اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #62: PERBEZAAN ANTARA NABI DAN RASUL

NABI BEZA.JPG

Soalan:

Apakah perbezaan antara Nabi dan Rasul? Saya pernah terbaca, beza kedua-duanya ialah Rasul wajib menyampaikan wahyu yang diterima daripada Allah SWT, manakala Nabi tidak wajib menyampaikannya. Benarkah kenyataan ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Isyarat wujudnya perbezaan antara Nabi dan Rasul

Isyarat akan adanya perbezaan antara Nabi dan Rasul didapati melalui firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ وَلَا نَبِيٍّ إِلَّا إِذَا تَمَنَّى أَلْقَى الشَّيْطَانُ فِي أُمْنِيَّتِهِ

MaksudnyaDan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila ia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada ugama Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai cita-citanya;

Surah al-Hajj (52)

Dalam ayat ini Allah SWT menyebut Nabi dan Rasul secara berasingan, dan jika kedua-duanya adalah sama, nescaya Allah SWT tidak mengulang penyebutannya.

Selain itu, terdapat juga beberapa hadith yang mengisyaratkan akan adanya perbezaan antara Nabi dan Rasul. Antaranya ialah hadith riwayat Abu Dzar al-Ghifari R.A:

قلت : يا رسول الله ، كم الأنبياء ؟ قال :  مائة ألف وأربعة وعشرون ألفًاً ، قلت : يا رسول الله ، كم الرسل منهم ؟ قال :  ثلاثمائة وثلاثة عشر جَمّ غَفِير

MaksudnyaAku bertanya kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah, berapakah bilangan anbiyaa’? Nabi SAW menjawab “124,000 orang”. Aku bertanya lagi: “Berapakah bilangan Rasul daripada kalangan anbiyaa’ tersebut?” Nabi SAW menjawab: “313 orang, dan jumlah itu adalah ramai”.

Sahih Ibn Hibban (361)

Hukum hadith: Pentahqiq bagi Sahih Ibn Hibban, Syeikh Syu’aib al-Arna’ut pula menyatakan hadith ini teramat lemah (dha’if jiddan). (Rujuk Tahqiq Sahih Ibn Hibban 2/79). Hadith ini juga didhaifkan oleh Imam al-Suyuti (Rujuk al-Durr al-Manthur 5/132). Menurut Imam Ibn Kathir, salah seorang perawi hadith ini iaitu Ibrahim bin Hisyam dikritik oleh ramai ulama hadith seperti Imam Ibn al-Jauzi, dan kerana itu beliau memasukkan hadith ini di dalam himpunan hadith palsunya, al-Maudhu’at (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 2/470)

Definisi dan perbezaan antara Nabi dan Rasul

Pandangan pertama menyatakan- dan ini antara definisi yang masyhur- Nabi diturunkan wahyu kepadanya dalam bentuk syara’ dan tidak disuruh untuk menyampaikannya, manakala Rasul pula disuruh untuk menyampaikan wahyu yang diturunkan kepadanya. Ini merupakan pandangan terpilih disisi Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi dan Imam al-Sya’rani. (Rujuk Syarh al-‘Aqidah al-Tohawiyyah, hal. 158 dan Al-Yawaqit wa al-Jawahir 2/22)

Syeikh Sulaiman al-Asyqar telah menolak takrifan ini kerana beberapa alasan:

  • Allah SWT mengutuskan nabi sebagaimana Dia mengutuskan rasul, dan pengutusan semestinya mewajibkan penyampaian wahyu.
  • Tidak menyampaikan wahyu Allah SWT dikira sebagai menyembunyikan wahyu-nya, sedangkan Allah SWT tidak menurunkan wahyu-Nya untuk disimpan dalam hati seorang manusia dan hilang selepas kematiannya. (Rujuk al-Rusul wa al-Risalat, hlm. 14-15)

Diriwayatkan oleh Abdul Rahman ibn Abd al-Rabb, bahawa Baginda SAW bersabda:

إِنَّهُ لَمْ يَكُنْ نَبِيٌّ قَبْلِي إِلاَّ كَانَ حَقًّا عَلَيْهِ أَنْ يَدُلَّ أُمَّتَهُ عَلَى خَيْرِ مَا يَعْلَمُهُ لَهُمْ وَيُنْذِرَهُمْ شَرَّ مَا يَعْلَمُهُ لَهُمْ

MaksudnyaTiada seorangpun Nabi sebelumku, kecuali menjadi tanggungjawab ke atasnya untuk menunjukkan jalan yang benar kepada umatnya, dan memperingatkan mereka akan jalan keburukan.

Sahih Muslim (1844)

Pandangan kedua pula pula menyatakan bahawa Rasul diturunkan kepadanya kitab atau hukum-hakam yang tiada dalam syariat yang datang sebelumnya. Adapun Nabi pula diutus untuk menyeru kepada syariat yang telah diturunkan sebelumnya, tanpa didatangkan dengan kitab atau hukum yang baru. Maka, kita katakan bahawa setiap Rasul itu adalah Nabi, namun bukan semua Nabi itu Rasul. Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa Nabi dan Rasul itu adalah sama, namun pandangan pertama adalah lebih sahih. Ini merupakan pandangan Imam al-Zamakhsyari, Imam al-Baidhawi, Imam al-Nasafi, Syeikh Abd al-Razzaq ‘Afifi dan Syeikh Sulaiman al-Asyqa. (Rujuk Tafsir al-Kasyyaf 3/37, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil 4/57, Tafsir al-Nasafi 3/106, Muzakkirah al-Tauhid 1/43 dan al-Rusul wa al-Risalat, hlm. 14-15)

Antara dalil yang menjadi sandaran pandangan ini ialah firman Allah SWT:

إِنَّا أَنزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ ۚ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ

MaksudnyaSesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi menetapkan hukum...

Surah al-Ma’idah (44)

Namun pandangan ini juga tidak terlepas daripada kritikan. Disebut dalam satu hadith, bahawa Nabi Nuh merupakan Rasul yang pertama. Ini bermakna, Nabi Adam selaku Nabi pertama yang diutuskan 10 kurun sebelumnya, merupakan seorang Nabi namun bukan seorang Rasul. Dan jika definisi Nabi sebagai penguat syariat yang terdahulu digunapakai, maka syariat Nabi mana yang Nabi Adam bawa, sedangkan Baginda merupakan Nabi yang pertama?

Begitu juga apabila kita perhatikan firman Allah SWT:

قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّـهِ آتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا

MaksudnyaSesungguhnya aku (Nabi Isa) ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan aku seorang Nabi.

Surah Maryam (30)

Ayat ini menunjukkan bahawa penurunan kitab itu tidak hanya terhad kepada Rasul, tapi ia juga dimiliki oleh pemegang risalah kenabian.

Pandangan ketiga pula menyatakan bahawa Rasul itu diutuskan kepada kaum yang kafir dan ingkar, manakala Nabi diutuskan kepada kaum yang beriman, untuk mengajarkan mereka perkara mereka sudah ketahui dan sudah diajarkan sebelumnya.

Tidak disyaratkan bagi seorang Rasul untuk membawa syariat yang baharu, seperti halnya Nabi Yusuf yang merupakan seorang Rasul, namun Baginda berpegang kepada ajaran Nabi Ibrahim, sementara Nabi Daud dan Nabi Sulaiman merupakan Rasul, namun mereka membawa ajaran Taurat. Kerana itulah disebut dalam hadith bahawa “ulama merupakan pewaris para Nabi”, kerana para ulama tidak datang membawa ajaran baharu, melainkan meneruskan ajaran Islam yang sudah diwarisi daripada Rasulullah SAW. Ini merupakan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah. (Rujuk al-Nubuwwat 2/714-718)

Antara dalil penyokong bagi pandangan ini ialah tafsir Ibn ‘Abbas R.Anhuma terhadap firman Allah SWT:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ

MaksudnyaPada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan...

Surah al-Baqarah (213)

Menurut Ibn ‘Abbas R.Anhuma: Jarak masa antara zaman Nabi Nuh dengan Nabi Adam ialah selama sepuluh kurun, dan manusia seluruhnya pada waktu tersebut berpegang kepada syariat Allah SWT, namun kemudiannya terjadi perselisihan dan mereka mulai ingkar dan kufur, lalu Allah SWT mengutuskan para Nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan. Kata Ibn Kathir, pada tempoh waktu inilah diutuskan Nabi Nuh sebagai Rasul pertama kepada umat manusia. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 1/425)

Selain itu, tsabit juga daripada Nabi SAW akan hadith tentang syafaat pada hari akhirat, dimana:

فَيَأْتُونَ نُوحًا فَيَقُولُونَ يَا نُوحُ إِنَّكَ أَنْتَ أَوَّلُ الرُّسُلِ إِلَى أَهْلِ الأَرْضِ

Maksudnya...manusia berbondong-bondong datang kepada Nabi Nuh (untuk meminta syafaat) lalu berkata: Wahai Nabi Nuh! Sesungguhnya kamu ialah rasul pertama kepada penduduk di bumi...

Sahih al-Bukhari (4712)

Hadith ini juga menjadi penguat bahawa Nabi Adam seorang Nabi, dan bukan seorang Rasul kerana kaum keluarganya ketika itu semuanya beriman kepada Allah SWT.

Kita juga melihat di dalam al-Qur’an, dimana Allah SWT menyatakan secara jelas pengutusan Rasul-rasul beserta kaum mereka dengan misi mengembalikan mereka ke jalan tauhid:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ

MaksudnyaSesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.

Surah al-A’raf (59)

وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۚ

MaksudnyaDan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.

Surah al-A’raf (65)

وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۖ

MaksudnyaDan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.

Surah al-A’raf (73)

وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۖ

MaksudnyaDan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syu’aib. Ia berkata: "Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.

Surah al-A’raf (85)

يَا أَبَتِ لَا تَعْبُدِ الشَّيْطَانَ

Maksudnya(Nabi Ibrahim berkata) Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan.

Surah Maryam (44)

وَإِنَّ إِلْيَاسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ ﴿١٢٣﴾ إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَلَا تَتَّقُونَ ﴿١٢٤﴾ أَتَدْعُونَ بَعْلًا وَتَذَرُونَ أَحْسَنَ الْخَالِقِينَ ﴿١٢٥﴾ اللَّـهَ رَبَّكُمْ وَرَبَّ آبَائِكُمُ الْأَوَّلِينَ

MaksudnyaDan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya. "Patutkah kamu menyembah berhala Ba'la, dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta? "Iaitu Allah Tuhan kamu, dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu!"

Surah al-Saffat (123-126)

Begitu juga dengan pengutusan Nabi Musa kepada Firaun, serta Nabi Muhammad SAW kepada Musyrikin Quraisy membawa mesej tauhid yang mencakupi seluruh manusia hingga ke akhir zaman, kesemuanya menjadi petunjuk jelas bahawa mereka merupakan para Rasul yang diutuskan untuk mengembalikan manusia ke jalan pengabdian diri hanya kepada Allah SWT setelah mereka berlaku syirik menyembah selain daripada-Nya.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami berpandangan bahawa takrifan yang sering digunakan yang menyatakan Nabi tidak diperintahkan untuk menyampaikan wahyu adalah tidak tepat, dan takrifan ini dikritik oleh sekian ramai ulama.

Kami juga berpegang kepada definisi Ibn Taimiyyah, bahawa Rasul itu diutuskan kepada kaum yang kafir dan ingkar, samada dengan membawa syariat yang baharu seperti Nabi Muhammad SAW, atau dengan meneruskan syariat sebelumnya, seperti Nabi Ismail yang diutuskan kepada bani Jurhum dengan membawa syariat bapanya Nabi Ibrahim. Adapun Nabi diutuskan kepada kaum yang sudah sedia beriman, seperti Nabi Adam, Nabi Idris, Nabi Syith dan sebagainya. Definisi ini setelah diteliti adalah konsisten dengan ayat-ayat al-Qur’an dan sirah para anbiya’ dan mursalin, justeru ia definisi paling kuat untuk dipegang pada pandangan kami.

Wallahu a’lam.