Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-219 : HUKUM MENGAMALKAN JAMPI NENEK MOYANG

 

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, perlukah saya mengikuti ilmu-ilmu dari nenek moyang saya. Ini kerana ibu dan kakak kakak saya masih mengekalkan ilmu-ilmu yang nenek moyang saya turunkan kepada mereka. Ilmu-ilmu yang saya maksudkan di sini lebih kepada perkataan dalam bahasa kami (bahasa etnik kami) dan juga jampi-jampi yang diturunkan. Saya mohon pencerahan dan penjelasan mengenai hal ini.

 

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Secara umumnya, Islam tidak melarang sesuatu ilmu atau amalan sekiranya ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip ajaran Islam serta tidak melanggar batas-batas yang telah digariskannya. Namun, sekiranya sesuatu ilmu atau amalan itu bercanggah dengan apa yang telah digariskan oleh syariat Islam, maka kita ditegah daripada mengikuti dan mengamalkannya.

Firman Allah SWT:                                        

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنزَلَ اللَّـهُ وَإِلَى الرَّسُولِ قَالُوا حَسْبُنَا مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۚ أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ

Maksudnya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?”

(Surah al-Maidah: 104)

Sayyid Qutb ketika menafsirkan ayat ini berkata: “Islam datang membawa konsep tauhid untuk mentauhidkan kuasa yang ditaati manusia supaya dengan konsep ini ia dapat membebaskan manusia daripada ubudiyyah (perhambaan) kepada sesama manusia dan juga daripada berbagai-bagai tuhan. Islam datang untuk membebaskan diri manusia daripada kepercayaan yang karut marut dan memulangkan semula kehormatan dan kemuliaan akal manusia. Disebabkan itulah, Islam memerangi segala bentuk paganisme sama ada di dalam hati nurani atau di dalam syiar-syiar ibadat atau di dalam peraturan-peraturan hidup dan sistem kehidupan.” (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 4/530)

Di dalam Islam, ketaatan dan kepatuhan kepada sesama manusia hanya dibolehkan dalam perkara-perkara yang tidak melanggar perintah Allah SWT sahaja. Apabila sesuatu yang disuruh kepada kita itu adalah jelas melanggar perintah Allah SWT, maka kita tidak dibenarkan untuk mengikut serta mematuhinya.

Ketaatan dan kepatuhan yang dibolehkan hanyalah dalam perkara-perkara kebaikan sahaja. Nabi SAW bersabda:

لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Tidak ada ketaatan dalam perkara maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan hanyalah pada perkara yang ma’ruf (kebaikan)”

Riwayat al-Bukhari (7257) dan Muslim (1840)

Begitu juga di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ

Maksudnya“Tidak ada ketaatan pada makhluk dalam maksiat kepada Allah.”

Riwayat Ahmad (1095), al-Tabarani dalam
al-Mu’jam al-Kabir (18/229)

Oleh itu dapat difahami bahawa ketaatan kepada sesama manusia adalah bersyarat iaitu hendaklah dalam perkara kebaikan dan tidak bercanggah dengan perintah Allah SWT. Sekiranya berlaku percanggahan, maka hendaklah merujuk kembali kepada al-Quran dan Sunnah Baginda Nabi SAW.

Menggunakan Perkataan Tertentu atau Jampi Di Dalam Islam

Antara ilmu atau amalan yang sesetengah masyarakat warisi daripada nenek moyang ialah jampi iaitu kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian seperti boleh menyembuhkan penyakit dan lain-lain. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Di dalam bahasa arab, ia dikenali dengan al-ruqyah (الرقية). Ruqyah menurut Ibnu Manzur dalam Lisan al-Arab (14/331) ialah العوذة , iaitu berlindung diri. Jampi terbahagi kepada dua jenis:

  1. Jampi daripada ayat-ayat al-Quran, nama-nama Allah SWT, sifat-sifat-Nya dan doa-doa yang ma’thur.
  2. Jampi dalam bahasa yang tidak difahami atau bercampur aduk antara kebenaran dan kepalsuan, juga daripada unsur-unsur pemujaan syirik yang menyeleweng daripada syariat.

Kami kemukakan di sini beberapa hukum berkaitan jampi di dalam Islam:

Haram

Hukumnya adalah haram bagi semua jenis jampi yang mengandungi syirik seperti pemujaan kepada jin, syaitan atau ungkapan yang digunakan dan tidak difahami, bukan daripada al-Quran dan al-Hadis.

Hal ini berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Mas’ud R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan ‘tiwalah’ itu adalah syirik.”

Riwayat Imam Ahmad (3615), Abu Daud (3883)
dan Ibnu Majah (3530)

Imam al-Syaukani menyebut: “Dijadikan tiga ini syirik iaitu jampi, tangkal dan tiwalah adalah disebabkan mereka beri’tiqad bahawa perkara-perkara tersebut memberi bekas atau kesan, bukan Allah SWT.” (Lihat Nail al-Authar oleh al-Syaukani, 9/85)

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Perkara yang dilarang dalam jampi menurut para ulama’ ialah kata-kata selain Arab yang tidak dapat diketahui maksudnya. Hal ini kerana kemungkinan kata-kata tersebut menunjukkan kepada sihir atau kufur. Namun, jika kata-kata tersebut dapat diketahui maksudnya, yang ada padanya sebutan Allah SWT dan zikir kepada-Nya, maka hukumnya adalah dibolehkan.” (Lihat kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 459-450)

Oleh itu, jelas bahawa apa yang dilarang ialah jampi yang mengandungi syirik seperti pemujaan kepada jin dan syaitan. Begitu juga jika menggunakan ungkapan-ungkapan yang tidak jelas dan tidak diketahui maksudnya. Ini kerana berkemungkinan ia mengandungi unsur sihir atau kufur.

Harus

Hukum adalah harus bagi jampi-jampi yang diambil daripada al-Quran, al-Hadis dan ungkapan yang difahami maknanya yang tidak mengandungi syirik. Hal ini antaranya adalah berdasarkan hadis Auf bin Malik R.A. Namun, walaupun Rasulullah SAW mengizinkan, namun Baginda menetapkan syarat yang ketat iaitu (مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ) -selama mana tidak ada padanya syirik.

Diriwayatkan daripada Auf bin Malik al-Asyja’ie R.A, katanya:

كُنَّا نَرْقِى فِى الْجَاهِلِيَّةِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ تَرَى فِى ذَلِكَ فَقَالَ: اعْرِضُوا عَلَىَّ رُقَاكُمْ لاَ بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ

Maksudnya“Kami menjampi ketika jahiliyah. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu dalam hal itu? Lalu Rasulullah menjawab: “Tunjukkan kepadaku jampi kamu itu.” (Baginda bersabda kemudian) “Tidak mengapa dengan jampi asalkan saja tidak ada padanya syirik (mempersekutukan Allah).”

Riwayat Muslim (5862)

Imam al-Baghawi di dalam kitab Syarh al-Sunnah menyebut bahawa walaupun diharuskan, namun ia hendaklah dengan syarat tidak ada unsur syirik padanya. Adapun jika menggunakan al-Quran dan zikir hukumnya harus dan digalakkan. (Lihat Syarh Sunnah, 12/159)

Di dalam hadis yang lain, Nabi SAW ditanyakan berkenaan satu jampi yang diamalkan oleh keluarga Amr bin Hazm. Mereka menjampi dengannya daripada kala jengking. Setelah ditunjukkan jampi tersebut, lalu Baginda SAW bersabda:

مَا أَرَى بَأْسًا مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَنْفَعْهُ

Maksudnya: “Apa yang aku lihat tidaklah mengapa. Sesiapa yang berupaya mendatangkan manfaat kepada saudaranya, hendaklah dia berikan manfaat itu kepadanya.”

Riwayat Muslim (5861)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata bahawa para ulama Islam telah bersepakat bahawa jampi atau ruqyah itu diharuskan sekiranya memenuhi tiga syarat:

  1. Menggunakan kalamullah atau nama-nama dan sifat-Nya;
  2. Menggunakan Bahasa Arab atau selainnya, selagi mana boleh difahami;
  3. Hendaklah meyakini bahawa jampi itu tidak berpengaruh dengan sendirinya, sebaliknya ia berkesan dengan sebab Allah SWT yang mengizinkannya. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al-Asqalani, 16/259)

Sekiranya salah satu daripada ketiga syarat tersebut tidak dipenuhi, maka jampi tidak dibolehkan.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami berpandangan bahawa hendaklah diteliti ungkapan-ungkapan atau lafaz yang digunakan dalam berjampi. Sekiranya bukan daripada al-Quran dan al-Sunnah, serta mengandungi unsur-unsur mensyirikkan Allah SWT, maka ia adalah dilarang sama sekali. Begitu juga sekiranya kata-kata yang digunakan adalah tidak jelas dan tidak difahami kerana dibimbangi terdapat padanya unsur-unsur sihir dan kufur.

Walaupun begitu, menggunakan al-ruqyah al-syar’iyyah atau jampi yang diharuskan syara’ dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa tertentu adalah dibolehkan apabila tiada unsur syirik dan kekufuran. Di samping itu, ia mestilah bersih daripada sebarang unsur-unsur menyeru dan berdoa kepada jin, syaitan ataupun melibatkan amalan-amalan yang bercanggah dengan syarak.

Kami nukilkan juga di sini garis panduan yang dikeluarkan oleh JAKIM bertajuk “Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam” antara lain menyebut:

  • Penggunaan jampi dibolehkan dan digunakan dengan syarat:
    1. menggunakan ayat al-Qur’an
    2. menggunakan bahasa yang difahami
  • Jangan mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh, sebaliknya Allah yang berkuasa.
  • Tidak boleh mengamalkan bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya dikhuatiri mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir serta bercampur aduk dengan ayat al-Quran.
  • Tidak boleh membaca mana-mana ayat al-Quran secara songsang, seperti Qui Huwallab dan lain-lain. (Lihat Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam oleh JAKIM, hlm. 16)

Akhir sekali, marilah kita berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk kepada kita atas apa yang diredainya serta memberi kefahaman dalam urusan agama sehingga kita dapat mengetahui dan mengikuti jalan yang lurus.

Wallahua’lam.