Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #259 : SOLAT SEWAKTU DIALISIS: SOLAT DUDUK ATAU JAMAK?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 259 (27 APRIL 2016 M / 19 REJAB 1437 H)

SOALAN:

Assalaimualaikum wbt,

Saya ada persoalan berkenaan dengan bapa saya.beliau telah diarahkan agar menjalani dialisis. Waktu yang dijadualkan bermula pada pukul 2:30pm berakhir 6:30pm,iaitu selama 4jam. kadang2 melebihi sehingga ke 4 1/2jam ke 5jam. Bolehkan bapa saya menjamakkan solat zuhur & asar ke tempat dialisis yang kurang dua marhalah ataupun hanya qadak sahaja solatnya kerana ketika dialisis dilakukan,tiada pergerakan besar dibenarkan.?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Kami mendoakan agar Allah SWT memberikan kesembuhan dan keringanan kepada ayah saudara. Kita memahami bahawa proses dialiasis boleh mengambil masa yang lama. Oleh sebab itu, kesannya bukan sahaja kepada keletihan fizikal, bahkan kesan kepada kestabilan mental juga. Hal ini mungkin memberi kesan kepada golongan tua untuk menunaikan solat.

Seseorang itu lebih mengetahui keadaan dirinya. Kami mencadangkan penyelesaian utama ialah dengan membawa perbincangan bersama doktor yang merawat untuk menetapkan waktu rawatan pada waktu pagi supaya tidak menganggu waktu solat. Jika tidak boleh, penyelesaiannya kita lihat melalui dua keadaan:

Pertama: Seseorang itu boleh solat dalam keadaan duduk ketika proses rawatan dialisis dilaksanakan kerana ada keperluan. Justeru, tidak perlu untuk menjamakkan atau menqadakan solat fardu Asar tetapi dilaksanakan mengikut kemampuan.

Daripada Imran bin Hussein RA: Aku dahulu terkena buasir, lalu aku bertanyakan Rasulullah SAW tentang solatku, Bainda SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah kamu secara berdiri, jika kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk. Jika tidak mampu (juga) maka solatlah di atas lambung (yakni baring mengiring).

Riwayat Imam al-Bukhari (1117) dalam Sahih-nya.

Kedua: Perlu juga diperhatikan apakah maksud “tidak boleh melakukan pergerakan yang banyak”. Adakah sampai tidak boleh untuk ke tandas? Jika mampu, selayaknya juga diberikan peluang untuk melakukan solat. Jika tidak mampu dilaksanakan solat ketika rawatan, boleh dilakukan solat jamak taqdim solat asar dan solat zuhur, tanpa mengqasarkan solat kerana solat qasar hanya dilakukan sewaktu musafir. Ini kerana kita mengambil kira keadaan pesakit yang memang tidak mampu untuk menunaikan solat selepas rawatan, atau ditakuti rawatan akan melewati waktu asar.

Sewajarnya perkara ini juga dilihat dengan lebih terperinci supaya difahami isu dengan kerangka yang sempurna dan tidak terburu-buru membuat keputusan, kerana kaedah fiqh mengatakan:

الحكم على الشيء فرع عن تصوره

Maksudnya: Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.

Wallahua’lam.