SOALAN
Assalamualaikum Ustaz. Saya ingin bertanya, jika sekiranya saya dalam keadaan bermusafir dan saya solat jamak dan qasar untuk solat zohor dan asar, kemudian saya tiba di rumah dan waktu solat asar masih belum habis, adakah saya perlu menggantikan solat asar empat rakaat?
Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Solat jamak ketika bermusafir terbahagi kepada dua bahagian iaitu jamak taqdim (mengumpulkan dua solat fardu dan melaksanakannya pada waktu solat yang pertama) dan jamak ta’khir (mengumpulkan dua solat fardu dan melaksanakannya pada waktu solat yang kedua).
Solat qasar pula ialah memendekkan solat empat rakaat iaitu solat Zuhur, Asar dan Isyak kepada dua rakaat.
Antara syarat bagi seseorang yang diberi rukhsah untuk memendekkan solat ialah perlu melaksanakan solat tersebut dalam keadaan musafir.
وَيُشْتَرَطُ كَوْنُهُ أَيْ الشَّخْصِ النَّاوِي لِلْقَصْرِ (مُسَافِرًا فِي جَمِيعِ صَلَاتِهِ، فَلَوْ نَوَى الْإِقَامَةَ) الْقَاطِعَةَ لِلتَّرَخُّصِ (فِيهَا) أَوْ شَكَّ هَلْ نَوَاهَا أَوْ لَا (أَوْ بَلَغَتْ سَفِينَتُهُ) فِيهَا (دَارَ إقَامَتِهِ) أَوْ شَكَّ هَلْ بَلَغَهَا أَوْ لَا (أَتَمَّ) لِزَوَالِ سَبَبِ الرُّخْصَةِ
Maksudnya: Dan disyaratkan kepada sesiapa yang berniat qasar berada dalam keadaan bermusafir pada setiap solatnya, dan jika dia berniat iqamah (menetap) di tempat terputus rukhsah (tiba di tempat bermukim) atau syak adakah dia berniat iqamah atau tidak, atau telah tiba kapalnya (kenderaan) di tempat bermukim atau syak sama ada dia telah sampai atau tidak, maka hendaklah dia melakukan tamam (solat empat rakaat) kerana telah hilang sebab rukhsah (musafir).
[Lihat: Mughni al-Muhtaj 1/528]
Maka apabila seseorang telah sampai ke tempat bermukim atau telah berniat untuk menetap selama empat hari tidak termasuk hari sampai atau hari pulang, maka dia sudah dianggap seperti orang yang bermukim dan tidak boleh memendekkan solatnya. Ini kerana qasar solat adalah rukhsah kepada musafir sahaja.
Oleh itu, berdasarkan persoalan, kami fokuskan perbahasan ini kepada solat jamak taqdim.
Merujuk kitab al-Fiqh al-Manhaji, antara syarat sah solat jama’ taqdim ialah seseorang itu masih dalam keadaan musafir sehingga memulakan solat yang kedua (takbiratul ihram solat kedua). Oleh itu, tidak menjadi masalah sekiranya sampai semula ke tempat asalnya ketika solat yang kedua masih belum selesai. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 1/89]
Berkata Imam al-Nawawi:
وَلَوْ جَمَعَ تَقْدِيمًا فَصَارَ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ مُقِيمًا بَطَلَ الْجَمْعُ. وَفِي الثَّانِيَةِ وَبَعْدَهَا لَا يَبْطُلُ فِي الْأَصَحِّ
Maksudnya: Jika seorang musafir melakukan solat jamak, kemudian antara dua solat tersebut (solat yang pertama) dia menjadi mukim (menetap); maka batal solat jamak. Tetapi (sekiranya menjadi mukim) ketika solat yang kedua atau selepas selesai solat kedua, tidak terbatal solat pada pendapat yang sahih.
Menurut Imam al-Syarbini ketika menerangkan petikan di atas, sekiranya seorang musafir menjadi mukim ketika melaksanakan solat kedua atau selepas selesai solat kedua; maka solat jamaknya tidak terbatal. Ini kerana solatnya telah terlaksana dan selesai sebelum hilangnya keuzuran (musafir). [Lihat: Mughni al-Muhtaj 1/533]
Seseorang musafir terangkat rukhsahnya apabila menjadi mukim sama ada kenderaan yang dinaiki telah sampai ke tempat bermukim atau tempat terhentinya rukhsah jamak dan qasar, atau telah berniat mukim (berniat untuk menetap lebih daripada empat hari tidak termasuk hari sampai atau hari pulang).
Penutup
Tuntasnya, di sisi mazhab Syafie, antara syarat sah solat jama’ taqdim ialah seseorang itu masih dalam keadaan musafir sehingga memulakan solat yang kedua (takbiratul ihram solat kedua).
Justeru, berdasarkan soalan yang diajukan, sah solat jamak taqdim dan qasar yang dilakukan serta tidak perlu diulang semula solat yang kedua walaupun setelah tiba di kawasan tempat tinggal dan masih belum masuk waktu solat kedua atau sudah masuk waktu dan masih berbaki waktu solat kedua.
Sebagai contoh, melakukan solat jamak taqdim Zohor dan Asar pada waktu Zohor dan tiba di rumah sama ada sebelum atau selepas masuk waktu Asar, maka tidak perlu mengulangi solat Asar tersebut kerana solat Asar telah selesai dilaksanakan dalam keadaan musafir.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman untuk mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna dan diterima oleh-Nya.
Wallahua’lam.