Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-353: HADITH LURUSKAN SAF

 

ih353_15291523.png

 

 

Soalan: Apakah benar ucapan ini daripada Nabi SAW kerana ia sering diucapkan oleh para imam sebelum melaksanakan solat?

 

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam kesempurnaan solat”

 

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Meluruskan saf termasuk di dalam adab-adab solat berjemaah. Disunatkan oleh imam untuk tidak memulakan solat sebelum saf diluruskan dan disunatkan juga mengarahkan makmum yang berada di belakangnya untuk meluruskan saf. Adapun, sekiranya masjid itu besar, maka disunatkan untuk melantik seseorang untuk memastikan agar saf-saf diluruskan dengan cara mengelilinginya atau dengan cara mengarahkan (dengan menggunakan suara). Disunatkan juga, bagi setiap yang hadir (di dalam saf) meminta agar disempurnakan saf jika terlihat terdapat kecacatan pada saf tersebut. Ini kerana, ia termasuk di dalam amar makruf dan juga tolong-menolong di dalam kebaikan serta ketaqwaan yang mana menyempurnakan saf adalah termasuk di dalam kesempurnaan solat. [Lihat: al-Muktamad, 439/1]

Di sana juga terdapat hadith-hadith yang menceritakan berkaitan kepentingan meluruskan saf dan sebab yang akan berlaku sekiranya diabaikan perkara ini. Antaranya:

 

  • Daripada Abu Mas’ud RA berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ مَنَاكِبَنَا فِي الصَّلَاةِ، وَيَقُولُ: اسْتَوُوا، وَلَا تَخْتَلِفُوا، فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW memegang bahu-bahu kami ketika hendak solat sambil berkata: Luruskanlah (saf kamu) dan jangan kamu berselisih sehingga hati kamu juga turut berselisih.” [Riwayat Muslim (432)]

 

  • Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ

Maksudnya: “Luruskanlah saf kamu atau Allah akan memalingkan wajah-wajah di antara kamu.” [Riwayat al-Bukhari (717)]

 

  • Daripada Abdullah bin Umar R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ، وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu meninggalkan ruang-ruang bagi syaitan. Barangsiapa yang menyambungnya (saf) maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memotong saf, maka Allah akan memotongnya” [Riwayat Abu Daud (666)]

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan arahan Nabi SAW agar meluruskan saf sebelum ditunaikan solat, antaranya adalah:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam kesempurnaan solat” [Riwayat Muslim (433)]

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam mendirikan solat” [Riwayat al-Bukhari (723)]

 

  • Daripada Abdullah bin Umar R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَقِيمُوا الصُّفُوفَ وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ وَسُدُّوا الْخَلَلَ

Maksudnya: “Dirikan saf-saf kamu serta samakan bahu-bahu kamu dan tutuplah ruang-ruang (yang ada).” [Riwayat Abu Daud (666)]

 

Ini adalah sebahagian daripada hadith-hadith yang menceritakan berkaitan lafaz Nabi SAW dalam memperbetulkan saf para sahabat sebelum Baginda SAW memulakan solat. Akan tetapi, sekiranya seseorang imam itu menggunakan lafaz yang lain, maka ia tidak menjadi masalah selagimana ucapan tersebut sampai kepada tujuan iaitu meluruskan saf. Selain itu juga, Imam al-Nawawi menyatakan hadith ini memberi galakan agar memperbetulkan (meluruskan) saf-saf (sebelum menunaikan solat) dan hadith ini juga menunjukkan keharusan bercakap di antara iqamah dan juga solat. Ini adalah pandangan mazhab kita (mazhab al-Syafie) dan juga mazhab jumhur ulama walaupun sebahagian ulama melarangnya (iaitu bercakap selepas iqamah). Namun begitu, pandangan yang tepat adalah diharuskan sama ada percakapan itu berkaitan dengan perkara-perkara yang melibatkan solat dan selain daripada solat. [Lihat: al-Minhaj, 157/4]

 

Makna Meluruskan Saf

Imam al-Iraqi ada menukilkan pandangan para ulama dalam memahami makna meluruskan saf, iaitu: [Lihat: Tharh al-Tathrib, 326/2]

  • Bagi mendapatkan istiqamah dan I’tidal pada zahir sebagaimana yang dituntut pada batin.
  • Supaya tidak diganggu syaitan dan ia akan merosakkan solat dengan waswas.
  • Memberi satu gambaran atau keadaan yang baik.
  • Supaya dapat diisi lebih ramai makmum sekiranya makmum terlalu ramai dan ia akan menjadi sempit jika tidak dirapatkan serta diluruskan saf.
  • Agar setiap makmum itu tidak disibukkan dengan melihat di antara satu sama lain akan perkara yang boleh menganggu mereka.

 

Kisah-Kisah Para Salaf al-Soleh

Di antara kisah para salaf al-Soleh berkaitan kisah para sahabat dalam menitikberatkan kelurusan saf adalah: [Lihat: Nail al-Awthar, 204/2]

 

  • Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab RA:

أَنَّهُ كَانَ يُوَكِّلُ رِجَالًا بِإِقَامَةِ الصُّفُوفِ فَلَا يُكَبِّرُ حَتَّى يُخْبَرَ أَنَّ الصُّفُوفَ قَدْ اسْتَوَتْ

Maksudnya: “Adapun beliau (Saidina Umar) mewakilkan beberapa orang lelaki untuk meluruskan saf-saf. Beliau tidak akan bertakbir (takbirat al-Ihram) sehingga dikhabarkan bahawa saf-saf telah lurus.”

 

  • Daripada Suwaid bin al-Ghaflah berkata:

كَانَ بِلَالٌ يَضْرِبُ أَقْدَامَنَا فِي الصَّلَاةِ وَيُسَوِّي مَنَاكِبَنَا

Maksudnya: “Adapun Bilal memukul kaki-kaki kami sebelum memulakan solat serta meluruskan bahu-bahu kami.”

 

Penutup

Kesimpulannya, apa-apa lafaz boleh digunakan oleh imam bagi memperbetulkan saf para makmum dan meluruskan saf termasuk di dalam sunnah Nabi SAW. Justeru itu, setiap imam perlulah mengambil peranan ini sebelum memulakan solat. Sekiranya tidak mampu maka bolehlah mewakilkan seseorang untuk memikul peranan ini. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita semua kefahaman di dalam agama. Amin.

 

Wallahua’lam