Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #8: SIAPA MENCIPTA ALLAH?

Soalan: Saya mendapat tahu ada seorang individu yang mempersoalkan, “Siapa yang mencipta Allah?” Bagaimanakah bentuk jawapan yang sesuai kepada individu ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami menyatakan bahawa soalan sebegitu sudah sangat lapuk. Asas bagi soalan ini adalah keraguan tentang adanya Tuhan. Ia sudah ditanyakan oleh manusia sejak ribuan tahun dulu. Tradisi dunia Barat dalam perbincangan falsafah berkaitan kewujudan Tuhan telah diketahui seawal zaman Plato[1] dan Aristotle[2] yang mana kini dikenali sebagai kosmologi. Begitu juga zaman Ibn Rushd[3] dan Thomas Aquinas[4] yang memperkenalkan kaedah penghujahan kosmologi dengan cara masing-masing bagi membuktikan kewujudan Tuhan mengikut agama masing-masing.

Antara ahli falsafah Barat yang membawakan hujah menentang kewujudan Tuhan adalah Immanuel Kant[5], David Hume[6] dan Friedrich Nietzsche[7]. Pada masa kini, ia diulang-ulang semula beberapa tokoh ateis antaranya Lawrence M. Krauss, Richard Dawkins, Sam Harris, Daniel C. Dennet dan Christopher Hitchens.

Keduanya, kami teringatkan sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِي الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ كَذَا، مَنْ خَلَقَ كَذَا، حَتَّى يَقُولَ: مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ؟ فَإِذَا بَلَغَهُ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ

Maksudnya: Syaitan akan datang kepada salah seorang daripada kamu dan berkata: ‘Siapa menciptakan ini? Siapa menciptakan ini? Hingga dia berkata: ‘Siapa menciptakan Tuhanmu?’ Sekiranya soalan ini sampai, maka dia (lelaki yang beriman) hendaklah beristighfar kepada Allah dan berhenti (daripada melayani persoalan itu).

(Riwayat al-Bukhari, no. 3276)

Apabila was-was syaitan ini telah masuk ke dalam hati dan benak fikiran seseorang, maka Rasulullah SAW memerintahkan agar orang tersebut segera memohon ampun kepada Allah SWT dan menamatkan was-was tersebut daripada fikirannya.

Dalam hadis lain, daripada ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman, ‘Aku mendengar Anas bin Malik berkata: ‘Sabda Rasulullah SAW:

لَنْ يَبْرَحَ النَّاسُ يَتَسَاءَلُونَ حَتَّى يَقُولُوا: هَذَا اللَّهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ، فَمَنْ خَلَقَ اللَّهَ

Maksudnya: Manusia tidak henti-hentinya bertanya hingga mereka berkata: Allah adalah pencipta segala sesuatu, lantas siapa yang menciptakan Allah?

(Riwayat Muslim, no. 7296)

Ketiganya, persoalan siapakah yang menciptakan Allah tidak akan ditanyakan oleh individu yang boleh berfikir dengan logik. Walaubagaimanapun, jika ada yang menjawab, “Ada pencipta yang menciptakan Allah.” Maka, soalan yang seterusnya, “Siapakah yang menciptakan-Nya?” Soalan yang datang selepas itu pula pasti berbunyi, “Siapakah yang menciptakan pencipta-Nya?” Soalan seperti itu tidak ada penghujung dan akhirnya, seorang manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras akan mengakui jua akan perlunya ada Pencipta yang tidak diciptakan.

Mengapa? Manusia yang berakal sempurna tidak boleh menerima Allah dicipta dalam bentuk sambungan tanpa penamat. Contoh yang mudah ialah Ali ingin memohon untuk bertukar tempat kerja. Ketuanya memaklumkan perlu mendapat pengesahan orang atasan. Orang atasan pula meminta disampaikan terlebih dahulu kepada orang yang lebih tinggi jawatannya dan seterusnya. Selagi tidak sampai kepada orang yang tertinggi dalam pentadbiran, maka selagi itulah permohonan Ali masih tergantung. Oleh itu, begitulah bentuk yang logik bagi memikirkan siapakah yang menciptakan Allah. Alam semulajadi yang merupakan ciptaan-Nya, mustahil untuk diciptakan oleh sesuatu yang diciptakan. Jika benar Allah diciptakan oleh pencipta-Nya, mustahil alam ini boleh ada kerana “pencarian” Maha Pencipta masih belum berakhir mengikut teori tasalsul dan daur.

Isu ini telah lama dihuraikan oleh ulama' Asya'irah di dalam perbahasan dawr (circular reasoning) dan tasalsul (infinite circle). Contohnya, A adalah sebab bagi B dan B sebagai sebab bagi A. Begitu juga A sebab bagi B, B sebab bagi C, C sebab bagi D dan D sebab bagi A.

Secara logik, jika A menjadi sebab bagi B, maka B tidak akan pernah menjadi sebab bagi A. Sebagai contoh, jika Kasim makan, maka perutnya kenyang. “Kenyang” merupakan akibat dari “makan”. Tidak logik sama sekali "kenyang" itu penyebab Kasim makan kerana penyebab makan adalah lapar. Sebab dan akibat tidak pernah berputar, tetapi berlanjutan. A sebab dari B, B sebab dari C, C sebab dari D. Allah suci daripada hal ini. Dalam masa yang sama, jika difahami Tuhan itu dari bentuk tasalsul, adalah jauh dari logik akal. Tuhan A mencipta Tuhan B, Tuhan B mencipta Tuhan C...sehinggalah tidak ada penamatnya. Jelas dengan logik mudah ini, teori dawr dan tasalsul yang cuba dibawakan oleh kelompok ateis dan Muslim yang terkeliru ini bagi mengelirukan umat Islam, adalah tidak tepat. Memetik kata Imam al-Sanusi dalam Umm al-Barahin, "Dalil yang menunjukkan kewujudan Allah SWT tidak ada permulaannya ialah sekiranya Allah SWT baru diciptakan, maka pastilah ia berhajat kepada pencipta-Nya. Perkara ini akan membawa kepada masalah dawr atau tasalsul. (Lihat huraian lanjut Syeikh Muhammad bin Ahmad ‘Arafah al-Dusuqi dalam Hasyiah al-Dusuqi ‘ala Ummi al-Barahin, m. 202-203)

Inilah yang disimpulkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

أَمْ خُلِقُوا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ أَمْ هُمُ الْخَالِقُونَ

Maksudnya: “(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?

(Surah al-Tur: 35)

Keempatnya, menyatakan adanya sesuatu yang lain yang mencipta Allah SWT adalah bercanggah dengan sifat al-Khaliq (Pencipta) yang ada pada Allah SWT. Firman Allah SWT:

هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: “Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.

 (Surah al-Hasyr: 24)

Sebagai penutup, kami ingin menyeru umat Islam di Malaysia untuk tidak terlibat dengan bentuk-bentuk pemikiran seperti ini. Ianya tidak membawa seseorang untuk mendekati Allah SWT, mahupun menyuburkan iman sebaliknya hanya tenggelam dalam persoalan demi persoalan falsafah yang menjauhkan seseorang daripada hakikat kebenaran sendiri. Semoga kita dapat menginsafi akan kelemahan akal kita untuk mencapai hakikat sebenar kewujudan Allah SWT dan sentiasa berusaha menambahkan ilmu-ilmu yang berkaitan.

 __________________________________________

[1] Plato lahir sekitar 427 SM dan meninggal sekitar 347 SM adalah seorang ahli falsafah Yunani, dan pengasas Akademi Plato di Athen, sekolah tinggi pertama di dunia barat. Beliau adalah murid Socrates.

[2] Aristotle lahir sekitar 384 SM dan meninggal pada 7 Mac 322 SM merupakan ahli falsafah Yunani. Beliau berguru dengan Plato dan mengajar Alexander The Great.

[3] Ibnu Rushd lahir pada 1126 dan meninggal dunia pada 1198 adalah ahli falsafah, perubatan, matematik, teologi, ahli fiqh mazhab Maliki, astronomi, geografi dan sains.

[4] Thomas Aquinas lahir pada 1225 dan meninggal dunia pada 1274. Beliau adalah seorang ahli falsafah dan ahli teologi ternama dari Itali.

[5] Immanuel Kant adalah seorang ahli falsafah Jerman abad ke-18 yang memiliki pengaruh yang sangat luas bagi dunia intelektual. Pengaruh pemikirannya berkembang dari wacana metafizik hingga etika politik dan dari estetika hingga teologi.

[6] David Hume lahir pada 26 April 1711 dan meninggal dunia pada 25 Ogos 1776. Beliau adalah dalah ahli falsafah, sejarawan dan pakar ekonomi Scotland.

[7] Friedrich Wilhelm Nietzsche lahir pada 15 Oktober 1844 dan meninggal dunia pada 25 Ogos 1900. Beliau adalah seorang ahli falsafah Jerman dan juga pakar filologi yang meneliti teks-teks klasik, falsafah, budaya dan lain-lain. Beliau menulis beberapa teks kritis terhadap agama, moraliti, budaya dan falsafah.