Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1673 : ADAKAH MASIH DISUNATKAN AMALAN-AMALAN PADA HARI JUMAAT JIKA TERGUGURNYA KEWAJIPAN SOLAT JUMAAT KERANA COVID-19?

AK1673

SOALAN

Assalamualaikum. Adakah disunatkan lagi amalan-amalan sunat pada hari Jumaat jika sekiranya tergugurnya solat Jumaat seperti disebabkan oleh COVID-19 ini?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Kita sedia maklum bahawa terdapat fatwa-fatwa daripada institusi fatwa antarabangsa pelbagai negara telah memutuskan untuk menangguhkan solat Jumaat dan solat berjemaah, sila rujuk Bayan Linnas Siri 225:  Fatwa-Fatwa Terkini Berkaitan Penangguhan Solat Jumaat dan Solat Berjemaah. Justeru itu, timbul persoalan adakah masih terdapat amalan-amalan sunat Jumaat, jika sekiranya solat Jumaat ditangguhkan?

Bagi menjawab persoalan di atas, kami kemukakan jawapan seperti berikut :

Pertamanya, Allah SWT mengganjari sesuatu amalan berdasarkan kepada niat seseorang. Hal ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khattab RA, bahawa Rasulullah bersabda :

إنَّما الأعْمالُ بالنِّيَّةِ، وإنَّما لِامْرِئٍ ما نَوى، فمَن كانَتْ هِجْرَتُهُ إلى اللَّهِ ورَسولِهِ، فَهِجْرَتُهُ إلى اللَّهِ ورَسولِهِ، ومَن كانَتْ هِجْرَتُهُ إلى دُنْيا يُصِيبُها أوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُها، فَهِجْرَتُهُ إلى ما هاجَرَ إلَيْهِ.

Maksudnya: Sesungguhnya setiap perbuatan berdasarkan kepada niat dan setiap orang itu diganjari berdasarkan apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang hijrahnya dilakukan kerana Allah SWT dan rasul-Nya, maka hijrahnya itu untuk Allah SWT dan rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah untuk apa yang dihijrahkan kepadanya.

Hadith riwayat al-Bukhari: (6689)

Begitu juga, di dalam kaedah fiqh menyebutkan bahawa:

الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: Setiap perkara itu berdasarkan kepada niatnya (tujuan).

Oleh itu, jika sekiranya sesuatu perbuatan diniatkan semata-mata kerana Allah SWT dan rasul-Nya, maka Allah SWT mengganjari seseorang berdasarkan apa yang diniatkan.

Kedua, bahawa amalan-amalan sunat hari Jumaat adalah berdasarkan kepada kemuliaan hari tersebut, iaitu hari Jumaat dan bukannya berkaitan dengan ibadat di dalamnya seperti solat Jumaat. Hal ini sama seperti kemuliaan bulan Ramadhan yang berkait dengan kemuliaan bulan tersebut dan bukan bergantung kepada ibadah berpuasa. Oleh itu, seseorang yang tidak dapat berpuasa kerana uzur atau bermusafir contohnya, dia masih mendapat ganjaran yang dijanjikan Allah SWT bagi ibadah lain di dalamnya.

Ini berdasarkan satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خير يوم طلعت عليه الشمس يوم الجمعة. فيه خلق آدم و فيه أدخل الجَنَّةَ و فيه أخرج منها و فيه ساعة لا يوافقها عبد مسلم و هو قائم يصلى يسأل الله تعالى شيئا إلا أعطاه إياه

Maksudnya: Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya ialah hari Jumaat. Pada hari tersebut diciptakan nabi Adam AS, dia dimasukkan ke dalam Syurga dan dia dikeluarkan daripadanya. Dan pada hari tersebut, terdapat satu waktu yang mana jika seseorang muslim berdiri mendirikan solat dan berdoa kepada Allah SWT akan sesuatu hajatnya, nescaya Allah SWT akan memberi apa yang dihajatkannya tersebut.

Hadith riwayat al-Bukhari: (935)

Justeru amalan-amalan di hari Jumaat masih lagi sunat untuk diamalkan seperti membaca surah al-Kahfi, mandi sunat Jumaat, memenuhi hari dengan ibadah, memakai pakaian putih dan wangi-wangian. Perbuatan ini juga sebagai tanda untuk memuliakan dan mengagungkan hari Jumaat dan mengikut sunnah Nabi SAW.

Ketiga, bahawa Allah SWT bersifat dengan sifat Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Allah SWT akan mengganjari setiap orang mukmin yang melakukan amal soleh ikhlas semata-mata kerananya. Ini bersandarkan kepada firman Allah SWT:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

(Surah an-Nahl: 97)

Imam at- Tabari dalam menafsirkan ayat ini berkata, barangsiapa yang melakukan amalan ketaatan dan menyempurnakan janji-janjinya kepada Allah SWT apabila dia berjanji daripada kalangan orang lelaki dan perempuan daripada anak Adam dalam keadaan dia seorang yang beriman, iaitu orang yang percaya akan ganjaran yang dijanjikan daripada Allah SWT dan ancaman bagi yang melakukan maksiat, nescaya Allah SWT akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik. (Rujuk Tafsir al-Tabari, 14:350)

Disamping itu pula, sunat-sunat yang berkaitan dengan solat Jumaat secara khusus, seperti memperbanyakkan langkahan ke masjid, datang awal ke masjid, mendengar khutbah, solat tahiyatul masjid dan iktikaf, maka perbuatan tersebut tidak dapat dilaksanakan disebabkan situasi sekarang.

Walaubagaimanapun sunat-sunat yang tidak berkaitan dengan solat Jumaat, maka boleh diamalkan seperti biasa seperti membaca surah al-Kahfi dan lain-lain. Hal ini berdasarkan kepada kaedah yang menyebutkan bahawa:

ما لا يدرك كله، لا يترك كله، أو لا يترك جُلّه

Maksudnya: Apa yang tidak mampu untuk dilakukan kesemuanya, janganlah ditinggalkan kesemuanya atau sebahagian besar daripadanya (yang mampu dilakukan).

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa amalan-amalan sunat hari Jumaat yang tidak berkait secara khusus dengan solat Jumaat, masih lagi disunatkan untuk dilakukan seperti mandi sunat Jumaat, membaca surah al-Kahfi, memperbanyakkan zikir dan selawat ke atas Baginda SAW dan sebagainya. Hal ini kerana kelebihan ganjaran amalan ini adalah bergantung kepada kemuliaan dan keagungan hari Jumaat dan tidak tergugur dengan tiada solat Jumaat. Adapun amalan-amalan sunat yang berkait secara khusus dengan solat Jumaat seperti berjalan kaki ke masjid, datang awal ke masjid, mendengar khutbah, beriktikaf di masjid dan lain-lain, maka ia tergugur dengan tiadanya solat Jumaat.

Oleh itu, janganlah kerana sebahagian amalan-amalan sunat Jumaat tidak dapat dilakukan, maka kita meninggalkan kesemua amalan tersebut. Hendaklah memanfaatkan sebaik mungkin masa lapang yang ada untuk menambah amalan kebaikan apa yang termampu untuk dilakukan, serta tiada mensia-siakan waktu ini dengan amalan yang tidak berfaedah. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.