اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

HUKUM SABUNG AYAM DAN JUDI DI DALAMNYA

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 233 (30 MAC 2016 M / 21 JAMADILAKHIR 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum. maaf bertanya.

Boleh tak al-Fadhil S.S Mufti menerangkan mengenai permainan "Sabung Ayam" di kalangan masyarakat Melayu Malaysia khususnya. berkaitan dengan judi dan hukum dari Nas quran dan hadis.

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Hukum sabung ayam adalah haram. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.anhuma:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ التَّحْرِيشِ بَيْنَ الْبَهَائِمِ

Maksudnya: Rasulullah SAW menegah daripada melaga-lagakan antara binatang ternakan.

Hadis riwayat Imam Abu Daud (2562) dalam Sunan-nya

Imam al-Syaukani dalam menghuraikan hadis ini berkata:

وَوَجْهُ النَّهْيِ أَنَّهُ إيلَامٌ لِلْحَيَوَانَاتِ وَإِتْعَابٌ لَهَا بِدُونِ فَائِدَةٍ بَلْ مُجَرَّدُ عَبَثٍ

Maksudnya: Dan sudut larangan (dalam hadis ini) ialah bahawa perbuatan melaga-lagakan itu mendatangkan kesakitan kepada haiwan-haiwan itu dan meletihkan mereka dengan perbuatan itu tanpa apa-apa faedah (yang diiktiraf Syarak) bahkan sia-sia semata.

Lihat Nail al-Autar (8/99)

Perbuatan melaga-lagakan ini mendatangkan kesakitan kepada binatang dan menzalimi binatang. Sedangkan Islam mengajar kita untuk berlaku ihsan kepada semua makhluk Allah, termasuk tidak menyakiti binatang. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berlaku ihsan dalam semua perkara. Jika kalian perlu membunuh (hukuman qisas, perang dll), maka berihsanlah dalam membunuh. Dan jika kalian menyembelih maka sembelihlah dengan ihsan.

Hadis riwayat Imam Muslim (1955) dalam Sahih-nya

Kedua, perbuatan ini juga ialah tradisi buruk golongan yang tidak baik, dinisbahkan kepada kaum Nabi Nuh AS, dan tradisi orang bukan Islam, seperti yang boleh dilihat di beberapa buah negara. Begitu juga dalam masyarakat Islam perbuatan seperti ini dianggap perbuatan golongan yang tidak bermaruah dan tidak bermoral.

Berkenaan, hukum judi, hal ini amat jelas larangannya dalam al-Quran tanpa ada khilaf dalam kalangan ulama atas pengharamannya. Firman Allah Taala:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

(Surah al-Maidah, 5:90)

Kata sebahagian mufassirin, perhatikan pada penegasan dalam ayat ini pada “sesungguhnya”, “kotor”, “perbuatan syaitan”, dan “hendaklah kamu menjauhinya” menunjukkan kepada penetapan dan penegasan besarnya bahaya dan dosa melakukan judi.

Marilah kita tinggalkan perbuatan ini, dan menggantikannya dengan perbuatan atau hobi lain yang lebih bermanfaat dan menguntung serta berpahala, yang boleh memberatkan mizan hasanah kita di hari, seperti firman Allah Taala:

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Maksudnya: Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).

(Surah al-Syuara’, 26:88-89)

Wallahua`lam. 

 

Kredit gambar: http://goo.gl/Q7y8O6