AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 412 (25 OKTOBER 2016 M / 24 MUHARRAM 1438 H)
SOALAN:
Salam. Ustaz berkenaan puasa pada hri asyura .bolehkah sy puasa pada hri 10 dan 12 muharam utk mengelak sama dgn kaum yahudi tetapi bukan pada 9 atau 11 muharam
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Disunatkan berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) kerana mengikuti perbuatan Rasulullah SAW, dan fadhilatnya menghapuskan dosa pada setahun yang lalu. Selain itu disunatkan berpuasa pada sehari sebelumnya yang disebut Tasu’a (9 Muharram), kerana demikian itu untuk berbeza daripada amalan kaum Yahudi. Jika tidak berpuasa pada hari Tasu’a, disunatkan juga berpuasa pada ke-11 Muharram. Boleh juga berpuasa terus ketiga-tiga hari. Selain itu, hikmahnya agar tidak ditunggalkan puasa Asyura itu seperti mana tidak ditunggalkan berpuasa pada hari Jumaat, dan sebagai langkah berhati-hati kalau ada kekeliruan pada penetapan hilal Muharram.
Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/209-210)
Berpuasa pada 10 dan 12 Muharram bukanlah termasuk dalam kategori ‘menyelisihi orang Yahudi’ seperti yang disebut di atas. Namun, ia tidaklah bermaksud haram mahupun makruh, kerana hukum berpuasa pada 9 dan/atau 11 Muharram adalah sunat sahaja.
Berkata al-Syaukani dalam Nail al-Autar (2/549):
“Dan zahir daripada hadis bahawa sikap berhati-hati adalah dengan berpuasa tiga hari; hari ke-9, ke-10 dan ke-11. Justeru puasa Asyura itu ada tiga martabat: martabat pertama berpuasa pada hari ke-10 secara tunggal, kedua berpuasa pada hari ke-9 bersamanya, dan ketiga berpuasa pada hari ke-11 bersama kedua-duanya."
Wallahua’lam.