Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 248: HUKUM MELAKUKAN SOLAT WITIR SEBANYAK DUA KALI PADA SATU MALAM

HUKUM_MELAKUKAN_SOLAT_WITIR_SEBANYAK_DUA_KALI_PADA_SATU_MALAM.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Datuk mengenai solat sunat witir. Adakah kita dibenarkan menyambung solat witir dengan melakukannya dengan bilangan genap seperti dua rakaat pada awal malam kemudian menyambungnya dengan menambah bilangan agar menjadi bilangan yang ganjil pada akhir malam (ketika qiamullail)?

Sekian terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Umat Islam digalakkan untuk melaksanakan solat sunat witir. Perlaksanaannya boleh dilakukan mengikut kemampuan sama ada sebanyak satu atau tiga rakaat dan seterusnya. Namun, terdapat larangan menghimpunkan dua witir pada satu malam berdasarkan hadis yang dinyatakan. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian para sahabat Nabi yang mengulangi solat witir kali kedua dengan cara menggenapkan witir yang pertama dengan satu rakaat, kemudian solat tahajud, kemudian melaksanakan solat witir pada akhir solatnya. Oleh yang demikian, kita boleh memilih sama ada melaksanakan solat witir sekali pada awal waktu atau mengulanginya sewaktu qiamullail berpandukan amalan sebahagian sahabat Nabi SAW.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Solat witir merupakan amalan ibadah yang sering dilakukan oleh umat Islam terutamanya apabila bulan Ramadan menjelang tiba. Solat witir juga merupakan ibadah yang sangat digalakkan kepada setiap umat Islam. Perkara dapat dilihat berdasarkan beberapa riwayat yang berkaitan tentang galakan melakukan solat witir ini. Terdapat beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: Kekasihku (Rasulullah S.A.W) berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur.

Riwayat Al-Bukhari (1981)

Begitu juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِترًا

Maksudnya: Jadikanlah solat witir sebagai solat terakhir kamu pada waktu malam.

Riwayat Al-Bukhari (998)

Berkenaan dengan kaifiat atau tatacara mengerjakan solat witir pula, terdapat beberapa cara yang disebutkan oleh para ulama berkaitan perlaksanaan solat witir. Penjelasan lebih lanjut mengenainya boleh didapati di pautan berikut: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3734-al-kafi-1393-tatacara-solat-witir-yang-afdhal

Namun begitu, seseorang itu tidak dibolehkan melakukan witir sebanyak dua kali pada satu malam. Hal ini kerana terdapat larangan untuk melakukan witir sebanyak dua kali berdasarkan hadis Talq bin Ali, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

‌لَا ‌وِتْرَانِ ‌فِي ‌لَيْلَةٍ

Maksudnya: Tiada dua witir dalam satu malam.

Riwayat Abu Daud (1439)

Hal ini turut dinyatakan oleh Imam al-Ramli:

(فَإِنْ أَوْتَرَ ثُمَّ تَهَجَّدَ أَوْ عَكَسَ) أَوْ لَمْ يَتَهَجَّدْ أَصْلًا (لَمْ يُعِدْهُ) أَيْ لَا تُطْلَبُ إعَادَتُهُ، فَإِنْ أَعَادَهُ بِنِيَّةِ الْوِتْرِ عَامِدًا عَالِمًا حَرُمَ عَلَيْهِ ذَلِكَ، وَلَمْ يَنْعَقِدْ كَمَا أَفْتَى بِهِ الْوَالِدُ - رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى - لِخَبَرِ «‌لَا ‌وِتْرَانِ ‌فِي ‌لَيْلَةٍ» وَهُوَ خَبَرٌ بِمَعْنَى النَّهْيِ

Maksudnya: Sekiranya seseorang itu menunaikan witir kemudian tahajud atau sebaliknya atau tidak melakukan tahajud langsung, maka tidak boleh mengulangi (witir) iaitu dia tidak dituntut untuk mengulanginya. Sekiranya dia mengulanginya dengan niat witir secara sengaja dan mengetahui (larangan mengulangi witir), maka hukumnya haram dan tidak sah sepertimana yang difatwakan oleh ayahanda(bapa al-Ramli) berdasarkan hadis “Tiada dua witir pada satu malam” yang memberi makna larangan.[1]

(Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 2/115)

Walau bagaimana pun, terdapat amalan para sahabat seperti Ibnu Umar yang mengulangi witir kali kedua dengan menggenapkan witir yang pertama dengan satu rakaat, kemudian melaksanakan solat tahajud. Setelah itu, melaksanakan witir kali kedua pada akhir solatnya. Amalan ini dinamakan sebagai pembatalan witir yang pertama.[2]

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/454)

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa umat Islam digalakkan untuk melaksanakan solat sunat witir. Perlaksanaannya boleh dilakukan mengikut kemampuan sama ada sebanyak satu atau tiga rakaat dan seterusnya. Namun, terdapat larangan menghimpunkan dua witir pada satu malam berdasarkan hadis yang dinyatakan. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian para sahabat Nabi yang mengulangi solat witir kali kedua dengan cara menggenapkan witir yang pertama dengan satu rakaat, kemudian solat tahajud, kemudian melaksanakan solat witir pada akhir solatnya. Oleh yang demikian, kita boleh memilih sama ada melaksanakan solat witir sekali pada awal waktu atau mengulanginya sewaktu qiamullail berpandukan amalan sebahagian sahabat Nabi SAW.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Ramli, Shamsuddin Muhammad bin Abu al-Abbas Ahmad bin Hamzah Shihabuddin, (1985). Nihayah al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Fikr, Jld: 2, Hlmn: 115.

[2] (وَقِيلَ يَشْفَعُهُ بِرَكْعَةٍ) أَيْ يُصَلِّي رَكْعَةً حَتَّى يَصِيرَ وِتْرُهُ شَفْعًا ثُمَّ يَتَهَجَّدَ مَا شَاءَ (ثُمَّ يُعِيدُهُ) كَمَا فَعَلَ ذَلِكَ ابْنُ عُمَرَ وَغَيْرُهُ لِيَقَعَ الْوِتْرُ آخِرَ صَلَاتِهِ، وَيُسَمَّى هَذَا نَقْضَ الْوِتْرِ

Al-Syarbini, Shamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khatib, (1994). Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar Kutub al-Ilmiyah. Jld: 1, Hlmn: 454.