada tahun ini akan mengaplikasikan kriteria tersebut yang turut diamalkan oleh negara Singapura, Indonesia dan Brunei.