اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #71: AMALAN PERLINDUNGAN DAN MEMAGAR RUMAH

perlindungan dan memagar rumah.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya ingin bertanya tentang amalan perlindungan seperti ‘memagar’ rumah. Adakah ia dibenarkan atau tidak. Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam hal melindungi diri dan rumah daripada gangguan makhluk halus ini, Nabi SAW telah mengajar kita beberapa panduan yang boleh diamalkan. Antaranya adalah dengan membacakan surah al-Baqarah dan ayat al-Kursi. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksudnya: “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.”

Riwayat Muslim (780) dan al-Nasa’ie (10735)

Menurut Ibnu Mas’ud R.A pula, kata beliau:

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ، خَرَجَ مِنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan, apabila mendengar surah al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, maka dia akan keluar daripada rumah tersebut.”

Riwayat al-Tabrani dalam Mu’jam
al-Kabir (8642) dan al-Darimi (3422)

Dalam sebuah hadis riwayat daripada Ubai ibn Ka'ab, bahawa beliau mempunyai tempat pengeringan kurma yang di dalamnya berisi kurma yang sedang dijaganya. Beliau kemudian mendapati kurma tersebut berkurangan. Tiba-tiba terdapat seekor binatang sebesar anak yang baru baligh. Dia berkata padanya: “Apakah engkau jin atau manusia?” Dia menjawab: “Aku adalah jin”.

Dalam riwayat ini jin tersebut mengatakan padanya: “Telah sampai berita kepada kami bahawa engkau suka bersedekah. Maka aku ingin mendapat sebahagian daripada makanan yang engkau hendak sedekahkan itu.” Lalu Ubai bin Ka’ab bertanya:

فَمَا الَّذِي يُجِيرُنَا مِنْكُمْ؟ قَالَ : هَذِهِ الآيَةُ آيَةُ الْكُرْسِيِّ ، ثُمَّ غَدَا أُبَيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صَدَقَ الْخَبِيثُ

Maksudnya: “Apakah yang dapat melindungi kami daripada gangguanmu?” Jin tersebut berkata: “Ayat ini, iaitu Ayat Kursi.” Keesokan harinya, Ubai menceritakan apa yang dikatakan oleh jin tersebut kepada Nabi SAW, maka Nabi SAW bersabda: “Jin itu benar.”

Riwayat al-Nasa’ie (10796)

Nabi SAW juga mengajar kita untuk membaca doa ketika ingin masuk ke dalam rumah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ

Maksudnya: “Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya, kemudian dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata (kepada temannya): ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah (bismillah dan jangan lupa mengucapkan salam) ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kamu memperoleh tempat menginap’.”

Riwayat Muslim (2018), Abu Daud (3765)

Almarhum Dato' Dr. Haron Din ketika mengulas berkenaan isu memagar rumah dan kediaman, menyebut: "Sebaik-baik cara bagi memagar rumah adalah dengan memperbanyakkan membaca al-Quran dalam rumah itu." (Lihat Kaedah Merawat Susuk, hlm. 48)

Selain itu, ibadah-ibadah seperti solat sunat juga perlu dilakukan juga di rumah selain daripada di masjid. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا

Maksudnya: “Jadikanlah sebahagian daripada solat kamu di rumah kamu. Jangan jadikan rumah kamu semua seperti kubur.”

Riwayat al-Bukhari (432) dan Muslim (777)

Apa yang dimaksudkan dengan solat di sini ialah solat sunat yang dilakukan secara sendiri. Ini sepertimana disebut dalam hadis daripada Zaid bin Thabit R.A, Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ

Maksudnya: Sesungguhnya sebaik-baik solat bagi seseorang adalah di rumahnya, kecuali solat fardhu.

Riwayat al-Bukhari (7290) dan Muslim (1861)

Oleh itu, sewajarnya kita mengamalkan perkara-perkara yang disebutkan dalam usaha melindungi diri dan tempat tinggal dari sebarang gangguan. Sesungguhnya Allah SWT lah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan. Firman-Nya:

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".

(Surah al-Taubah: 51)

Ibn Kathir berkata: Iaitu kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214)

 

Penutup

Sebagai kesimpulan, Islam membenarkan memagar rumah selagi mana dengan dibacakan ayat-ayat ruqyah daripada al-Quran dan sebagainya yang boleh menjadi pendinding daripada gangguan syaitan.

Berdasarkan nas-nas di atas, jelas bahawa perlindungan diri dan tempat tinggal boleh dilakukan dengan mengamalkan ayat-ayat seperti Surah al-Baqarah dan ayat Kursi sepertimana disebut dalam hadis Nabi SAW.

Oleh itu ajaklah ahli keluarga untuk melazimi membaca al-Quran setiap hari serta mengamalkan zikir-zikir yang ma’thur seperti himpunan zikir al-Ma’thurat, Hisnul Muslim dan sebagainya. Mudah-mudahan ia dapat menjadi pelindung diri kita dan ahli keluarga kita daripada sebarang gangguan.