اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1495: HUKUM MEMBERIKAN KHIDMAT PENDAWAIAN, PERPAIPAN DAN KAWALAN HAIWAN PEROSAK DI RUMAH IBADAT AGAMA LAIN

PERPAIPAN GEREJA.JPG

 

Soalan:

Saya ingin bertanya , saya kerja di syarikat ‘pest control’, kemudian syarikat saya berjaya dapatkan tender untuk buat kerja-kerja pembasmian makhluk perosak di gereja, dan pekerja saya semua Muslim.

Bagaimana pula dengan penyediaan perkhidmatan lain seperti pendawaian dan perpaipan? Bolehkah kita masuk gereja dengan niat untuk buat kerja?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebagai mukadimah, kami bawakan dua noktah penting berikut:

  1. Hukum asal seorang Muslim masuk ke dalam rumah ibadat agama lain ialah harus jika mempunyai tujuan yang diharuskan syarak (Rujuk artikel kami yang lepas pada pautan https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2647-irsyad-fatwa-248-hukum-memasuki-rumah-ibadat-agama-lain-dan-menghadiri-majlis-perkahwinan-orang-kristian-di-gereja )
  2. Namun kami juga telah tegaskan bahawa hukum keterlibatan Muslim dalam pembinaan rumah ibadat agama lain adalah haram sebagaimana pandangan majoriti ulama. (Rujuk https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3000-al-kafi-1033-hukum-penglibatan-muslim-dalam-pembinaan-rumah-ibadat-agama-lain )

Berkenaan khidmat pendawaian, perpaipan dan seumpamanya di rumah ibadat agama lain, maka kami berpendapat ia adalah diharuskan, kerana ia termasuk di bawah keumuman bidang muamalat sesama manusia yang bersifat luas dan anjal.

Perkhidmatan-perkhidmatan ini merupakan khidmat duniawi yang tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan ritual keagamaan agama lain. Tanpa kemudahan elektrik dan air paip sekalipun, tempat tersebut tetap dinamakan rumah ibadat dan ritual keagamaan tetap boleh dijalankan.

Maka kami melihat ia diharuskan atas dasar tolong-menolong dan hubungan muamalat dua hala sesama manusia, bukan atas dasar membantu memakmurkan syiar agama lain. Firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;

Surah al-Mumtahanah (8)

Menurut Imam Ibnu Battol, muamalah dan pergaulan dengan orang kafir adalah diharuskan kecuali jual beli sesuatu yang digunakan untuk membantu orang kafir yang memerangi kaum muslimin. (Rujuk Fath al-Bari 4/410)

Adapun khidmat kawalan haiwan perosak, maka ia termasuk di bawah keumuman perintah Rasulullah SAW melalui hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْعَقْرَبُ وَالْفَارَةُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ

Maksudnya: Khams fawasiq (haiwan perosak yang lima) yang perlu dibunuh meskipun di dalam keadaan berihram; kala jengking, tikus, burung ‘kite’ (burung pemangsa seakan helang), burung gagak dan anjing ganas.

Sahih Muslim (1198)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, pada hemat kami hukum menyediakan khidmat pendawaian, perpaipan, kawalan haiwan perosak dan seumpamanya di rumah ibadat agama lain adalah diharuskan, dan ia tidak dikira memakmurkan syiar agama lain.

Perkara ini tidak boleh diqiyaskan kepada pengharaman keterlibatan Muslim dalam pembinaan rumah ibadat agama lain, kerana perkara yang dibincangkan dalam artikel ini hanya berkisar soal servis-servis umum untuk kemudahan hidup seharian.

Wallahu a’lam.