Soalan:
Assalamualaikum Dr,
Saya menghantar anak balik ke university di Alor Gajah dari Subang Jaya yang mana perjalanannya melebihi 2 marhalah dan keluar daripada kawasan mukim saya. Adakah boleh saya jamak solat sebelum tiba di rumah walaupun saya tak bermalam?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Ada tiga syarat sah solat musafir yakni jamak dan qasar berkaitan dengan perjalanan:
- Perjalanan yang jaraknya hingga 81 km dan lebih. Oleh itu, tidak diambil kira perjalanan yang kurang daripada jarak tersebut. Dia juga hendaklah tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar. Apabila berniat menetap selama empat hari jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak harus bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat qasar kekal semasa dalam perjalanan sahaja.
- Perjalanan yang tentu tempat tujuannya. Oleh itu, orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat yang tertentu, dan orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak di bawanya, perjalanan mereka tidak mengharuskan qasar kecuali setelah menjangkau jarak perjalanan yang jauh. Ini kerana telah diyakini jauh perjalanannya.
- Perjalanan tersebut tidak bertujuan maksiat. Justeru, tidak diambil kira perjalanan musafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba’ atau menyamun. Ini kerana qasar merupakan keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab, dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.
Manakala, tiada syarat sah yang mewajibkan bermalam. Sebaliknya, Hukum Syarak hanya menetapkan waktu maksimum iaitu 3 hari tidak termasuk hari pergi dan hari keluar. Ini berdasarkan hadis al-Ala` bin al-Hadhrami RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ لِلْمُهَاجِرِ بَعْدَ الصَّدَرِ
Maksudnya: “Tiga hari bagi orang Muhajirin (boleh menetap di Makkah) selepas al-sadar (yakni selesai manasik Haji).”
Riwayat al-Bukhari (3933) dan Muslim (1352)
Berkata Imam Abu Ishak al-Syairazi sebelum berdalilkan hadis ini: “Jika seorang musafir itu berniat muqim (menetap) empat hari selain hari masuk dan hari keluar maka jadilah sebagai seorang mukim (semata-mata dengan niat itu), dan terpotonglah (yakni terhentilah) rukhsah musafirnya kerana berniat menetap tiga hari tidak menjadikan musafir itu seorang mukim.”
Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (4/359)
Berkenan dalil solat jamak ketika musafir, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ، وَيَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menjama’kan solat Zuhur dengan Asar ketika perjalanan (yakni bermusafir) dan menjama’kan solat Maghrib dengan Isya’.”
Riwayat al-Bukhari (1056)
Hadith seterusnya, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:
أَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلاَةِ فِى سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا فِى غَزْوَةِ تَبُوكَ فَجَمَعَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ قَالَ سَعِيدٌ بِنْ جُبَيْرٍ فَقُلْتُ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: مَا حَمَلَهُ عَلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ
Maksudnya: “Nabi SAW menjama’kan solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk. Baginda menjama’kan solat Zuhur dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan Isyak. Said bin Jubair berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: Apakah yang mendorong Baginda berbuat begitu? Jawabnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.”
Riwayat Muslim (705)
Berdasarkan keterangan di atas, dibenarkan bagi seseorang yang musafir ke suatu destinasi yang melebihi 2 marhalah untuk melakukan solat musafir seperti jamak dan qasar, sekalipun dia hanya balik hari dan tidak bermalam. Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada pihak yang bertanya. Wallahua’lam.