Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-898: ADAKAH MENYAMBUNG SILATURAHIM HANYA UNTUK YANG TERPUTUS SAHAJA

ADAKAH_MENYAMBUNG_SILATURAHIM_HANYA_UNTUK_YANG_TERPUTUS_SAHAJA.jpg                                   

Soalan

Assalamualaikum, saya ada terbaca satu hadis yang Nabi SAW kata bahawa hanya orang yang menyambung silaturahim yang telah terputus dianggap sebagai orang yang menyambung silaturahim. Kebiasaannya pada hari raya atau waktu-waktu lain, kita akan melawat saudara-mara dan kawan-kawan yang hubungan silaturahim tak terputus pun, adakah seperti ini tidak mendapat ganjaran menyambung silaturahim?

Ringkasan Jawapan

Hadis tersebut tidak menafikan bahawa membalas kebaikan saudara yang sudah berhubungan baik itu juga silaturahim. Oleh itu, berbalas kunjung dan ziarah sesama saudara yang sudah berhubungan baik tetap dikira menyambung silaturahim.

Namun, hadis ini mengajar bahawa silaturahim yang sempurna adalah lebih daripada sekadar membalas kunjungan atau kebaikan. Ia adalah tentang usaha untuk memulihkan hubungan yang terputus dan memberi kebaikan yang lebih daripada apa yang diterima.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Kelebihan Menyambung Silaturahim

Agama Islam sangat mementingkan hubungan silaturahim. Banyak hadis-hadis yang menyebutkan kepentingan dan fadilat menyambung silaturahim. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ ‌فَلْيَصِلْ ‌رَحِمَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam al-Nawawi mensyarahkan hadis ini berkata bahawa yang dimaksudkan oleh hadis ini ialah mereka yang menyambung silaturahim akan ditangguhkan ajal serta diluaskan dan dibanyakkan rezeki atau menurut pandangan yang lain ditambah keberkatan rezeki. Namun, timbul persoalan tentang bagaimana ajal boleh ditangguhkan sedangkan sedangkan ajal dan rezeki telah ditetapkan, tidak bertambah dan berkurang berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ

Maksudnya:Maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak dapat mengundurkannya walaupun sesaat dan tidak pula dapat mempercepatkannya.

Surah al-A‘raf (34)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa perkara ini dijawab oleh para ulama dengan beberapa jawapan dan yang sahih ialah penambahan yang dimaksudkan oleh hadis ini ialah penambahan keberkatan pada umur serta dengan diberi taufik untuk melakukan ketaatan, memenuhi waktu dengan perkara yang bermanfaat untuk hari akhirat dan menjaga waktu daripada perkara yang sia-sia. [1]

Peringkat-peringkat Silaturahim

Berkenaan hadis yang ditanya, ia merupakan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ، وَلَكِنِ الْوَاصِلُ الَّذِي إِذَا قُطِعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

Maksudnya: “Bukanlah orang yang menyambung (silaturrahim) itu adalah orang yang membalas kebaikan orang lain setimpal sepertimana yang dilakukan kepadanya, akan tetapi penyambung itu adalah orang yang jika ada yang memutuskan hubungan dengannya, dia bertindak menyambungnya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan pandangan al-Tiibi yang menjelaskan bahawa menyambung silaturahim yang sebenar bukanlah sekadar membalas kebaikan saudara yang sudah pun berhubungan baik dengan kita. Menurut beliau, silaturahim yang sebenar adalah apabila seseorang itu melebihi saudaranya dalam kebaikan dan usaha menyambung hubungan tersebut. [2] Maksudnya, dia bukan sekadar membalas kunjungan dengan kunjungan yang sama, tetapi memberikan lebih dari apa yang diterima, terutamanya kepada saudara yang mungkin telah menjauhkan diri.

Sementara menurut al-Hafiz al-'Iraqi, 'penyambung silaturahim' yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah yang sempurna. Beliau menjelaskan, walaupun membalas kunjungan saudara juga termasuk dalam kategori menyambung silaturahim, ia hanyalah sejenis silaturahim yang asas.

Ibn Hajar kemudiannya menyimpulkan bahawa tidak semestinya jika seseorang itu tidak dianggap penyambung silaturahim yang sempurna, dia terus dianggap pemutus silaturahim. Dalam isu ini, terdapat tiga peringkat: penyambung, pembalas, dan pemutus.

  1. Penyambung (Al-Wasil): Ialah orang yang memberi kebaikan tanpa mengharapkan balasan daripada saudaranya.
  2. Pembalas (Al-Mukafi'): Ialah orang yang memberi sekadar membalas apa yang diterima, tidak lebih.
  3. Pemutus (Al-Qati'): Ialah orang yang menerima kebaikan tetapi tidak membalasnya. [3]

 

Kesimpulan

Hadis tersebut tidak menafikan bahawa membalas kebaikan saudara yang sudah berhubungan baik itu juga silaturahim. Oleh itu, berbalas kunjung dan ziarah sesama saudara yang sudah berhubungan baik tetap dikira menyambung silaturahim.

Namun, hadis ini mengajar bahawa silaturahim yang sempurna adalah lebih daripada sekadar membalas kunjungan atau kebaikan. Ia adalah tentang usaha untuk memulihkan hubungan yang terputus dan memberi kebaikan yang lebih daripada apa yang diterima.

WaAllahua’lam

Rujukan:

[1] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy 1392H), jld. 16: hlm. 114.

أي يؤخر والاثر الاجل لانه تابع للحياة في أثرها وبسط الرِّزْقِ تَوْسِيعُهُ وَكَثْرَتُهُ وَقِيلَ الْبَرَكَةُ فِيهِ وَأَمَّا التَّأْخِيرُ فِي الْأَجَلِ فَفِيهِ سُؤَالٌ مَشْهُورٌ وَهُوَ أَنَّ الْآجَالَ وَالْأَرْزَاقَ مُقَدَّرَةٌ لَا تَزِيدُ وَلَا تَنْقُصُ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ولا يستقدمون وَأَجَابَ الْعُلَمَاءُ بِأَجْوِبَةٍ الصَّحِيحُ مِنْهَا أَنَّ هَذِهِ الزِّيَادَةَ بِالْبَرَكَةِ فِي عُمْرِهِ وَالتَّوْفِيقِ لِلطَّاعَاتِ وَعِمَارَةِ أَوْقَاتِهِ بِمَا يَنْفَعَهُ فِي الْآخِرَةِ وَصِيَانَتِهَا عَنِ الضَّيَاعِ فِي غَيْرِ ذَلِكَ

[2] Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari (Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, t.t), jld. 10: hlm. 423.

قال ‌الطيبي: المعنى ليست حقيقة الواصل ومن يعتد بصلته من يكافئ صاحبه بمثل فعله، ولكنه من يتفضل على صاحبه

[3] Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari, jld. 10: hlm. 424.

وقال شيخنا في شرح الترمذي المراد بالواصل في هذا الحديث الكامل، فإن في المكافأة نوع صلة، بخلاف من إذا وصله قريبه لم يكافئه فإن فيه قطعا بإعراضه عن ذلك، وهو من قبيل ليس الشديد بالصرعة، وليس الغنى عن كثرة العرض انتهى. وأقول: لا يلزم من نفي الوصل ثبوت القطع فهم ثلاث درجات: مواصل ومكافئ وقاطع، فالواصل: من يتفضل ولا يتفضل عليه، والمكافئ: الذي لا يزيد في الإعطاء على ما يأخذ، والقاطع: الذي يتفضل عليه ولا يتفضل. وكما تقع المكافأة بالصلة من الجانبين، كذلك تقع بالمقاطعة من الجانبين، فمن بدأ حينئذ فهو الواصل، فإن جوزي سمي من جازاه مكافئا، والله أعلم.