SOALAN
Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya ingin bertanya, jika sekiranya saya dalam keadaan bermusafir, yang manakah lebih afdhal untuk saya laksanakan, sama ada solat jamak taqdim atau solat jamak ta’khir?
Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Allah SWT memberikan keringanan (rukhsah) kepada orang yang bermusafir untuk mereka melaksanakan solat secara jamak dan qasar. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا ۚ إِنَّ الْكَافِرِينَ كَانُوا لَكُمْ عَدُوًّا مُّبِينًا
Maksudnya: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.
(Surah al-Nisa’ : 101)
Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya. Saidina Umar pernah bertanyakan berkaitan perkara ini kepada Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW bersabda:
صدقةٌ تصدَّق اللهُ بها عليكم فاقبَلوا صدقةَ اللهِ
Maksudnya: Ia merupakan pemberian sedekah dengannya oleh Allah SWT, maka terimalah pemberian itu daripada Allah SWT.
Hadith riwayat Ibn Hibban: 2739
Berbalik kepada soalan yang ditanya, yang manakah lebih afdhal untuk dilakukan oleh seseorang, sama ada solat jamak taqdim ataupun jamak ta’khir? Jawapannya hendaklah diperincikan (tafsil) berdasarkan kepada situasi orang yang bermusafir tersebut dan bukan salah satunya afdhal secara mutlaq. Hal ini seperti yang diterangkan Syeikh Hasan al-Kaff seperti berikut:
- Jika sekiranya dia dalam perjalanan pada waktu solat yang pertama, contohnya Zohor dan berhenti turun pada waktu solat yang kedua iaitu Asar, maka solat Jamak Ta’khir adalah lebih afdhal mengikut sepakat para ulama’.
- Jika sekiranya dia berhenti turun pada waktu yang pertama contohnya Zohor dan akan berada dalam perjalanan dalam waktu yang kedua iaitu Asar, maka solat Jamak Taqdim adalah lebih afdhal mengikut sepakat para ulama’.
- Jika sekiranya dia akan berhenti turun atau berada dalam perjalanan dalam kedua-dua waktu, maka dalam keadaan ini berlaku khilaf:
Imam Ibn Hajar: Solat Jamak Taqdim lebih afdhal kerana ia melepaskan seseorang daripada tanggungan kewajipan dengan melaksanakannya.
Imam Ramli: Solat Jamak Ta’khir lebih afdhal kerana waktu solat bagi solat kedua adalah pada waktu solat bagi yang pertama. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, 318-319)
Kesimpulan
Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa keutamaan solat Jamak Taqdim atau Jamak Ta’khir bergantung kepada situasi seseorang yang bermusafir tersebut. Jika sekiranya dia berada di dalam perjalanan pada waktu pertama dan akan berhenti turun pada waktu kedua, maka solat Jamak Ta’khir adalah afdhal baginya. Jika sekiranya dia berhenti turun pada waktu yang pertama dan akan berada dalam perjalanan dalam waktu kedua, maka solat Jamak Taqdim adalah afdhal baginya.
Namun jika sekiranya dia berada dalam perjalanan atau berhenti di suatu tempat pada dua waktu solat tersebut, maka berlaku khilaf dalam situasi ini dan kami lebih cenderung kepada pendapat Imam Ibn Hajar yang mengatakan bahawa Solat Jamak Taqdim adalah afdhal baginya. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.
WaAllahu a’lam.