Soalan :
Assalamualaikum. Bolehkah kita memohon untuk jadi hebat seperti tokoh imam imam besar zaman dahulu. Contohnya nak jadi hebat macam, mahu jadi pandai seperti Imam al-Syafie dan Imam al-Nawawi dan tokoh-tokoh ulama yang lain.Pada saya mereka itu semuanya dianugerahkan kepandaian. Takkan Allah nak bagi kita sehebat itu. Bolehkah kita berdoa seperti itu?
Jawapan :
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Berdoa adalah satu ibadah.Ini berdasarkan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Nu’man Bin Basyir. Sabda Nabi saw :
الدُّعاءُ هو العبادة. وقرأَ { ادْعُونِي أَستجِبْ لكُمْ ، إنَّ الَّذِينَ يسْتَكِبرُونَ عن عِبادَتي سيدخُلونَ جَهنَّم داخِرينَ } فقال أصحابُهُ : أَقرِيبٌ ربُّنَا فنناجِيهِ ، أم بعيد فنُناديهِ ؟ فنزلتْ { وإذا سألكَ عبادي عنِّي فإِنِّي قريبٌ أجيبُ دعوةَ الداع إذا دعَانِ }.
Maksudnya : ”Doa itu adalah ibadah. sambil itu Rasulullah saw membaca ayat al-Quran. Firman Allah :” "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah al-Ghafir :60). Para sahabat bertanya : Adakah Dia dekat lantas kami bermunajat kepada-Nya atau Dia jauh lalu kami menyebut nama-Nya?. Maka turunlah firman Allah :” Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu." (Surah al-Baqarah :186).
Riwayat Imam Ahmad (18391), Abu Daud (1481) dan al-Tirmizi ( 2969)
Bahkan Allah merakamkan doa-doa yang pernah didoakan oleh para Nabi. Antaranya doa Nabi Ibrahim :
وَأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ وَأَدْعُو رَبِّي عَسَىٰ أَلَّا أَكُونَ بِدُعَاءِ رَبِّي شَقِيًّا ﴿٤٨﴾ فَلَمَّا اعْتَزَلَهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ
Maksudnya :” Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti kamu). Maka apabila ia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah.”
(Surah Maryam :48-49)
Nabi Ibrahim mengekspresikan doa beliau kepada Allah sebagai satu bentuk ibadah. Justeru ayat ini memberi faham kepada kita bahawa doa itu adalah satu ibadah.
Berbalik kepada soalan yang telah dikemukakan, tidak salah untuk berdoa meminta apa sahaja bahkan tidak salah untuk berdoa agar diberikan kelebihan sepertimana yang telah diberikan kepada para ulama dari segi penguasaan ilmu,mudah memahami, kuat hafazannya, baik sikap dan akhlaknya serta lain-lain kelebihan yang Allah kurniakan kepada mereka. Bahkan tiada yang mustahil bagi Allah untuk mengabulkan doa tersebut asalkan kita penuhi syarat-syarat dan adab-adab berdoa. Ini berdasarkan hadis Nabi saw. Daripada Ubadah Bin Somit, Nabi saw bersabda :
مَا عَلَى الأَرْضِ مِنْ رَجُلٍ يَدْعُو اللَّهَ بِدَعْوَةٍ إِلا آتَاهُ اللَّهُ إِيَّاهَا أَوْ كَفَّ عَنْهُ مِنَ الشَّرِّ مِثْلَهَا مَا لَمْ يَدْعُ بِالإِثْمِ أَوْ قَطِيعَةَ رَحِمٍ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ إِذَنْ نُكَثِّرُ قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ
Maksudnya :Tiada lelaki di muka bumi apabila dia berdoa dengan apa-apa doa melainkan Allah akan memberinya atau menjauhkannya daripada sebarang kejahatan selagi mana dia tidak berdoa dengan perkara yang berdosa atau memutuskan silaturrahim. Maka seorang lelaki dari satu kaum bertanya : Apakah perlu kami memperbanyakkan doa?. Nabi saw menjawab : “Bahkan apa yang ada di sisi Allah itu lebih banyak.
Riwayat al-Tabarani (182) di dalam Musnad al-Syamiyyun
Di dalam riwayat yang lain menyebut :
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا قَالُوا إِذًا نُكْثِرُ قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ
Maksudnya : Tiada satu orang muslim apabila dia berdoa dengan apa-apa doa dalam keadaan dia tidak berdoa untuk mendapatkan perkara dosa dan tidak memutuskan silaturrahim melainkan Allah akan memberinya pada salah satu dari tiga keadaan. Sama ada di akan menyegerakan permintaan tersebut atau menyimpan doa tersebut pada hari akhirat ataupun memalingkan si pemohon daripada keburukan. Para Sahabat berkata : Jadi kami perlu perbanyakkan doa. Baginda bersabda : Apa yang ada di sisi Allah itu lebih banyak.
Riwayat Imam Ahmad (11133) di dalam Musnadnya
Melalui dua hadis ini dapat kita fahami bahawa berdoa supaya diberikan kelebihan sepertimana para ulama terdahulu semisal Imam al-Syafie, Imam al-Nawawi dan Imam al-Ghazali yang terkenal dengan penguasaan ilmu dan ketajaman akal mereka adalah dibolehkan kerana doa seperti ini termasuk di dalam berdoa untuk perkara-perkara kebaikan bukan keburukan
Di sana terdapat kisah-kisah yang hebat yang boleh kita jadikan teladan
- Imam Abu Bakar al-Suyuti menceritakan : “Semasa aku mengerjakan haji aku meminum air zamzam untuk beberapa perkara, antaranya supaya aku dapat mencapai taraf Syeikh Sirajuddin al-Buqini dalam fiqh.”
- Imam Abu Hanifah RA meminum air zamzam dengan harapan menjadi seorang ulama yang paling alim dan ternyata ianya terjadi.
. Allah mengabulkan doa jika syarat-syarat asas berdoa dipenuhi. Antaranya :
- Ikhlas ketika berdoa
- Merendahkan hati ketika berdoa
- Menyembunyikan doa
- Memastikan makan,minum dan pakaian kita dari sumber yang halal dan jauh daripada syubhat.
Wallahu’alam