اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1654: HUKUM KENTUT DI DALAM MASJID

AK1654

 

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, saya tertanya-tanya apakah hukumnya seseorang itu kentut di dalam masjid ? Adakah ia dilarang atau dibolehkan ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Masjid merupakan tempat perhimpunan bagi umat Islam. Justeru, sudah pasti ia turut melibatkan hak-hak dan juga adab-adab sesama muslim. Oleh kerana itu terdapat banyak nas dan riwayat yang menunjukkan larangan ke atas perbuatan yang boleh mendatangkan gangguan dan juga ketidakselesaan kepada para jemaah. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

الْبُصَاقُ فِي الْمَسْجِدِ خَطِيئَةٌ وَكَفَّارَتُهَا دَفْنُهَا

Maksudnya : Meludah di dalam masjid merupakan suatu kesalahan dan kaffarahnya adalah dengan mengambusnya.

Riwayat Al-Nasa’ie (723)

Justeru, kita dapat melihat bahawa perbuatan meludah di dalam masjid merupakan suatu yang dianggap sebagai salah di sisi Rasulullah S.A.W. Ia dilarang kerana kesan yang terhasil darinya dari sudut menyebabkan perasaan tidak selesa kepada para jemaah serta menghasilkan kekotoran di dalam masjid.

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ تَتَأَذَّى مِمَّا يَتَأَذَّى مِنْهُ بَنُو آدَمَ

Maksudnya : Sesungguhnya para malaikat berasa terganggu dengan perkara-perkara yang mengganggu anak Adam.

Riwayat Muslim (564)

Hadis di atas ini secara konteksnya adalah merujuk kepada larangan mendekati masjid bagi mereka yang baru lepas memakan bawang putih atau bawang merah. Ia termasuk antara perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah S.A.W. Kami telah menghurai perbahasan ini secara panjang lebar dalam ruangan Al-Kafi #1653 Hukum Hadir Ke Masjid Selepas Hisap Rokok Atau Selepas Makan Makanan Berbau yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2Q8wOrk

Manakala Imam Al-Nawawi dalam ulasan beliau ke atas hadis ini berkata :

لَا يَحْرُمُ إخْرَاجُ الرِّيحِ مِنْ الدُّبُرِ فِي الْمَسْجِدِ لَكِنَّ الْأَوْلَى اجْتِنَابُهُ

Maksudnya : Tidak diharamkan perbuatan membuang angin dari dubur (kentut) di dalam masjid akan tetapi yang lebih utama adalah menjauhinya. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (2/175).

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum kentut di dalam masjid dalam keadaan ramai orang berada di sekeliling atau dalam keadaan yang menyebabkan para jemaah terganggu dengan bauannya adalah makruh. Namun, sekiranya di kawasan yang tidak ada orang padanya, maka hal ini adalah tidak mengapa kerana ternafinya gangguan.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.