Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 231: HUKUM MENINGGALKAN SOLAT JUMAAT KERANA BERTEMBUNG DENGAN KELAS PENGAJIAN

Soalan:

Assalamualaikum. Saya kini sedang menyambung pengajian di Jerman. Jika kelas saya bertembung dengan solat Jumaat, adakah saya perlu mengutamakan solat Jumaat atau menghadiri kelas? Subjek bagi kelas tersebut pula antara subjek yang penting dan kritikal.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm wbt.

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Kewajipan Solat Jumaat dan Keuzuran yang Menggugurkan Kewajipan

Solat Jumaat merupakan satu kewajipan yang amat dituntut dalam Islam.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).

(Surah Al-Jumu’ah: 9)

Namun dalam beberapa keadaan, ada rukhsah atau keringanan untuk tidak menunaikan solat Jumaat. Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِيَ فَلَمْ يَمْنَعْهُ مِنَ اتِّبَاعِهِ عُذْرٌ فَلَا صَلَاةَ لَهُ قَالُوا: وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ، أَوْ مَرَضٌ

Maksunya: Barangsiapa yang mendengar (azan) tukang azan lalu dia tidak memiliki keuzuran yang menghalangnya mengikuti solat (jemaah), maka solatnya tidak diterima. Sahabat bertanya, “Apakah itu keuzuran?” Baginda menjawab: “Perasan takut dan sakit.”

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut, yang bermaksud,“Dan setiap keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit yang dinaskan ke atasnya. Justeru, tidak wajib Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.”

Rujuk Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/497)

Pengecualian juga diberikan kepada orang musafir berdasarkan kepada perbuatan Nabi SAW yang tidak melakukan solat jumaat ketika Baginda SAW bermusafir sepertimana ketika Nabi SAW dalam perjalanan menunaikan haji yang mana hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, maka Nabi SAW telah melakukan solat Zohor dan Asar secara jamak.

 

Adakah Pelajar Yang Bermusafir yang Tidak Mastautin Wajib Solat Jumaat

Maka dalam hal ini, perlu ditentukan apakah seorang pelajar yang bermusafir untuk tempoh yang lama dan tidak bermastautin wajib untuk solat Jumaat?

Menurut mazhab Syafi’e, wajib solat Jumaat untuk seorang yang bermusafir dan bermuqim di satu tempat untuk 4 hari atau lebih dan berniat untuk kembali ke tempat asalnya walaupun setelah berlalu tempoh yang lama. (Rujuk Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf, At-Taqrirat As-Sadidah, m/s 324 dan Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 1/496)

Namun dalam mazhab Hanbali, terdapat sedikit keringanan. Ibnu Qudamah, salah seorang ulama’ besar mazhab Hanbali ada menyebut tentang hukum solat Jumaat bagi mereka yang bermusafir dan tidak berniat mastautin di tempat tersebut, seperti pelajar, askar atau peniaga; satu pandangan menyebut mereka wajib menunaikan solat Jumaat berdasarkan keumuman ayat yang mewajibkan solat Jumaat.

Pandangan kedua pula tidak mewajibkan musafir yang tidak berniat mastautin untuk solat Jumaat. Hanya yang bermuqim dan bertaraf warga sahaja yang wajib. (Rujuk Al-Mughni, 2/252  dan Al-Kafi fil Fiqh al-Imam Ahmad, 1/321)

Maka dalam hal ini, terdapat keringanan dalam mazhab Hanbali untuk tidak solat Jumaat bagi mereka yang bermusafir dan berada dalam keadaan muqim untuk satu tempoh yang lama tetapi tidak bermastautin. Namun demikian, rukhsah ini hanya terpakai sekiranya tidak ada jalan lain dan benar-benar berada dalam keadaan darurat.

 

Mematuhi Arahan Allah SWT Semampu Mungkin

Ancaman Rasulullah SAW terhadap mereka yang sengaja meninggalkan solat Jumaat perlu diberi perhatian. Abu al-Ja`d meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: "Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya."

Hadis riwayat al-Tirmidzi (500). Beliau menyatakan hadis ini hadis hasan.

Allah SWT juga berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu takut kepada Allah SWT sedaya upaya kamu.

(Surah at-Taghabun: 16)

Ayat ini bermaksud segala arahan Allah SWT hendaklah dipatuhi sedaya upaya mungkin, dan segala larangan Allah SWT hendaklah dijauhi semampu mungkin.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami menegaskan bahawa hukum asalnya ialah kewajipan solat Jumaat tidak gugur hanya kerana waktu solat Jumaat bertembung dengan kelas pengajian. Sesiapa yang menghadapi keadaan seumpama ini hendaklah berusaha sedapa upaya untuk hadir juga ke solat Jumaat seperti berbincang dengan pensyarah untuk menukar jadual kelas atau lain-lain.

Jika tiada pilihan lain, barulah dibenarkan untuk berpegang pada salah satu pandangan dalam mazhab Hanbali yang tidak mewajibkan golongan pelajar yang dalam keadaan musafir muqim untuk solat Jumaat. Ini jika ditakuti akan berlaku kesusahan jika tidak hadir kelas, seperti tidak dibenarkan mengambil peperiksaan, terpaksa mengulang semester pengajian dan membawa kepada implikasi kewangan dan lain-lain.

Wallahu a’lam.