اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1676 : KENCING TIKUS PADA BUKU

af1676 compressed

Soalan:

Assalamulaikum wrm. wbt.,

Saya memiliki rumah tinggal. Sewaktu saya balik ke rumah tersebut, saya mendapati koleksi buku-buku yang telah dimamah tikus. Terdapat juga bau kencing yang kuat di dalam ruangan koleksi berkenaan, kemungkinan besar kencing tikus. Jika itu adalah kencing tikus, bagaimana caranya saya boleh menyucikan buku-buku saya? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Perkara pertama yang kita perlu faham ialah kencing tikus dikenali sebagai pembawa penyakit Leptospirosis. Di antara gejala jangkitan leptospirosis yang boleh ditunjukkan oleh pesakit adalah demam yang tinggi, sakit kepala, menggigil (chills), sakit otot, muntah, jaundis (penyakit kuning), radang mata, sakit perut, cirit-birit,  batuk dan ruam di kulit. Rujuk Leptospirosis oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.[1]

Sebaiknya pihak penanya merujuk terlebih dahulu doktor perubatan bagaimana cara untuk membasmi bakteria yang membawa penyakit yang berkesan. Adapun daripada sudut hukum, kencing haiwan selain anjing dan khinzir dianggap najis mutawasitah. Najis jenis ini disucikan dengan dialirkan air mutlak ke atas kawasan yang ditimpa najis sehingga hilang bau, warna dan rasa. Kawasan yang wajib disucikan itu hanyalah kawasan yang diyakini ditimpa najis dengan mengetahuinya melalui ain atau sifat fizikalnya seperti warna kuning dan bau hancing. Adapun tempat yang tidak diyakini ditimpa najis maka tidak wajib untuk menyucikannya. Kaedah fiqh menyebut:

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Hukum berdasarkan keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazo’ir (hlm. 50) oleh Imam al-Suyuti

Al-Suyuti menyebut lagi:

 “Dalil bagi kaedah ini ialah sabda Baginda ﷺ:

إذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ، أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا؟ فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنْ الْمَسْجِد حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kalian mendapati pada perutnya ada perkara yang membingungkannya - sama ada ada keluar sesuatu atau tidak – maka jangan sesekali dia keluar daripada masjid sehingga dia mendengar bunyi atau bau (kentut).”

Riwayat Muslim (362) daripada hadis Abu Hurairah.

Asalnya daripada al-Sahihayn [ al-Bukhari (137) dan Muslim (361) ] daripada Abdullah bin Zaid berkata, seorang lelaki mengadu kepada Nabi ﷺ tentang dirinya yang berkhayal mengenai sesuatu yang menimpanya di dalam solat, lalu Baginda bersabda:

لَا يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا، أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Maksudnya: “Janganlah engkau beredar sehingga engkau mendengar bunyi atau mendapati bau.”

Kaedah lain menyebut:

الْأَصْلُ فِي كُلِّ حَادِثٍ تَقْدِيرُهُ بِأَقْرَبِ زَمَنٍ

Al-Suyuti  memberi contoh, seseorang yang berwuduk dengan air telaga selama beberapa hari dan solat dengan wuduk itu kemudian mendapati dalamnya ada tikus, maka tidak wajib ke atasnya untuk menggantikan solat melainkan dia yakin bahawa dia solat dalam keadaan bernajis.”

Rujuk al-Asybah (hlm. 59)

Berbalik kepada menyucikan buku, kebiasaannya penggunaan air yang mengalir akan mengakibatkan buku menjadi rosak. Oleh sebab itu, tidak wajib untuk menyucikannya, sebaliknya hendaklah dipastikan ianya tidak dibawa semasa solat. Berdasarkan  mazhab Jumhur ulama, air kencing yang kering di tanah sehingga hilang kesan-kesannya, seperti bau, warna dan rasa itu masih tidak suci sehinggalah dialirkan air, berbeza dengan mazhab Abu Hanifah dan pendapat lama oleh Imam al-Syafie. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (2/596). Bahkan di sisi Hanafiyyah, Imam al-Haskafi berfatwa bahawa kencing tikus itu bukan najis kerana termasuk dalam perkara yang sukar untuk dikawal. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (6/32).

Namun, jika boleh dialirkan air tanpa merosakkan buku maka tiada masalah, sekiranya perbuatan tersebut tidak menyebabkan mudarat seperti jangkitan penyakit berjangkit.

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung untuk menyatakan seperti berikut:

  • Kawasan yang diyakini ditimpa najis seperti kencing tikus sahaja yang wajib dibasuh. Sebaliknya, kawasan yang tidak terdapat kesan seperti bau, warna dan rasa kencing tikus atau najis tidak wajib dibasuh kerana kembali kepada hukum asal iaitu suci. Fakta bahawa rumah tersebut ditimpa najis adalah berlaku selepas rumah tersebut diyakini suci semasa ia ditinggalkan dahulu.
  • Buku-buku yang ditimpa najis tidak perlu dibawa solat, sekiranya membasuhnya akan menyebabkan buku itu rosak.
  • Sekiranya terdapat mudarat apabila berinteraksi dengan buku-buku seperti berlakunya penyakit, maka hendaklah dielakkan dan carilah ikhtiyar untuk menggantikan buku itu jika tidak mahu dibuang kerana kemaslahatan nyawa lebih diutamakan. Wallahua’lam.

Semoga penjelasan ini memberikan jawapan kepada penanya, Kita berdoa agar Allah ﷻ menggantikan musibah dengan kebaikan. Amin.

 Nota hujung:

[1] http://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/store_view_page/20/40