Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ
×

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 76

Soalan

Apakah yang dimaksudkan dengan haji dan umrah dan apakah perbezaan di antara dua perkara tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan ahli keluarga baginda SAW, para sahabat baginda SAW, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Merujuk kepada persoalan di atas, pengertian bagi haji dan umrah ialah:

Haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah bermaksud  mengunjungi Baitullah (Ka'bah) pada masa-masa tertentu (bulan haji, Zulhijah) serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 17 / 23)

Haji merupakan salah satu dari rukun Islam dan menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya dan melaksanakannya dikira wajib hanya sekali seumur hidup jika dilakukan lebih dari itu maka ia dikira sunat.

Antara dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah tentang kewajipan mengerjakan ibadah haji adalah seperti firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali-Imran: 97)

Istito’ah (berkemampuan) yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Rujuk Al-Muhalla, Ibn Hazm 7/54 dan Subul al-Salam, Al-Son’aani 2/180)

Imam Ibnu Kathir Rahimahullah berkata:" Adapun istato'ah (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain" (Rujuk Tafsir al-Quran  al-Azim, 1/364)

Allah SWT berfirman:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ

               Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji”

(Surah al-Hajj: 27)

Firman Allah SWT:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ

Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.”

(Surah al-Baqarah: 197)

Manakala pengertian umrah pula adalah seperti berikut:

Umrah pada bahasa ialah ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama ialah tawaf di baitullah, dan saie di antara safa dan marwah dengan ihram. (Rujuk Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, 30/314)

Sebagian ulama berpendapat bahawa hukum melaksanakan umrah adalah wajib atau fardu bagi orang yang belum melaksanakan sementara dia mampu untuk melaksanakannya.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Inilah pendapat yang  sahih dari mazhab Imam Al-Syafie, namun sebahagian ulama seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah yang mengatakan bahawa ibadah umrah itu hukumnya sunat mu'akkad pada umrah yang pertama. (Rujuk al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, 30/ 315).

Dapat kami ringkaskan di sini perbezaan di antara ibadah haji dan umrah adalah seperti berikut:

  1. Haji hanya dikerjakan pada bulan haji sahaja, iaitu bermula 1 Syawal sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Manakala waktu umrah pula adalah pada bila-bila masa sepanjang tahun
  2. Haji adalah wajib bagi setiap individu, manakala umrah pula adalah sunat dilakukan jika berkemampuan (mengikut sebahagian pendapat).
  3. Haji memerlukan wukuf di Arafah pada hari 9 Zulhijjah, bermalam di Muzdalifah dan di Mina serta melontar jamrah manakala umrah tiada wukuf serta perkara-perkara yang disebutkan tadi.
  4. Rukun haji ada lima iaitu ihram, wukuf di Arafah, tawaf, sa’ie dan tahallul, manakala umrah hanya empat iaitu ihram, tawaf, sa’i dan tahallul.

PENUTUP

Semoga dengan sedikit penjelasan dari kami berkenaan haji dan umrah dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada pembaca serta bakal-bakal jemaah haji yang akan mengerjakan ibadah haji. Kami berharap supaya setiap amalan kita diterima oleh Allah SWT dan kami turut mendoakan bakal jemaah haji selamat mengerjakan ibadah haji dan dikurniakan haji yang mabrur.

Di antara tanda-tanda haji mabrur adalah sekembalinya dari ibadah haji, seseorang itu sentiasa dalam keadaan zuhud dan merendah diri dalam hal dunia serta sentiasa bersemangat dalam mengejar akhirat. Kami berharap agar kita juga termasuk dalam golongan tersebut.

Kami akhiri Bayan Li Al-Haaj kali ini dengan sepotong doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

Maksudnya: “Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”