Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI PONDOK PESANTREN MIFTAHUL HUDA IV, MALANG, INDONESIA KE JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

PUTRAJAYA , 21 FEBRUARI 2025 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pondok Pesantren Miftahul Huda IV Mojosari-Kepanjen-Malang, Indonesia, yang diketuai oleh KH. Dr. Shofiyullah, Pemimpin Pondok Pesantren. Delegasi seramai 20 orang ini hadir bagi menjalinkan hubungan kerjasama strategik dengan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan serta bertukar pandangan dalam bidang pengurusan fatwa dan permasalahan hukum.

Sesi perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan. Antara perkara yang dibincangkan ialah strategi bersama memperkukuh hubungan institusi keagamaan dan organisasi masyarakat antara Malaysia dan Indonesia. Turut dibincangkan adalah pendekatan terbaik dalam menangani isu-isu hukum kontemporari bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan bersesuaian dengan keperluan semasa umat Islam.

Kunjungan ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan ilmiah antara Malaysia dan Indonesia, selain membuka peluang kepada lebih banyak kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pendidikan Islam. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyambut baik inisiatif sebegini sebagai usaha memperkasa kefahaman agama dan memperkukuh ukhuwah Islamiah di peringkat serantau dan antarabangsa.