Mukadimah
Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.
Pertanian merupakan salah satu pekerjaan kuno dan tradisi yang amat bermanfaat kepada kehidupan manusia sejak dahulu kala lagi sehingga masa kini. Justeru, Bayan Linnas ini akan cuba merungkai dan juga memberi galakan, dorongan dan juga motivasi kepada ummah dan khalayak masyarakat untuk melibatkan diri dalam kegiatan pertanian.
Dalam Islam, pertanian merupakan salah satu daripada pekerjaan yang mulia dan amat digalakkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Banyak ayat al-Quran yang menyebut tentang hasil tanaman dan buah-buahan yang pelbagai. Dari segi akidah pula, bidang pertanian dapat mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Hal ini kerana tanda kebesaran Allah SWT dapat dilihat dengan jelas dalam proses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanaman. Justeru, pada ruangan kali ini, suka kami tajukkan dengan tajuk “Pertanian Di Dalam Islam”. Semoga dengan penjelasan ini menyuntik semangat kepada seluruh umat Islam dalam memajukan lagi sektor pertanian ini di Malaysia. Amin.
Dalil al-Quran dan Hadis Berkenaan Bertani dan Bercucuk Tanam
Apabila seseorang itu melakukan aktiviti pertanian, ia akan lebih membuatkan seseorang itu memahami hakikat sebenar bertawakal kepada Allah SWT yang berkuasa menghidup dan mematikan. Jika Allah SWT takdirkan sesuatu tanaman itu hidup, tanaman itu akan hidup dan tidak mengecewakan petani. Namun jika Allah menginginkan sebaliknya maka itulah ketetapan takdir Allah SWT terhadap si petani itu. ltulah kekuasaan Allah SWT seperti firmannya:
وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًا نُّخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُّتَرَاكِبًا وَمِنَ النَّخْلِ مِن طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ وَجَنَّاتٍ مِّنْ أَعْنَابٍ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُشْتَبِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ ۗ انظُرُوا إِلَىٰ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكُمْ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: "Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuhtumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah-buahan) yang bergugusgugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dan mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berubah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman "
(Surah aI-An'am: 99)
Ibn Kathir berkata: Berkenaan firman-Nya “انظُرُوا إِلَىٰ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ” (Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berubah, dan ketika masaknya), al-Barra’ bin ‘Azib, Ibn ‘Abbas, al-Dahhak, ‘Atha al-Khurasani, al-Suddi, Qatadah dan ulama’-ulama’ yang lain berkata: “Maksudnya fikirkanlah kekuasaan Penciptanya, daripada tidak ada menjadi ada, setelah sebelumnya dalam bentuk sepohon kayu, kemudian menjadi anggur dan kurma dan sebagainya daripada pelbagai ciptaan Allah SWT dalam bentuk pelbagai warna, bentuk, rasa dan aroma. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/260)
Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا، أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا، فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ، إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَة
Maksudnya: “Mana-mana orang Islam yang bercucuk tanam kemudian dimakan daripadanya burung, manusia atau binatang tiada yang lain kecuali baginya sebagai sedekah.”
Riwayat al-Bukhari (2320)
Ibn Battal ketika menjelaskan hadith di atas menyebut: “Ini menunjukkan bahawa sedekah untuk semua jenis haiwan dan makhluk bernyawa di dalamnya terdapat pahala.” (Lihat Syarh Ibn Battal, 11/473)
Manakala dalam hadith yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا إِلَّا كَانَ مَا أُكِلَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةً وَمَا سُرِقَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةٌ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ مِنْهُ فَهُوَ لَهُ صَدَقَةٌ وَمَا أَكَلَتْ الطَّيْرُ فَهُوَ لَهُ صَدَقَةٌ وَلَا يَرْزَؤُهُ أَحَدٌ إِلَّا كَانَ لَهُ صَدَقَةٌ
Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang menanam pohon, kecuali sesuatu yang dimakan dari tanaman itu akan menjadi sedekah baginya, dan yang dicuri akan menjadi sedekah. Apa sahaja yang dimakan oleh binatang buas darinya, maka sesuatu (yang dimakan) itu akan menjadi sedekah baginya. Apapun yang dimakan oleh burung darinya, maka hal itu akan menjadi sedekah baginya. Tidak ada seorang pun yang mengurangi, kecuali itu akan menjadi sedekah baginya.”
Riwayat Muslim (3945)
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadith ini berkata: “Dalam hadith-hadith ini terdapat keutamaan menanam pohon dan tanaman, bahawa pahala pelakunya akan terus mengalir selama mana pohon dan tanaman itu masih ada, serta sesuatu (benih) yang keluar daripadanya sampai hari kiamat masih ada. Para ulama berselisih pendapat tentang pekerjaan yang paling baik dan paling afdhal. Ada yang berpendapat bahawa yang terbaik adalah perniagaan. Ada yang menyatakan bahawa yang terbaik adalah pertukangan tangan. Ada juga yang menyatakan bahawa yang terbaik adalah bercucuk tanam. Inilah pendapat yang benar. Aku telah memaparkan penjelasannya di akhir bab al-Ath’imah dalam kitab Syarh al-Muhazzab. Dalam hadith-hadith ini terdapat keterangan bahawa pahala dan ganjaran di akhirat hanyalah khusus bagi kaum muslimin, dan bahawa seorang manusia akan diberi pahala atas sesuatu yang dicuri dari hartanya, atau dirosakkan oleh haiwan, atau burung atau sejenisnya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 10/457)
Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020
Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020 merupakan dasar yang dirangka setelah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) tamat pada tahun 2010.
Menurut Ringkasan Eksekutif Dasar Agromakanan Negara (2011 – 2020), dasar ini digubal dengan objektif seperti berikut:
- Menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan;
- Menjadikan industri agromakanan sebagai industri yang berdaya saing dan mampan; dan
- Meningkatkan tahap pendapatan usahawan tani.
Lapan idea utama yang digariskan menerusi dasar ini ialah:
- Jaminan bekalan makanan - kecukupan, kebolehdapatan, keselamatan dan mampu beli.
- Pembangunan pertanian bernilai tinggi.
- Pembangunan pertanian mampan.
- Kluster pertanian dinamik, memaksimumkan penjanaan pendapatan.
- Pelaburan swasta pemangkin transformasi pertanian moden.
- Modal insan pertanian bestari dan berinformasi.
- Pemodenan pertanian berpacukan Penyelidikan dan Pembangunan, teknologi dan inovasi.
- Keunggulan khidmat sokongan pertanian. (Lihat Ringkasan Eksekutif Dasar Agromakanan Negara (2011 – 2020), 11-13)
Realiti Keperluan Makanan Di Malaysia
Malaysia termasuk antara negara yang mengimport sumber utama makanan dari negara-negara jiran. Perkara ini menunjukkan bahawa kita masih lagi memerlukan sumbangan import daripada luar negara dalam memenuhi keperluan makanan rakyat Malaysia itu sendiri khasnya. Hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada berita-berita yang dilaporkan di dada-dada akhbar berikut:
- Malaysia Terlalu Bergantung Kepada Import Makanan[1]
- Malaysia masih bergantung kepada import makanan[2]
- Kebergantungan Malaysia terhadap import makanan membimbangkan- Salahuddin[3]
- Bangunkan Tanah Terbiar Untuk Tambah Hasil Makanan[4]
Hukum Bertani
Bertani boleh menjadi fardu ain dan satu kewajipan baginya jika itulah sumber pendapatannya untuk diri dan keluarga bagi keperluan menyara kehidupan. Begitu juga, jika pemerintah mengeluarkan arahan kepada seseorang yang ada kepakaran dalam satu-satu bidang pertanian yang diperlukan negara atau masyarakat dan tidak ada orang lain yang mampu melakukannya, maka dia juga wajib menjalankan usaha itu.
Namun, apabila ada ramai petani yang mampu melakukan usaha sedemikian, maka menjadi fardu kifayah kepada sesiapa melakukannya demi kepentingan awam untuk mengeluarkan bekalan makanan yang cukup bagi semua. Dalam Islam, fardu kifayah lebih mulia dan penting bagi seseorang untuk melakukannya.
Hal ini kerana manfaatnya lebih besar daripada manfaat peribadi. Bidang pertanian menjadi fardu kifayah kepada seseorang kerana manfaatnya lebih besar daripada manfaat peribadi. Kebanyakan fuqaha Islam berpendapat bahawa bidang pertanian adalah lebih afdal atau utama di sisi agama Islam berbanding perniagaan, perusahaan atau perkilangan.
Rasulullah SAW menjelaskan kepentingan pertanian di dalam sabdanya yang bermaksud:
إِنْ قامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا
Maksudnya: “Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.”
Riwayat Ahmad (3/183), al-Tayalisi dalam Musnadnya (2068) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (479)
Imam al-‘Aini ketika menjelaskan faedah daripada hadith ini, antara lain menyebut bahawa padanya terdapat keutamaan mencari rezeki dengan tangan sendiri. (أفضلية الكسب باليد). (Lihat Umdah al-Qari, 12/155)
Imam al-Son’ani berkata: Padanya terdapat galakan untuk bercucuk tanam tumbuhan dan benih serta padanya kebaikan yang banyak. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 4/241)
Hadith ini menggambarkan kepada kita betapa pentingnya bidang pertanian sehinggakan hampir kiamat pun digalakkan lagi bercucuk tanam oleh Rasulullah SAW. Ini menunjukkan bidang ini tidak boleh diabaikan sama sekali kerana ia adalah penyumbang utama kepada kehidupan manusia. Pertanian merupakan satu ibadah.
Pertanian Mengikut Perspektif Islam
Jika diperhatikan dalam al-Quran, terdapat banyak ayat mengenai hasil tanaman dan buah-buahan yang pelbagai. Ini secara tidak langsung menunjukkan kepentingan industri pertanian daripada perspektif Islam.
Daripada aspek akidah, pertanian dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah. Hal ini kerana tanda kebesaran Allah dapat dilihat dengan jelas dalam proses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanaman. Bertani akan lebih membuatkan seseorang itu memahami hakikat sebenar tawakal kepada Allah dan beriman kepada kekuasaan-Nya. Walaupun petani perlu bekerja keras dan menggunakan segala kepakaran untuk menjayakan usaha pertaniannya, namun yang memberikan hasil adalah Allah SWT.
Petani berusaha dan berdoa agar mendapat hasil baik. Walau bagaimanapun, hasil yang diharapkan tidak menjadi, maka hendaklah pasrah kepada ketentuan Allah. Ia hendaklah diterima sebagai sebahagian daripada qada’ dan qadar Allah. Pun begitu, ia tidak bermakna petani boleh berserah tanpa melakukan usaha yang terbaik dengan bantuan teknologi terkini.
Sesuai dengan kedudukannya sebagai sektor yang sangat digalakkan, kita dapati ada beberapa insentif diperuntukkan dalam Islam bagi sektor ini, sama ada kebendaan atau kerohanian.
Bagi umat Islam, bidang pertanian adalah antara cara mudah bagi mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah, selain menerima manfaat atau pendapatan halal daripada hasil jualan keluaran pertanian.
Kenapa Bertani?
Dalam menjawab persoalan ini, kami kemukakan dua alasan.
Pertama: al-Syahid Hasan al-Banna pernah berkata: “Islam menggalakkan manusia bekerja untuk mencari rezeki malah menetapkan yang mereka berkemampuan hendaklah bekerja. Islam memuji pekerja yang profesional.”
Kedua: Hasil usaha yang terbaik adalah hasil usaha tangan sendiri. Justeru, Islam mengecam pengangguran kerana sudah tentu akan terbeban kepada ummah dan khalayak masyarakat. Lebih parah lagi membawa kepada berlakunya jenayah dengan cara mencuri dan sebagainya.
Cabaran Untuk Menceburi Pertanian
Disana terdapat beberapa isu yang menjadi kekangan dan halangan bagi mereka yang ingin bertani, antara lain ialah:
- Persepsi negatif yang menganggap ia adalah golongan fakir dan miskin.
- Ketiadaan contoh dan teladan petani yang berjaya besar-besaran ditonjolkan menyebabkan minat ke arah itu berkurangan.
- Tidak jelasnya kefahaman berkenaan dengan potensi dan prospek masa depan dalam bidang pertanian.
- Tiada sokongan dan dokongan sama ada dari segi tanah atau kos permulaan dalam mengusahakan bidang pertanian.
- Pernah menemui kegagalan dalam bidang pertanian menyebabkan mereka merasa serik dan patah semangat.
- Mereka tidak mempunyai rakan kongsi yang baik yang dapat sama-sama membantu menjayakan usaha ini.
- Dangkalnya ilmu berkenaan pertanian menyebabkan mereka tersalah urus yang menghasilkan kerugian.
Akibat kesukaran mendapatkan pekerjaan dan persaingan yang hebat dalam merebut jawatan di sektor awam dan swasta, persepsi belia lepasan IPT tentang bidang pertanian sedikit demi sedikit mulai berubah ditambah pula setelah melihat kejayaan usahawan tani yang berjaya dan memperoleh pendapatan yang lumayan. Golongan belia berpendidikan pada hari ini juga lebih terbuka dan melihat potensi yang terbuka luas untuk mereka ceburi di bidang pertanian. Mereka tidak lagi boleh bergantung kepada kerja makan gaji, mereka perlu mengambil keputusan untuk keluar daripada paradigma lama menjadi usahawan yang berjaya di bidang pertanian.
Kisah Dua Pemilik Kebun
Firman Allah SWT:
وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلًا رَّجُلَيْنِ جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنَابٍ وَحَفَفْنَاهُمَا بِنَخْلٍ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًا ﴿٣٢﴾ كِلْتَا الْجَنَّتَيْنِ آتَتْ أُكُلَهَا وَلَمْ تَظْلِم مِّنْهُ شَيْئًا ۚ وَفَجَّرْنَا خِلَالَهُمَا نَهَرًا ﴿٣٣﴾ وَكَانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَاحِبِهِ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَنَا أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا ﴿٣٤﴾ وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَـٰذِهِ أَبَدًا ﴿٣٥﴾ وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُّ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِّنْهَا مُنقَلَبًا ﴿٣٦﴾ قَالَ لَهُ صَاحِبُهُ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ سَوَّاكَ رَجُلًا ﴿٣٧﴾ لَّـٰكِنَّا هُوَ اللَّـهُ رَبِّي وَلَا أُشْرِكُ بِرَبِّي أَحَدًا ﴿٣٨﴾ وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّـهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ إِن تَرَنِ أَنَا أَقَلَّ مِنكَ مَالًا وَوَلَدًا ﴿٣٩﴾ فَعَسَىٰ رَبِّي أَن يُؤْتِيَنِ خَيْرًا مِّن جَنَّتِكَ وَيُرْسِلَ عَلَيْهَا حُسْبَانًا مِّنَ السَّمَاءِ فَتُصْبِحَ صَعِيدًا زَلَقًا ﴿٤٠﴾ أَوْ يُصْبِحَ مَاؤُهَا غَوْرًا فَلَن تَسْتَطِيعَ لَهُ طَلَبًا ﴿٤١﴾ وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِ فَأَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ عَلَىٰ مَا أَنفَقَ فِيهَا وَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُشْرِكْ بِرَبِّي أَحَدًا ﴿٤٢﴾ وَلَمْ تَكُن لَّهُ فِئَةٌ يَنصُرُونَهُ مِن دُونِ اللَّـهِ وَمَا كَانَ مُنتَصِرًا ﴿٤٣﴾ هُنَالِكَ الْوَلَايَةُ لِلَّـهِ الْحَقِّ ۚ هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا ﴿٤٤﴾ وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاءٍ أَنزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ فَأَصْبَحَ هَشِيمًا تَذْرُوهُ الرِّيَاحُ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ مُّقْتَدِرًا ﴿٤٥﴾ الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا
Maksudnya: “Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain. Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai. Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai".
Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini. berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: "Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?
Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu, Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi".
Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!" Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri. Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”
(Surah Al-Kahfi: 32-46)
Pengajaran Kisah
- Fitnah harta atau nikmat dunia ini perlu ditempuhi dengan keimanan.
- Tanpa keimanan, kita akan menjadi sombong dan menganggap bahawa harta yang berada di tangan ini diperolehi hasil usaha kita semata-mata.
- Tanpa keimanan, harta hanyalah akan menjadi penyebab kepada kerosakan diri kita. Bahkan, bukan kita lagi yang memiliki dan menjadi tuan ke atas harta itu, tetapi harta itulah yang nantinya menguasai kita.
- Kita tidak lagi dapat mengawal harta, bahkan harta itulah yang mengawal kita pula sehingga segala urusan kita, ditentukan kepentingannya mengikut kepentingan harta.
- Harta tidak lagi berada di tangan untuk dikawal, tetapi telah menjadi berhala dalam hati yang mengawal segala tindakan kita.
- Pemilik kebun yang diceritakan di dalam surah Al-Kahfi ini adalah manifestasi kisah fitnah harta yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat kita.
- Dia diberikan harta bukan saja dari kualiti yang terbaik, tetapi juga dengan kuantiti yang terbaik.
- Sepatutnya dia menyedari bahawa apa yang dia miliki itu sebenarnya hanyalah pinjaman Allah ke atas dirinya, namun dia bongkak menyatakan bahawa dialah yang memiliki kesemuanya itu, sedangkan tiadalah dia memiliki harta yang banyak itu melainkan dipinjamkan Allah untuk seketika sahaja.
Demikian Allah mengingatkan di dalam Al-Kahfi ayat 32-46 melalui kisah pemilik kebun agar kita berhati-hati dengan fitnah harta.
Kenyataan Mufti Wilayah
Menekuni sirah salafus soleh sementelahan lagi sunnah Rasulullah SAW jelas menunjukkan bahawa orang islam diperintah untuk bekerja dalam apa jua bidang sekalipun. Yang penting dapat memberi sumbangan kepada diri sendiri sementelahan lagi kepada masyarakat dan negara. Salah satu bidang yang penting pada masa kini adalah agroculture. Kerana itulah negara maju pada masa kini berlumba-lumba untuk meningkatkan produktiviti hasil pertanian dan penternakan mereka. Tidaklah pelik sebahagian negara menjadikan hasil pertanian dan penternakan sebagai salah satu daripada hasil utama negara mereka. Sebagai contoh negara yang mengamalkannya ialah New Zealand dan Australia yang begitu giat menghasilkan penternakan kambing biri-biri dan lembu. Mereka menjadi negara pengeksport utama hasil penternakan dan juga pertanian. Berdasarkan kepada kenyataan ini, dengan penuh keinsafan, maka hendaklah kita memanfaatkan hasil bumi supaya jangan ditinggalkan kosong dan sia-sia tanpa sebarang pemghasilan. Berdasarkan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Ibn Abdullah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَتْ لَهُ أَرْضٌ فَلْيَزْرَعْهَا فَإِنْ لَمْ يَزْرَعْهَا فَلْيُزْرِعْهَا أَخَاهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki tanah, hendaklah dia bercucuk-tanam padanya ataupun diserahkan tanah itu kepada saudaranya (untuk bercucuk-tanam).”
Riwayat Muslim (1536)
Pedoman dan iktibar daripada hadis ini adalah:
- Islam telah menggalakkan untuk memenuhi bumi dan tanah yang terbiar dengan pertanian dan lain-lain yang mendatangkan hasil. Ini bertujuan untuk mendatangkan manfaat tanah tersebut. Dalam feqah disebut berkenaan dengan muzara’ah dan juga musaqah.
muzara’ah menurut bahasa Arab ialah kata terbitan zara’a iaitu tanaman mengikut wazan mufa’alah. Menurut istilah ulama fiqh, muzara’ah ialah kontrak yang ditandatangani antara pemilik tanah dengan pihak yang lain yang akan menjalankan kerja penanaman dan penjagaan tanaman. Hasil yang diperolehi pula dikongsi antara mereka berdua bergantung kepada perjanjian yang dipersetujui. Sementara benih pula akan dibekalkan oleh pemilik.
Musaqah menurut bahasa ialah siraman. Menurut istilah syarak pula, musaqah adalah kontrak antara pemilik tanaman dengan pihak lain yang akan melakukan kerja-kerja pemeliharaan, penjagaan dan segala kerja yang diperlukan. Sebagai belasannya, pihak kedua tadi (pengusaha) akan mengambil kadar tertentu daripada hasil yang diperolehi.
Mukhabarah dalam bahasa arab adalah kata terbitan khabar yang bermakna tanah yang lembut. ‘Khabartu al-Ard’ bermaksud saya memajak tanah untuk bercucuk tanam. Menurut istilah ulama fiqh, mukhabarah adalah sama seperti muzara’ah. Bezanya dalam kontrak mukhabarah benih akan disediakan oleh pengusaha. (Lihat al-Lu’Lu li al-Mukminin, 2/247-248)
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dengan tegas menyebut dalam kitabnya al-Halal wa Haram berkenaan dengan keperluan memenfaatkan tanah, antara lain katanya: “Apabila seseorang Islam itu mempunyai tanah sawah yang sah menurut undang-undang, maka ianya hendaklah menggunakan tanah tersebut dan memanfaatkannya dengan bercucuk tanam. Islam membenci melihat tanah yang kosong kerana ianya dianggap mensia-siakan nikmat dan kehilangan harta. Nabi SAW sendiri sentiasa melarang manusia daripada mensia-siakan hartanya.
Dr. Gharib al-Sirjani berkata: Pertanian atau tumbuhan yang wujud dalam jiwa soorang Islam itu menggambarkan berkaitan nikmat Allah SAW yang menjadi sumber manfaat, rezeki dan kebahagiannya. Dengan sebab itu, telah sebati dan tenang pada jiwa muslim bilamana melihat dengan penuh kasih sayang kepada suasana yang penting ini. Maka tidak hairanlah banyak nas-nas daripada al-Quran dan hadis menggesan kepada orang Islam untuk bertanam sekalipun ketika kiamat hampir tiba sedangkan wujud pada tangannya semaian tanaman.[5]
Semoga pemikiran kita berkenaan dengan pertanian atau penternakan jauh kehadapan dengan melihat kepada skala yang amat besar.
Penutup
Tuntasnya, sebagai seorang Islam yang bertakwa kepada Allah SWT hendaklah bersifat profesional dalam setiap tugasan dan pekerjaan yang diceburi dengan menanam sikap rajin, proaktif, produktif, aktif dan dinamik. Hal ini juga termasuklah bagi mereka yang menjadikan sektor pertanian sebagai sumber rezeki mereka. Islam tidak meminggirkan sektor pertanian dalam sudut pencarian rezeki. Sektor pertanian dilihat menjadi salah satu daripada sumber utama ekonomi negara yang mampu memacu negara ke arah yang lebih baik.
Sudah sampai masanya sektor pertanian ini digerakkan dalam bentuk skala besar yang membawa kepada perubahan samada kepada petani itu sendiri bahkan keluarganya sehingga mereka benar-benar menjadi petani yang berjaya dan sesuailah mereka mendapat al-Falah iaitu kemenangan dan kejayaan.
Wallahu a’lam.
[1] Lihat laporan akhbar bertajuk: “Malaysia Terlalu Bergantung Kepada Import Makanan” pada pautan berikut: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/04/07/import-makanan bertarikh: 7 April 2016
[2] Lihat laporan akhbar bertajuk : “Malaysia masih bergantung kepada import makanan” pada pautan berikut: https://malaysiagazette.com/blog/2017/08/09/malaysia-masih-bergantung-kepada-import-makanan-nogeh/ bertarikh: 9 Ogos 2017
[3] Lihat laporan akhbar bertajuk: “Kebergantungan Malaysia terhadap import makanan membimbangkan- Salahuddin” pada pautan berikut: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kebergantungan-malaysia-terhadap-import-makanan-membimbangkan-salahuddin-182034 bertarikh: 2 Ogos 2018
[4] Lihat laporan akhbar bertajuk: “Bangunkan Tanah Terbiar Untuk Tambah Hasil Makanan” pada pautan berikut: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1726092 bertarikh: 14 Mei 2019
[5] Lihat artikel bertajuk: “Islam menggesa supaya bertani dan bercucuk tanam” Bertarikh: 3 Ogos 2017. Bacaan lanjut pada pautan berikut: https://islamstory.com/ar/artical/3407977/%D8%AD%D8%AB-%D8%A7%D9%84%D8%A7%D8%B3%D9%84%D8%A7%D9%85-%D8%B9%D9%84%D9%89-%D8%B2%D8%B1%D8%A7%D8%B9%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D9%86%D8%A8%D8%A7%D8%AA