Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #13 : ADAKAH SUAMI DIKIRA DAYUS WALAUPUN MENGETAHUI ISTERINYA CURANG TETAPI TELAH BERTAUBAT

SOALAN 13 (27 APRIL 2015 BERSAMAAN 8 REJAB 1436H)

 

Saya ingin bertanya tentang satu kes isteri yang curang dengan suami orang. Suaminya telah terjumpa gambar kurang sopan isterinya bersama lelaki lain yang di hantar melalui ‘whatsapp’. Isterinya telah merayu untuk memaafkannya dan telah bertaubat. Hati suaminya sedih dan kecewa dengan perbuatan isterinya. Tetapi memandangkan isterinya tidak pernah mengabaikan anak-anak dan layanan terhadap suami tidak pernah berubah, si suami telah memaafkannya dan menerimanya kembali cuma fikirannya kadang kala terganggu dengan peristiwa tersebut. Adakah suami tersebut di kira dayus jika masih menerima isterinya? Harap pihak tuan dapat memberikan jawapan. Terima kasih.

 

JAWAPAN

Saya berpendapat jika sekiranya seseorang itu bertaubat dengan taubat nasuha dan ingin membina rumahtangga dengan seutuhnya maka sifat kemaafan yang ditunjukkan oleh suami adalah amat diperlukan agar kehidupan menjadi baik dan kebahagiaan datang kembali. Tetapi, saya syorkan beberapa perkara:

 

  • Hendakah bertaubat dengan taubat nasuha dan memutuskan secara total sebarang hubungan yang membawa ke arah ketidakbaikan ini.
  • Perlu dilakukan perubahan dalam hidup dengan mengenali punca sebab terjadinya episod hitam tersebut. Justeru, berhijrah daripada stail lama atau tempat kerja dan boleh jadi tempat tinggal kepada yang lain dengan azam yang baru dan tekad yang baru amat penting.
  • Hendaklah dilakukan acara ibadat secara berjemaah seperti solat jemaah dan lain-lain.
  • Hendaklah menghadiri majlis ilmu bersifat harian atau sekurang-kurangnya mingguan agar hati disirami dengan nur dan cahaya rabbani.
  • Hendaklah sentiasa muhasabah diri dari semasa ke semasa untuk menjadi lebih baik tanpa mengungkitkan peristiwa kabus hitam yang berlaku.
  • Saling maaf memaaf dan bertekad untuk menjadi suami isteri mithali dan mithaliah dalam kehidupan.

 

Akhir kalam, ingatlah. Bahtera rumahtangga sudah pasti mempunyai badainya. Ingatlah wajah anak-anak yang memerlukan sokongan dan dokongan daripada kedua ibu bapa. Sesungguhnya hidup di dunia ini adalah sementara dan begitu cepat. Maka rebutlah peluang untuk akhirat agar kita bahagia di sana.