Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Emas dan sutera haram bagi lelaki

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 237 (1 APRIL 2016 M / 23 JAMADILAKHIR 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum boleh saya tanya apa hukum kalau seorang lelaki pakai emas?

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

 

Kami melihat hukumnya terbahagi kepada dua:

 

Pertama: Jika seorang lelaki memakai emas kerana hajat ataupun darurat. Contohnya masalah kesihatan. Maka ini dibolehkan. Dalilnay berdasarkan hadis berikut.

Daripada Abdurrahman bin Tarafah:

 

أَنَّ جَدَّهُ عَرْفَجَةَ بْنَ أَسْعَدَ قُطِعَ أَنْفُهُ يَوْمَ الْكُلَابِ، فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ، فَأَنْتَنَ عَلَيْهِ، فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ

Maksudnya: Bahawa atuknya ‘Arfajah bin As’ad terpotong hidungnya pada hari Peperangan Kulab. Kemudia dia memasang acuan hidung daripada bahan perak, lalu baunya busuk dan mengganggu beliau, maka Nabi SAW menyuruhnya mengambil hidung daripada jenis emas.

Hadis riwayat Imam Abu Daud (4232) dalam Sunan-nya

 

Al-Khattabi: Hadis ini menunjukkan keharusan menggunakan sedikit emas bagi lelaki ketika keadaan darurat seperti dalam penyusunan gigi, dan tidak ada bahan lain yang boleh menggantikannya. Lihat Ma`alim al-Sunan (4/215).

 

Kedua: Pemakaian bagi tujuan perhiasan atau selain daripada perubatan seperti pen yang diletak dipoket, dan jam tangan. Maka hukumnya tidak dibolehkan.  Ini berdalilkan sebuah hadis daripada Saidina Ali bin Abi Talib RA:

 

إِنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ حَرِيرًا فَجَعَلَهُ فِي يَمِينِهِ، وَأَخَذَ ذَهَبًا فَجَعَلَهُ فِي شِمَالِهِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذَيْنِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي

 

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanannya, dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Sesungguhnya dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki.

 

Hadis riwayat Imam Ahmad (935) dalam Musnad-nya

 

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:

 

أُحِلَّ لِإِنَاثِ أُمَّتِي، وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا

 

Maksudnya: Halal bagi umatku yang perempuan, dan haram bagi kaum lelaki dalam umatku.

 

Hadis riwayat Imam Ahmad (19502)

 

Al-Syaukani berkata: Hadis ini merupakan dalil yang digunakan jumhur ulama yang berpendapat bahawa sutera dan emas haram bagi lelaki dan harus bagi wanita. Lihat Nail al-Autar (2/98).

 

Ini kerana Nabi SAW menyebut dengan jelas lagi sarih tentang pengharaman pemakaian sutera asli dan emas bagi lelaki.

Adapun jika digunakan sebagai pinggan mangkuk, maka diharamkan sama ada bagi lelaki atau wanita.  Sabda Rasulullah SAW:

 

وَلاَ تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ، وَلاَ تَأْكُلُوا فِي صِحَافِهَا، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَنَا فِي الآخِرَةِ

 

Maksudnya: Jangan kalian minum daripada bekas yang diperbuat daripada emas and perak, dan jangan pula kalian makan daripada bekas makanan yang perbuat daripadanya, kerana sesungguhnya kedua-duanya bagi orang kafir dan bagi kita di akhirat nanti.

 

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (5426) dalam Sahih-nya

 

Rasulullah SAW juga mengingatkan tentang azab yang keras bagi orang minum dan makan daripada bekas emas dan perak. Sabda Baginda SAW:

 

الَّذِي يَشْرَبُ فِي إِنَاءِ الفِضَّةِ إِنَّمَا يُجَرْجِرُ فِي بَطْنِهِ نَارَ جَهَنَّمَ

 

Maksudnya: Mereka yang minum daripada bekas perak maka akan menggelegak dalam perutnya api neraka Jahannam.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (5634)

Ini kerana penggunaan itu melambangkan kesombongan. Pengharaman ini juga bersifat ijma’.

 

Wallahua`lam.