Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE 331 : MAKSUD MAHRAM SEMENTARA

IF331

 

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, apakah yang dimaksudkan dengan mahram sementara dan apakah implikasi hukum bagi yang berada dalam kategori ini ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dari sudut bahasa, terdapat beberapa pengertian bagi perkataan mahram. Antaranya kami ringkaskan dalam beberapa noktah berikut:

  • Individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat.
  • Sesuatu yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Manakala dari sudut istilah para fuqaha’ mahram bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. Rujuk Kaasyifah al-Saja, Nawawi bin ‘Umar (Hlm. 114).

Dalam menghuraikan makna-makna ayat dalam pendefinisian di atas, kami perincikan ia seperti berikut:

Pada perkataan ‘’dalam bentuk al-ta’bid’’ membawa maksud: Ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka).

Manakala perkataan ‘’bukan kerana kemuliaannya’’ merujuk kepada isteri-isteri Nabi S.A.W. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga.

Dan perkataan ‘’bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’ adalah seperti wanita majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah S.W.T :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah Al-Nisa’ (23)

Imam Al-Mawardi Rahimahullah menukilkan kata-kata Imam Al-Syafi’e yang menyebut :

أَصْلُ مَا يَحْرُمُ بِهِ النِّسَاءُ ضَرْبَانِ أَحَدُهُمَا بأنسابٍ، وَالْآخَرُ بأسبابٍ مِنْ حَادِثِ نكاحٍ أَوْ رضاعٍ

Maksudnya : Asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan. Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (9/196).

Kemudian Imam Al-Mawardi menghuraikannya dengan lebih lanjut melalui katanya : Wanita yang mahram itu ada dua kategori. Pertamanya : Bahagian yang mana individu ini haram secara selamanya. Manakala bahagian yang lain adalah haram untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama sahaja). Dan bahagian yang individunya menjadi mahram selamanya ada dua bahagian iaitu melalui nasab serta asbab (perkahwinan dan susuan). Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (9/196).

Implikasi mahram dalam kategori nasab dan juga asbab (perkahwinan dan susuan) ini adalah seperti berikut :

  • Haram berkahwin dengannya.
  • Boleh bersalaman dengannya.
  • Boleh bersendirian (berkhalwat) bersamanya.

Justeru, berdasarkan kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami mengatakan bahawa sekiranya seorang lelaki itu berkahwin dengan seorang perempuan, maka seluruh adik beradik perempuan bagi isterinya itu, sama ada adik ipar atau kakak perempuan, adalah bukan mahram bagi lelaki tersebut. Ini membawa maksud, kakak ipar atau adik ipar perempuan adalah wanita-wanita yang termasuk dalam kategori haram (untuk dikahwini) secara muaqqat (berwaktu).

Dalam makna lain, mereka ini hanyalah haram untuk dikahwini kerana larangan yang terdapat di dalam firman Allah S.W.T :

وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ

Maksudnya : Dan (janganlah) kamu menghimpunkan antara dua beradik perempuan (dalam tempoh perkahwinan yang sama).

Surah Al-Nisa’ (23)

Maka sekiranya isteri yang dikahwini tersebut meninggal dunia, maka adik beradik perempuannya tidak haram untuk beliau nikahi. Inilah yang disebutkan sebagai haram muaqqat (berwaktu).

Demikian juga keadaannya dengan seorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki. Maka seluruh adik beradik lelaki bagi suaminya itu sama ada abang ipar atau adik iparnya adalah haram muaqqat (sementara) bagi dirinya untuk dikahwini.

Antara golongan yang termasuk dalam kategori ini selain dari adik beradik lelaki bagi suami atau adik beradik perempuan bagi isteri adalah bapa saudara suami atau ibu saudara isteri, sama ada dari sebelah ayah atau ibu mereka. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

لاَ يُجْمَعُ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَعَمَّتِهَا وَلاَ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَخَالَتِهَا

Maksudnya : Tidak boleh untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama) antara seorang perempuan dengan ibu saudaranya (dari sebelah ayah) dan begitu juga dengan ibu saudaranya (dari sebelah ibu).

Riwayat Al-Nasaie (3288)

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa pada asasnya tidak terdapat istilah mahram sementara, melainkan mahram itu hanyalah disebabkan tiga faktor iaitu nasab, susuan, atau musaharah yang mana implikasi dari hal ini menjadikan mereka itu mahram buat selamanya yang membawa kesan haram berkahwin dengan mahram, halal bersentuhan kulit, serta boleh untuk berduaan dengan mereka yang bergelar mahram tersebut.

Akan tetapi yang terdapat hanyalah pengharaman dalam tempoh tertentu (sementara) atau disebut juga sebagai haram muaqqat dari sudut tidak boleh berkahwin dengan individu yang berada dalam kategori ini untuk tempoh yang tertentu sahaja.

Maka implikasinya, dalam berhadapan dalam golongan kategori haram muaqqat ini, seseorang itu perlulah memelihara batasan aurat sama seperti bukan mahram yang lain. Tidak boleh berkhalwat (bersendirian dalam keadaan berdua) dengan mereka, tidak boleh bersentuhan kulit, dan juga boleh berkahwin dengan mereka sekiranya sudah tiada atau hilangnya sebab yang menghalang.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.