Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE- 147: BERBUKA PUASA KERANA MUSAFIR KEMUDIAN BERJIMAK SELEPAS SAMPAI DI RUMAH, ADAKAH DIKENAKAN KAFFARAH?

 buka puasa musafir jimak.JPG

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Mufti. Saya ingin tahu, bolehkah seorang suami yang baru pulang dari musafir dan dia tidak berpuasa menyetubuhi isterinya, sedangkan si isteri tidak musafir, bolehkah isterinya menolak permintaan suami tersebut? Apakah hukum bagi mereka berdua sekiranya mereka bersetubuh? Dan adakah dikenakan kaffarah? Terima kasih.

 

Jawapan

Waalaikumsalam. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

 

Rukhsah Musafir

Rukhsah adalah keuzuran yang dibenarkan oleh syarak untuk berbuka puasa di antaranya adalah bermusafir yang diharuskan. Ini seperti firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain

(Surah al-Baqarah, 184)

Apa yang dimaksudkan rukhsah musafir adalah perjalanan yang panjang melebihi dua marhalah (85Km) dan boleh melakukan solat jamak dan qasar. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu li Zuhaili, 3/1695)

Sekiranya berbuka puasa ketika musafir wajib untuk menggantikannya di hari yang lain sebanyak mana yang ditinggalkan. Dan seharusnya digantikan dengan secepat mungkin tanpa melengahkannya sehingga ke bulan Ramadhan yang mendatang. (Lihat: al-Mausua’h al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/75-76)

 

Al-Imsak (menahan diri)

Sekiranya seseorang itu dibenarkan membuka puasa (sebab syarie) pada awal hari berpuasa seperti haid, musafir dan sakit, kemudian gugur keuzuran pada hujung harinya itu seperti suci dari haid, sampai ke tempatnya (mukim) dari bermusafir dan hilang sakit. Terdapat dua pandangan sama ada ia perlu menahan diri daripada berpuasa ataupun tidak.

  • Diwajibkan menahan diri (al-Imsak) baki daripada hari itu. Ini bermakna apabila gugur keuzuran (rukhsah) itu pada sebelum waktu subuh maka diwajibkan berpuasa seharian. Sekiranya gugur keuzuran(rukhsah) selepas waktu subuh diwajibkan menahan diri (al-Imsak).
  • Tidak diwajibkan menahan diri (al-Imsak) kerana mengikut pandangan Ibnu Mas’ud RA katanya:

مَنْ أَكَل أَوَّل النَّهَارِ، فَلْيَأْكُل آخِرَهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang makan pada permulaan waktu siangnya, hendaklah ia makan pada akhirnya.

Ini kerana diharuskan baginya berbuka pada permulaan siang secara zahir dan batin. Sekiranya ia berbuka maka seharusnya ia meneruskannya sehingga penghujung hari. Seperti seolah-olah keuzuran (rukhsah) itu masih berlaku.

Ibnu Qudamah berkata: Sekiranya salah sesorang melakukan jimak selepas gugurnya keuzuran (Rukhsahnya), terdapat dua riwayat pada keadaan ini:

  • Sekiranya pendapat: Wajib menahan diri (al-Imsak) maka hukumnya seperti ia melakukan jimak ketika berpuasa (dikenakan Kaffarah)
  • Sekiranya berpendapat: Tidak wajib menahan diri (al-Imsak) maka tidak mengapa (tidak dikenakan Kaffarah jimak) (Lihat: al-Mausuah al-Fiqhiyah al-Quwaitiyah, 28/82)

Dr. Muhammad Zuhaili menyatakan sekiranya seseorang yang musafir membuka puasa, kemudian kembalinya di tempat ia bermukim pada waktu siang Ramadhan, maka disunatkan ia menahan diri (al-Imsak) sehingga waktu berbuka. Ini bertujuan menghormati waktu berpuasa. Perkara ini tidak diwajibkan, akan tetapi dilarang makan dan minum di hadapan orang yang tidak mengetahui keuzuruannya (rukhsah) dikhuatiri mendatangkan tuduhan dan fitnah. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/197)

 

Kaffarah

Barang siapa yang melakukan jimak di siang hari Ramadhan secara sengaja dan dengan ikhtiarnya sendiri maka batallah puasanya dan dikenakan kaffarah kubra ini sepertimana Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya:

بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ. قَالَ: مَا لَكَ؟ قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِى وَأَنَا صَائِمٌ، في رواية: في رَمَضَان. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا؟ قَالَ: لاَ. فَمَكَثَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم، فَبَيْنَمَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ، أُتِىَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِفرقٍ فِيهِ تَمْرٌ. قَالَ: أيْنَ السَّائِلُ؟ فَقَالَ: أَنَا. قَالَ: خُذْهَا فَتَصَدَّقْ بِهِ. فَقَالَ: الرَّجُلُ أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّى يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي، فَضَحِكَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ، ثُمَّ قَالَ: أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ

Maksudnya: “Ketika kami duduk di samping Rasulullah SAW, seorang lelaki menemui Baginda, dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku binasa.” Baginda bertanya: “Kenapa?” Jawabnya: “Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa.” Dalam riwayat yang lain, dalam bulan Ramadhan. Sabda Baginda: “Adakah kamu boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?” Jawabnya: “Tidak.” Baginda bersabda: “Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Jawabnya: “Tidak.” Sabda Baginda: “Adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?” Jawabnya: “Tidak.” Rasulullah SAW diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, Nabi memberi sebakul tamar, lalu bersabda: “Di manakah orang yang bertanya tadi?” Lelaki itu menjawab: “Aku.” Sabda Baginda lagi: “Ambillah tamar ini dan sedekahkan.” Lelaki itu berkata: “Adakah ada orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang lebih fakir daripada keluargaku di antara Timur dan Barat Madinah ini!” Nabi SAW ketawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda: “Berikan makan tamar itu kepada keluargamu.”

Hadis Riwayat al-Bukhari (1834)

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan wajib seseorang suami membayar kaffarah. Dan tidak dikenakan ke atas perempuan walaupun ia berpuasa. Ini kerana hak yang membayar kaffarah jimak dikhususkan ke atas lelaki bukan perempuan seperti mahar. Kerana perbuatan menyetubuhi disandarkan kepada lelaki, maka wajib ke atasnya kaffarah. Oleh itu, perempuan hanya wajib mengqada puasanya sahaja. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/204)

 

Ketaatan

Islam melarang melatakkan ketaatan kepada makhluk dalam perkara kemaksiatan kepada Allah SWT ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali RA, Sabda Nabi SAW:

لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Tidak ada ketaatan dalam kemaksiatan kepada Allah SWT, sesungguhnya ketaatan itu pada perkara kebaikan

Hadis Riwayat Abi Daud (2625)

Al-khattabi dalam mensyarahkan hadis di atas menyatakan: “Tidak wajib mentaati sesuatu perkara yang munkar dan dimaksudkan dengan perkara makruf (kebaikan) iaitu perkara kebaikan yang menepati syarak”. (Lihat: ‘Aun al-Ma’bud wa hasyiah ibnu al-Qaiyyum, 7/208)

 

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, isteri boleh menolak permintaan suami untuk melakukan perbuatan tersebut kerana tidak wajib untuk mentaati perkara yang maksiat. Ini seperti hadis yang di atas diriwayatkan oleh Saidina Ali RA.

لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Tidak ada ketaatan dalam kemaksiatan kepada Allah SWT, sesungguhnya ketaatan itu pada perkara kebaikan

Hadis Riwayat Abi Daud (2625)

Sekiranya mereka bersetubuh dengan rela maka perbuatan itu adalah diharamkan kerana isteri sengaja membatalkan puasanya. Dan meninggalkan puasa Ramadhan merupakan perkara yang diharamkan syarak.

Begitu juga suami yang menggalakkan kepada kemaksiatan, walaupun suami tidak diwajibkan berpuasa dan boleh melakukan jimak kerana diberi rukhsah kepadanya, namun menyuruh isteri berbuka puasa adalah perkara yang diharamkan.

Said Sabiq menukilkan kata-kata Imam Zahabi: “Sesungguhnya barang siapa yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja adalah lebih buruk daripada perbuatan berzina dan meminum arak bahkan mereka ini diragukan keislamannya dan berkemungkinan kafir zindik” (Lihat: Fiqh al-Sunnah, 1/434)

Oleh itu perbuatan bersetubuh itu, merupakan satu kesalahan yang besar dan diharamkan syarak serta wajib bertaubat dan berazam tidak mengulanginya kembali. Walaupun tidak dikenakan kaffarah bagi suami kerana dalam keadaan tidak berpuasa disebabkan rukhsah musafir.

Wallahualam.