Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-306 : SUKAR MEMBACA SURAH AL-FATIHAH DALAM SOLAT BERJEMAAH

if306 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt,

Y.Bhg. Sahibul Samahah. Saya ada beberapa persoalan berhubung bacaan al-Fatihah di belakang imam. Saya telah membaca hujah-hujah seperti yang dinukilkan oleh Y.Bhg. Sahibul Samahah berhubung hukum membaca al-Fatihah di belakang imam di dalam laman web. Persoalan saya:

1)            Adakah saya boleh mengambil pendapat tidak membaca surah al-Fatihah di belakang imam dengan alasan, saya menghadapi masalah untuk mendengar bacaan sendiri apabila imam sedang mebaca atau terdapat gangguan bising lain. Saya tiada masalah untuk Fatihah ketika solat sir. Untuk makluman Y.Bhg., saya tidak boleh mebaca dengan baik apabila tidak mendengar butiran pembacaan menyebabkan saya perlu membaca dengan kuat sehingga mengganggu Jemaah lain.

2) Keduanya, sekiranya saya mengambil pendapat tidak membaca al-Fatihah di belakang imam, sekiranya saya masuk solat ketika imam membaca surah al-Fatihah awalnya atau hanya diam seperti biasa?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, Tuhan sekalian alam, Selawat serta Salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi ﷺ dan ahli keluarga Baginda, sahabat-sahabat, seterusnya mereka yang mengikut jejak Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Kami telah membahaskan isu makmum wajib membaca Surah al-Fatihah dalam solat berjemaah dalam artikel-artikel berikut:

Berdasarkan artikel-artikel tersebut, jelas kepada kita bahawa dalam mazhab al-Syafie, wajib bagi makmum untuk membaca Surah al-Fatihah pada setiap rakaat solat, sama ada solat yang dibaca nyaring atau perlahan, kecuali bagi makmum yang masbuk. Namun begitu, isu ini merupakan titik perbezaan pendapat dalam empat mazhab yang muktabar.

 

Perbezaan Pandangan Ulama Berkenaan Hukum Membaca Surah al-Fatihah Oleh Makmum

Dalam mazhab-mazhab yang lain, berikut kami ambil petikan daripada kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah berkenaan hukum bacaan Surah al-Fatihah oleh makmum di belakang imam:

“Para fuqaha’ berbeza pandangan tentang (hukum) membaca (surah al-Fatihah) di belakang imam. Malikiyyah dan Hanabilah berpandangan bahawa tidak diwajibkan makmum membaca (al-Fatihah) sama ada dalam solat jahriyyah (solat yang dibaca nyaring seperti solat Subuh) atau sirriyyah (solat yang dibaca perlahan solat Zuhur) berdasarkan sabda Nabi ﷺ daripada Jabir bin Abdullah RA:

مَنْ كَانَ لَهُ إِمَامٌ فَقِرَاءَةُ الإْمَامِ لَهُ قِرَاءَةٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mempunyai imam maka bacaan imam adalah bacaan baginya.”

Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (117) dan Ahmad dalam Musnad-nya (14643)

Berkata Imam Ibn Qundus daripada kalangan ulama Hanabilah: “Pendapat yang zahir ialah bacaan Imam cukup mengambil tempat bagi bacaan makmum, jika solat Imam itu sah. (Makmum disunatkan membaca surah al-Fatihah) sebagai langkah berhati-hati jika imam itu berhadas atau bernajis, sekalipun jika dia mengetahuinya, dan kami berpendapat dengan sahnya solat makmum itu, kerana itu makmum perlu membaca apabila tidak sahnya solat solat Imam. Maka jadilah bacaan imam itu tidak dikira atas dasar nisbahnya sebagai rukun dalam solat. Justeru, tidak gugur daripadanya kewajipan membacanya.”

Mazhab Malik dan Hanbali menaskan bahawa bagi makmum sunat untuk membaca al-Fatihah semasa solat sirriyyah.

Terdapat riwayat daripada Imam Ahmad bahawa bacaan al-Fatihah itu adalah diwajibkan (ke atas makmum) dalam solat sirr, dan ini juga merupakan pendapat Ibn al-Arabi daripada ulama Malikiyyah yang mewajibkan makmum membacanya dalam solat sirriyyah.

Hanafiyyah pula berpandangan bahawa makmum tidak perlu membaca apa-apa secara mutlak di belakang imam sekalipun dalam solat sirriyyah, malah menganggap membacanya adalah makruh tahrim jika dilakukan di belakang imam, walaupun jika dibaca solatnya tetap sah menurut pendapat yang asah (lebih sahih).

Mereka berkata: “Makmum hendaklah mendengar apabila imam menguatkan suaranya dan dia apabila Imam membaca perlahan.”

Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas yang berkata apabila Baginda menjadi imam dan ada orang yang membaca di belakang Baginda lalu turunlah ayat: “

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya)”

(Surah al-A`raf: 204)

Berkata Imam Ahmad: “Manusia telah berijmak bahawa ayat ini diturunkan dalam solat.”

Berkata Ibn Abidin yang menukilkan daripada kitab al-Bahr: “Hasil (manfaat) daripada ayat itu adalah bahawa sesungguhnya dituntut dengannya dua perkara; mendengar dan diam. Lalu hendaklah diamalkan dengan kedua-duanya. Maka yang pertama itu dikhususkan bagi solat jahriyyah dan yang kedua tidak dikhususkan, maka hukum bergerak atas kemutlakannya. Justeru, wajib dia ketika dibacakan secara mutlak. Daripada Zaid bin Thabit: “Tidak ada bacaan bersama imam pada suatu apa pun. Terdapat 80 orang daripada kibar Sahabat yang melarang makmum daripada membaca. Ini kerana makmum itu disuruh untuk mendengar secara ijmak maka tidak wajib ke atasnya (untuk membaca) apa pun kerana akan menafikan ijmak itu, oleh sebab dia tidak akan mampu untuk menghimpunkan kedua-duanya (membaca dan mendengar). Maka jadilah kes yang sama dengan isu khutbah. Sesungguhnya ketika khutbah, apabila seseorang itu disuruh untuk mendengar khutbah, tidak wajib ke atas setiap yang mendengar untuk berkhutbah sendiri-sendiri bahkan tidak boleh, begitulah perkara ini.”

Manakala golongan Syafieyyah berpandangan wajib membaca al-Fatihah ke atas makmum, sama ada dalam solat sirriyyah atau jahriyyah, berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak (sah) solat bagi orang yang tidak membaca fatihah al-kitab (yakni Surah al-Fatihah)”

Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (394)

Begitu sabda Nabi ﷺ:

لَا تُجْزِئُ صَلَاةٌ لَا يَقْرَأُ الرَّجُلُ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak memadai solat orang yang tidak membaca fatihah al-kitab di dalamnya.”

Riwayat al-Daraqutni (1225) dalam Sunan-nya daripada Ziyad. Beliau mengatakan hadis ini isnadnya sahih.

Para ulama Syafieyyah dan Hanabilah juga menaskan bahawa makruh ke atas makmum untuk membaca (al-Fatihah) semasa imam sedang membaca secara jahar, tetapi Syafieyyah mengecualikan keadaan apabila makmum itu berasa takut akan terlepas (atau tidak sempat menghabiskan) sebahagian bacaan al-Fatihah.

Ulama Syafieyyah juga menaskan bahawa jika seorang makmum itu mengetahui yang imamnya tidak akan membaca surah lain selepas al-Fatihah, atau membaca surah yang pendek sehingga makmum itu tidak mungkin dapat menyempurnakan bacaan al-Fatihah, maka (diharuskan) dia membacanya bersama ketika imam juga membacanya. Digalakkan bagi makmum untuk membaca semasa saktah imam (yakni ketika imam diam selepas membaca al-fatihah), atau apabila makmum tidak dengar bacaan imam atar faktor jauh atau pekak.

Berkata ulama Hanabilah: “Disunatkan untuk membaca ketika saktah imam menurut mazhab (Hanbali).”

Berkata Syeikh Taqiuddin: “Muqtadha (yakni keputusan) berdasarkan nas-nas Imam Ahmad dan majoriti ashabnya bahawa membaca selain bacaan al-Fatihah itu afdhal (semasa saktah).”

Dia berkata dalam Jami` al-Ikhtiyarat: “Keputusannya, hanyalah adfhal membaca selain al-fatihah itu apabila dia mendengarnya (yakni makmum mendengar bacaan al-Fatihah imam) jika dia tidak mendengarnya maka yang afdhal adalah al-Fatihah berbanding selainnya.”

                                                               Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (33/52-54)

Berdasarkan fakta di atas, kita simpulkan seperti berikut:

  • Mazhab Hanafi: Makruh tahrim ke atas makmum untuk membaca Surah al-Fatihah di belakang imam, sama ada dalam solat sirriyyah atau jahriyyah, tetapi solat makmum tetap sah.
  • Mazhab Malik: Bacaan Surah al-Fatihah tidak wajib secara mutlak bagi makmum sama ada dalam solat sirriyyah atau jahriyyah, tetapi sunat bagi makmum membacanya dalam solat sirriyyah. Ibn al-Arabi daripada ulama Malikiyyah mewajibkan makmum membacanya dalam solat sirriyyah.
  • Mazhab Syafie: Bacaan Surah al-Fatihah adalah diwajibkan sebagai rukun ke atas makmum secara mutlak. Sunat membacanya semasa saktah imam melainkan jika dikhuatiri imam tidak membaca surah lain, membaca surah pendek, atau terus rukuk, maka diharuskan tanpa makruh membaca al-Fatihah bersama dengan imam.
  • Mazhab Hanbali: Bacaan Surah al-Fatihah tidak wajib bagi makmum secara mutlak tetapi sunat bagi makmum membacanya dalam solat sirriyyah dan semasa saktah imam. Terdapat riwayat daripada Imam Ahmad bahawa bacaan al-Fatihah itu adalah diwajibkan (ke atas makmum) dalam solat sirriyyah.

 

Tarjih

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami berpendapat seperti berikut:

Semoga jawapan di atas memberikan manfaat kepada pihak yang bertanya. Wallahua’lam.