Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE 465 : HUKUM MEMBAWA BALIK FACE MASK DAN BOTOL HAND SANITIZER YANG DISEDIAKAN DI HOSPITAL

IF 465

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga Allah selamatkan kita dari wabak COVID-19 yang sedang melanda kita sekarang. Saya rakan kepada orang bertugas sebagai petugas COVID-19 di hospital. Dia cerita ada sebahagian pelawat yang melawat orang sakit mengambil dan membawa balik beberapa helai face mask dan hand sanitizer yang disediakan di wad-wad. Mereka ini betul-betul pentingkan diri dan tidak memikirkan orang lain. Kalau stok habis, kami ini hendak pakai apa?. Yang paling saya marah ada yang guna alasan hand sanitizer dan face mask sudah habis dijual. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di antara sifat orang mukmin adalah hanya mengambil sesuatu kepunyaannya dan tidak tidak mengambil sesuatu yang bukan haknya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu…”

(Surah Al-Nisa’ : 29)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut yang dimaksudkan dengan ayat tersebut ialah mengambil sesuatu yang bukan hak dan tidak digantikan semula. Ia juga diambiil tanpa redha atau kerelaan si empunya barang ataupun digunakan pada tempat yang tidak sepatutnya. Begitu juga tidak boleh untuk mengambil sesuatu walaupun dia memerlukannya tanpa izin tuan empunya. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 5/16-17).

Maka zahir ayat ini merupakan satu larangan agar kita berhati-hati agar tidak mengambil sesuatu yang bukan daripada hak kita. Inilah sikap dan sifat yang perlu ditanamkan dalam diri setiap muslim agar tidak melakukan perkara yang haram apatah lagi mengambil sesuatu yang bukan haknya.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, tidak ada masalah untuk menggunakan face masak dan  hand sanitizer yang disediakan di wad-wad kerana ianya sememangnya untuk kegunaan umum. Akan tetapi, perbuatan membawa balik botol hand sanitizerdan beberapa helai face masak tersebut adalah perbuatan yang tidak dibenarkan bahkan ditegah untuk melakukannya sama sekali.

Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Samurah Bin Jundub . Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda :

إِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ عَلَى مَاشِيَةٍ فَإِنْ كَانَ فِيهَا صَاحِبُهَا فَلْيَسْتَأْذِنْهُ فَإِنْ أَذِنَ لَهُ فَلْيَحْتَلِبْ وَلْيَشْرَبْ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهَا فَلْيُصَوِّتْ ثَلاَثًا فَإِنْ أَجَابَهُ فَلْيَسْتَأْذِنْهُ وَإِلاَّ فَلْيَحْتَلِبْ وَلِيَشْرَبْ وَلاَ يَحْمِلْ

Maksudnya : “ Jika salah seorang dari kamu berjalan dan mendapati ada kambing dan jika ada tuannya maka minta izin. Jika dia mengizinkan maka perahlah susunya dan minum. Jika tuannya tidak ada maka panggillah sebanyak tiga kali. Jika dia manyahut makan minta izin. Jika tidak maka perahlah dan minum akan tetapi jangan diambil susu tersebut untuk dibawa balik.”

Riwayat Al-Tirmizi (1296), Al-Baihaqi (20144) di dalam Al-Sunan Al-Kubra

Sheikh Abdurrahman Mubarakfuri menyebut bahawa hadis ini dikhususkan untuk orang yang betul-betul memerlukan. Kebanyakan ulama tidak membenarkan untuk memerah susu kambing tanpa izin tuannya kecuali jika dia betul-betul memerlukan dan dia tidak perlu menggantikannya menurut sebahagian pandangan dan sebahagian para ulama mengatakan dia perlu menggantikannya semula. Namun begitu, dia tidak boleh membawanya pulang. (Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi Bi Syarh Jami’ Al-Tirmizi,4/518).

Melihat kepada situasi di hospital, face mask dan hand sanitizer disediakan untuk kegunaan umum sebagai satu langkah pencegahan bagi mengelakkan kuman dan sebagainya namun ianya bukan satu keizinan untuk dibawa pulang untuk dijadikan barang peribadi. Bahkan di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda :

مَنْ دَخَلَ حَائِطًا فَلْيَأْكُلْ ، وَلاَ يَتَّخِذْ خُبْنَةً

Maksudnya : “Sesiapa yang masuk ke dalam satu kebun maka makanlah dari buahnya (jika dia memerlukan), (namun) jangan ambil dan disimpan di dalam baju (dibawa pulang).”

Riwayat Al-Tirmizi (1287)

Walaupun hadis ini ditujukan kepada mereka yang memerlukan, namun begitu garis panduan yang diberikan oleh Nabi SAW adalah ambil sekadar yang perlu. Tidak boleh mengambil melebihi keperluan sehingga membawanya pulang bersama.

Al-Mawardi telah memberikan komentar berkenaan hadis ini. Beliau menyatakan  jika ianya diletakkan di tempat yang umum maka ia melihat kepada uruf. Ada dua pandangan. Pandangan yang pertama ianya diletakkan di tempat yang umum sebagai satu keizinan untuk mengambilnya. Maka ianya boleh dimakan oleh sesiapa yang lalu di situ dengan syarat dia tidak menyimpannya dan membawanya pulang. Pandangan yang kedua, tidak boleh diambil melainkan dengan izin yang jelas dari tuan empunya kebun. (Rujuk Al-Hawi Fi Fiqh Al-Syafi’i, 15/170).

Apa yang disebutkan oleh Al-Mawardi bertepatan dengan apa yang sedang berlaku di hospital-hospital. Berkenaan dengan isu keizinan, ianya tidak timbul kerana sememangnya ia diletakkan agar boleh digunakan oleh orang awam. Namun begitu, yang menjadi masalah adalah membawanya pulang sedangkan face mask dan hand sanitizer adalah milik hospital yang mana ianya hanya dizinkan untuk digunakan ketika berada di hospital. Adapun membawanya pulang tidak termasuk di dalam klausa keizinan yang diberikan.

Perkara ini juga berdasarkan kaedah yang masyhur yang disebutkan oleh Sheikh Ahmad Al-Zarqa’ :

لَا يَجُوزُ لِأَحَدٍ أن يَتَصَرَّفَ في مِلْكِ الغَيرِ بِلَا إِذْنِهِ

Maksudnya : “Tidak boleh bagi seseorang untuk mengambil hak pemilikan orang lain tanpa izin orang tersebut.”  (Rujuk Syarh Al-Qawaid Al-Fiqhiyah, hlm 461)

Kaedah ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW:

وَلَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ مِنْ مَالِ أَخِيهِ إِلَّا مَا طَابَتْ بِهِ نَفْسُهُ

Maksudnya : “Tidak halal bagi seseorang (mengambil) daripada harta saudaranya kecuali apa yang menyenangkan dirinya (mendapat keizinannya).

Riwayat Ahmad (15488)(21083)

Justeru itu penggunaan face mask dan hand sanitizer yang disediakan mestilah digunakan mengikut had keizinan yang telah diberikan. Dalam kaedah yang lain menyebut :

كُلُّ مُتَصَرِّفِ عَنْ الغَيرِ عَلَيهِ أَن يَتَصَرَّفَ بِالمَصْلَحَةِ

Maksudunya : “Setiap  orang yang menggunakan harta orang lain, dia wajib menggunakan menurut masalahat (yang telah ditetapkan)

Menurut kaedah orang yang menggunakan harta orang lain , mestilah bertindak dan menggunakannya sesuai dengan keizinan yang telah diberikan oleh si pemilik. Ia tidak boleh menggunakan sewenangnya sehingga menganggap harta tersebut seperti hartanya. (Rujuk Mausu’ah Al-Qawaid Al-Fiqhiyah, 8/592)

Justeru itu, mereka yang menggunakan face mask dan hand sanitizer di hospital mesti gunakan seperti mana yang diizinkan. Tidak dibenarkan untuk melakukan lebih dari itu.

Kesimpulannya, perbuatan mengambil dan membawa pulang hand sanitizer dan beberapa helai face mask adalah perbuatan yang tidak dibenarkan kerana dianggap mengambil sesuatu yang dimiliki oleh pihak hospital. Ianya  terhad kepada keizinan yang telah ditetapkan iaitu hanya untuk digunakan ketika berada di hospital. Jika ada yang  mengatakan bahawa hand sanitizer dan face mask sudah habis tidak boleh dijadikan alasan untuk mengambil barang-barang tersebut yang sudah jelas dimiliki oleh pihak hospital. Kaedah menyebut  :

الغَايَةُ لا تُبَرِّرُ الوَسِيلةَ

Maksudnya : “ Matlamat tidak membenarkan cara.”

Kepada mereka yang mengambil dan membawa pulang, ingatlah setiap apa yang anda ambil akan dipersoalkan oleh Allah. Ingatlah akan hadis Nabi SAW ketika mana Nabi bersabda bahawa di akhirat kelak setiap anak Adam akan ditanya tentang empat perkara. Di antaranya :

وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ

Maksudnya :”…(Akan ditanya juga) tentang hartanya daripada mana ianya diperolehi dan ke mana disalurkan…

Riwayat Al-Tirmizi (2417)

Jangan sampai ingin memenuhi kepentingan diri sehingga menzalimi orang lain. Anda akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang anda lakukan. Bertaqwalah kepada Allah di dalam setiap perkara.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu’alam.