Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-58 : MAQASID SYARIAH : ANTARA TUNTUTAN SYARAK DAN BELITAN HAWA NAFSU

iuf 58 maqasid nafsu

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

 

Mukadimah

Imam al-Syatibi telah menggariskan salah satu tujuan syarak yang penting, iaitu al-Qasdu fi Dukhul al-Mukallaf tahta as-Syari’ah yang menetapkan kewajipan untuk manusia berada di bawah petunjuk Syariah dan tertakluk kepada segala peraturan dan hukum-hakamnya, serta kewajipan mereka untuk terus mengamalkan syariah ini, selain penetapan bahawa Syariah ini terpakai dan tertakluk kepada seluruh lapisan manusia, dan sesungguhnya penetapan kemaslahatan manusia itu adalah milik Allah SWT sebagai syari’, bukannya milik kehendak dan hawa nafsu manusia itu sendiri.

Sementara al-Qasdu al-Ibtida’ie telah meletakkan Syari’ah sebagai satu cara hidup/undang-undang/peraturan yang meliputi kebahagiaan di dunia dan di akhirat, tujuan syara’ ini pula menetapkan bahawa manusia seluruhnya perlu tunduk dan patuh kepada Syari’ah, bukannya patuh kepada hawa nafsunya.

Dengan kata lain Maqasid membebaskan manusia daripada hawa nafsu ini merupakan pelengkap kepada Maqasid ibtida’ie, iaitu mengurniakan maslahah untuk menusia. Ini kerana maslahah manusia itu, meskipun mampu dicapai dengan cara menuruti hawa nafsu mereka, hanya akan sempurna dan lengkap sifatnya melalui hukum-hakam syara’. Dan kesempurnaan maslahah ini tidak dapat direalisasikan kecuali dengan cara membebaskan manusia daripada belitan hawa nafsu, dan maslahah haqiqi itu hanyalah apa yang menepati kehendak syara’. (Rujuk Nazhariyyah al-Maqasid ‘inda al-Imam al-Syatibi hlm. 157)

 

Tujuan syara’ dalam membebaskan manusia daripada belitan nafsu

Al-Imam al-Syatibi telah menyebut pada permulaan bab ini:

المقصد الشرعي من وضع الشريعة إخراج المكلف عن داعية هواه حتى يكون عبد الله اختيارا، كما هو عبد الله اضطرارا

Maksudnya: (Salah satu) tujuan Syariah adalah untuk membebaskan manusia (mukallaf) daripada dorongan hawa nafsunya, supaya mereka menjadi hamba kepada Allah SWT secara sukarela dan melalui pilihan mereka sendiri, sebagaimana mereka menjadi hamba Allah SWT secara paksa. (Rujuk al-Muwafaqat, 2/289)

Al-Imam al-Syatibi sepertimana kebiasaannya dalam kitab ini, akan mempersembahkan sejumlah dalil dari al-Qur’an dan as-Sunnah untuk mengabsahkan hujahannya, dan sebagai mempraktikkan prinsip beliau bahawa Maqasid Syariah itu adalah terbina pada kaedah al-istiqra’ (induktif), iaitu satu proses menggabungkan sejumlah dalil yang relevan, yang mengandungi aspek dan tujuan yang berbeza- baik sifatnya zhahir, mutlaq, muqayyad, kulliyah, atau juz’iyyah dalam berbagai variasi dalam setiap bab hukum fiqh.

Selain itu, menurut beliau, harus dipertimbangkan juga qara’in al-ahwal (indikasi-indikasi keadaan), baik yang dinaskan (manqulah) mahupun yang tidak dinaskan (ghairu manqulah). Hanya dengan cara ini sahaja, menurut al-Imam al-Syatibi, satu kesimpulan hukum yang qath’ie (yakin dan pasti) dapat ditahqiqkan. (Rujuk al-Muwafaqat 1/18-19)

Dalil-dalil yang didatangkan oleh al-Imam al-Syatibi terbahagi kepada 3 bahagian:

  • Pertama, banyak nas-nas yang soreh menunjukkan bahawa sesungguhnya manusia itu diciptakan untuk mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak meciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.

Surah al-Zariyat (56)

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Sembahlah Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang sebelum daripada kamu; mudah-mudahan kamu menjadi (orang-orang yang) bertaqwa.

Surah al-Baqarah (21)

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا

Maksudnya: Dan sembahlah Allah SWT, dan jangan lah mempersekutukan-Nya walau dengan apa pun.

Surah al-Nisaa’ (36)

  • Kedua, beliau juga mendatangkan dalil-dalil yang melarang kita daripada mengingkari perintah Allah SWT, beserta ancaman ‘azab di dunia dan di akhirat bagi mereka yang berpaling daripada Allah SWT. Allah SWT juga telah menjadikan menuruti hawa nafsu sebagai bercanggah dengan kebenaran. Antara dalil yang dikemukakan ialah:

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

Maksudnya: Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurtu hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya  orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azah yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

Surah Saad (26)

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى (40) فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى

Maksudnya: Adapun orang yang takutkan keadaannya semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.

Surah al-Nazi’aat (40-41)

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى  إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى

Maksudnya: Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Qur’an atau Hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

Surah al-Najm (3-4)

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ

Maksudnya: Maka apakah pandangan kamu terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, dan ia pula disesatkan oleh Allah SWT kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar)

Surah al-Jatsiyah (23)

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ

Maksudnya: Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya.

Surah al-Mu’minun (71)

Beliau juga menyebutkan satu atsar sahabat yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya:

ما ذكر الله الهوى في كتابه إلا ذمه

Maksudnya: Allah SWT tidak menyebut berkenaan hawa nafsu di dalam Kitab-Nya, melainkan Dia akan turut menyatakan kecelaan hawa nafsu itu. (Rujuk Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatul Musytaqqin 1/469 oleh Ibn al-Qayyim dan Zamm al-Hawa hlm. 12 oleh Ibn al-Jauzi)

  • Dalil ketiga pula tulis al-Imam, bahawa telah terbuki dari segi ‘adat dan pengalaman manusiawi, bahawa maslahah duniawi dan ukhrawi tidak akan tercapai jika sentiasa mengikut dorongan hawa nafsu dan menuruti kehendak serta keinginan. (Rujuk Al-Muwafaqat, 2/292)

Kerana itulah, adalah salah jika seseorang itu berpandangan bahawa Syariah itu terbentuk dan disusun berdasarkan kepada kehendak manusia dan keinginan mereka. Syariah mahukan maslahah kepada manusia, dan menjauhkan mafsadah daripada mereka, kerana itu sememangnya kehendak asal syara’, bukan kerana Syariah ‘menuruti’ kehendak manusia. Al-Imam menambah, Syari’ah dan hawa nafsu adalah saling bertentangan antara satu sama lain, dan menurut hawa nafsu bererti menyanggahi kebenaran (al-haqq). Maka jelas, menurut beliau, dalil-dalil ini menunjukkan bahawa Qasdu al-Syari’ itu menginginkan supaya manusia menjauhi diri mereka daripada menuruti dorongan hawa nafsu, dan al-Imam menyimpulkannya dengan berkata:

أن قصد الشارع الخروج عن اتباع الهوى، والدخول تحت التعبد للمولى

Maksudnya: Adalah menjadi tuntutan syara’ supaya keluar daripada kongkongan hawa nafsu, dan masuk ke dalam lingkungan pengabdian diri kepada Tuhan. (Rujuk Al-Muwafaqat, 2/290-294)

 

Maqasid Syariah Atau Maqasid Nafsu

Pada zaman di mana ‘ilmu Maqasid ini mula diperkatakan oleh ramai orang, salah faham dan kesilapan tidak dapat tidak akan timbul. Timbul satu kebimbangan- bahkan ia telahpun berlaku- bahawa ada yang menggunakan hujah Maqasid Syariah sebagai justifikasi untuk mengabaikan dan meremehkan peranan nas syara. Golongan ini digelar oleh Dr. Yusof al-Qaradhawi dalam kitab beliau Dirasah fi Fiqh Maqasid as-Syari’ah sebagai ‘al-Mu’atthilah li an-Nusus bi ismi al-Maslahah wal Maqasid’, iaitu mereka yang mengabaikan nas syara’ atas nama maslahah dan Maqasid. Mereka ini kata Dr. Qaradhawi, jahil mengenai syari’at, tidak mempelajari Maqasid Syari’ah menurut disiplin yang teratur, kemudian bercakap mengenai Maqasid tanpa ‘ilmu, selain terpengaruh dengan proses pembaratan dan moderniti. (Rujuk Dirasah fi Fiqh Maqasid as-Syari’ah: Bainal Maqasid al-Kulliyyah wa an-Nusus al-Juz’iyyah, hlm. 83-95)

Golongan ini hanya bercakap mengenai Maqasid dari sudut al-Qasdu al-Ibtida’ie, iaitu tujuan Syari’at untuk memberi kemaslahatan kepada manusia, namun pada masa sama mengabaikan sudut-sudut Maqasid yang lain.

Sebagai contoh, salah satu tujuan syari’at yang telah dibincangkan di atas, iaitu al-Qasdu li at-Taklif, dimana Syari’at menginginkan supaya manusia itu tunduk, patuh dan tertakluk kepada tuntutan syara’; namun kita lihat ramai yang menyeru kearah perkara yang bercanggah dengan syari’at menggunakan hujah Maqasid Syariah! Ini suatu perkara yang sangat ajaib.

 

Antara hak asasi dan hawa nafsu

Hal yang sama telah juga dibangkitkan oleh Dr. Ahmad ar-Raysouni ketika beliau memberi komentar tentang isu hak asasi manusia, di mana sebahagian para pejuang hak asasi manusia moden kelihatannya mengabaikan satu sisi manusiawi yang amat penting, iaitu sisi spiritual dan dimensi keagamaan. Perjuangan mereka menampakkan seolah-olah hak asasi manusia ini hanyalah sekadar satu set kehendak-kehendak manusia, aspirasi material, keperluan lahiriah serta hak-hak mereka dari sudut politik dan perundangan.” (Rujuk Huquq al-Insan Mihwar Maqasid al-Syari’ah, hlm. 45 )

Hal ini contohnya jelas dapat dilihat pada sebahagian pejuang hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Queers (LGBTQ) serta kalangan yang menentang operasi mencegah khalwat dan zina yang dilakukan pihak berkuasa agama secara pukal. Mereka telah terkeliru antara memperjuangkan hak asasi manusia dan menuruti dorongan nafsu syahwat, dimana mereka percaya mereka mempunyai hak untuk menuruti dorongan nafsu songsang mereka, dan berhak untuk meneruskan budaya seks bebas tanpa kawalan, hanya kerana mereka mahukannya. ‘I want to do it, therefore it is my right to do it, and no one can stop me from doing it’ menjadi pegangan dan landasan hak asasi mereka.

Konsep mereka mengenai hak sangat kabur. Hak, yang berasal daripada kalimah ‘Arab haqq, bermaksud kebenaran, atau perkara yang betul dan benar. Bahkan maksudnya dalam bahasa Inggeris, right juga membawa maksud yang sama. Maka dari sudut bahasanya pun kita sudah mampu menyingkap konsep asas hak asasi manusia, iaitu melakukan perkara yang benar, dan bertepatan dengan nilai-nilai manusiawi, bukan melakukan perkara yang dimahukan oleh nafsu.

Petikan mengenai pejuang hak asasi manusia di atas juga boleh dikaitkan dengan tulisan beliau dalam buku yang lain, tatkala beliau memperkatakan tentang pembebasan manusia daripada mempertuhankan hawa nafsu dalam makalah beliau Maqalatun fil Hurriyyah, dimana beliau menegaskan bahawa menuruti hawa nafsu adalah satu perhambaan, bukan kebebasan/pembebasan (itba’ al-hawa ‘ubudiyyah la hurriyyah). Kenyataan ini berkemungkinan besar juga ditujukan kepada kelompok pejuang kebebasan dan hak asasi manusia ini yang tidak mempunyai asas perjuangan yang jelas; yang hanya memperjuangkan sisi-sisi keperluan material tanpa menumpukan kepada dimensi spiritual yang sebenarnya lebih penting.

Beliau juga menambah bahawa sesungguhnya Syari’ah cuba memandu manusia ke arah kebaikan dan manfaat mereka, meskipun ia bertentangan dengan kehendak mereka; Syari’ah juga menghalang sebarang keburukan daripada menimpa mereka, sekalipun mereka sendiri berkehendak kepada keburukan itu. (Rujuk Maqalat fi al-Hurriyyah hlm. 15-16 )

Kita harus renungi kembali pesanan Nabi Muhammad SAW dimana Baginda telah bersabda dalam satu hadith yang masyhur:

حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ

Maksudnya: Syurga itu dipenuhi dengan perkara-perkara yang dibenci, manakala neraka pula dipenuhi dengan perkara-perkara yang selari dengan dorongan syahwat.

Sunan al-Tirmizi (2560)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kita tidak harus terkeliru antara prinsip-prinsip Maqasid Syari’ah dan seruan-seruan ke arah hawa nafsu yang bertopengkan Maqasid. Kita juga perlu menjauhi daripada mengambil ‘ilmu Maqasid ini secara separuh-separuh, hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Wallahu’alam.