Soalan:
Assalamualaikum wrm. wbt.,
Saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah ucapan salam pada akhir solat yang betul? Ada sesetengah orang cuma berkata “Salamu'alaikum Warahmatullah”, tanpa sebutan AS diawal salam tersebut. Adakah itu dibolehkan? Adakah hadith atau apa apa nas?
Jawapan:
Waalaikumussalam wrm. wbt.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Mengikut pendapat muktamad mazhab al-Syafie, ucapan salam ketika mengakhiri solat mesti dengan lafaz ta`rif, iaitu dengan lafaz Assalamu`alaikum, bukan Salamun `alaikum. Menurut Imam al-Nawawi, wujud khilaf dalam kalangan ulama yang mengharuskan lafaz Salamun`alaikum, dengan alasan hukumnya sama dengan lafaz tasyahhud, yakni diharuskan membaca salamun alaika. Mereka menyatakan tanwin pada salamun ini menempati kedudukan alif laf dalam Assalamualaikum. Ini merupakan pendapat majoriti ulama Syafieyyah dari Khurasan, seperti Imam al-Juwaini, Imam al-Baghawi dan Imam al-Rafie.
Akan tetapi majoriti ulama Syafieyyah, seperti Syeikh Abu al-Hamid, al-Bandaniji, Qadhi Abu Toyyib, dan al-Nawawi sendiri, menolak alasan ini dengan mengatakan pendapat yang lebih sahih ialah Salamun alaikum tidak boleh digunakan bahkan batal solat jika disebut dengan sengaja. Ini kerana tidak ada hadis daripada Rasulullah ﷺ yang pernah menukilkan bahawa baginda pernah membaca salam pengakhiran solat dengan lafaz Salamun. Ini berbeza dengan lafaz tasyahhud kerana wujud riwayat yang membuktikannya. Tambahan lagi, menurut Imam al-Nawawi, inilah yang telah dinaskan oleh Imam al-Syafie.
Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (3/476)
Antara hadis yang membuktikan penggunaan lafaz Assalamualaikum ialah hadis riwayat Abdullah bin Mas`ud RA yang berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ خَدِّهِ الْأَيْمَنِ، وَعَنْ يَسَارِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ خَدِّهِ الْأَيْسَرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah ﷺ mengucapkan salam (ketika solat) ke sebelah kanannya dengan “Assalamualaikum wa rahmatullah” sehingga kelihatan putihnya pipi kanan baginda, kemudian ke sebelah kiri dengan “Assalamualaikum wa rahmatullah” sehingga kelihatan putihnya pipi kiri baginda.”
Riwayat al-Nasaie (no.1325)
Ini bertepatan dengan hadis riwayat Malik bin Huwairith RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.”
Riwayat al-Bukhari (no.6008); al-Syafie dalam Musnad-nya (1/55); dan Ibn Hibban dalam Sahih-nya (no.1658)
Walau bagaimanapun, menurut pandangan lemah mazhab Syafie, dan pendapat ulama mazhab lain seperti mazhab Maliki dan Hanbali, hukum mengucap salam dengan Assalamualaikum adalah afdhal dan mengucapkan Salamun alaikum tetap sah dan tidak membatalkan solat.
Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (11/315)
Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa wajib menggunakan lafaz Assalamualaikum ketika mengakhiri solat berdasarkan pendapat muktamad mazhab Syafie. Sewajarnya para imam di masjid dan surau menggunakan lafaz yang terbukti sahih daripada Rasulullah ﷺ dan menghindari lafaz-lafaz yang dipertikaikan keharusan untuk menjaga keharmonian masyarakat.
Rujuk artikel berikut untuk penjelasan terperinci: Al-Kafi #1436 : Hukum Memberi Salam Yang Pertama Dua Kali
Semoga penjelasan ini memberikan pencerahan kepada penanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ mengurniakan kita hidayah dan inayah untuk menjalani Syariat-Nya dengan sempurna. Amin.
Disediakan oleh,
Unit Buhuth,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.