اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1719 : ADAKAH DISUNATKAN UNTUK DIAM SEJENAK SELEPAS MEMBACA SURAH PILIHAN DAN SEBELUM RUKUK?

al Kafi 1719

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Baru-baru ini, ayah saya telah bertanya kepada saya mengapa saya tidak diam sebentar selepas selesai membaca surah dan sebelum mengangkat takbir untuk rukuk? Soalan saya, adakah diam sebentar selepas bacaan surah juga disunatkan sebagaimana selepas mengangkat takbiratul ihram dan selepas selesai membaca surah al-Fatihah. Mohon pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Sebelum kami menjawab persoalan yang diajukan, kami ingin sebutkan terlebih dahulu beberapa tempat di dalam solat yang disunatkan padanya untuk diam seketika bagi orang bersolat. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa menurut mazhab Syafie,  disunatkan bagi imam untuk diam di dalam solat jahriyyah pada empat tempat berikut :

  • Selepas mengangkat takbiratul ihram bagi membaca doa iftitah.
  • Selepas selesai membaca surah al-Fatihah iaitu antara akhir ayat di dalamnya dan lafaz “Amin”, dengan kadar diam yang singkat, supaya orang ramai tidak menganggap bahawa lafaz “Amin” itu sebahagian daripada surah al-Fatihah.
  • Selepas lafaz “Amin” dengan kadar diam yang agak lama, supaya makmum ada ruang untuk menyelesaikan bacaan al-Fatihah mereka.
  • Selepas selesai membaca surah (pilihan) dengan kadar diam yang sangat singkat, supaya ia menjadi pemisah antara bacaan surah tadi dan lafaz takbir untuk rukuk.

(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/395 dan al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, Cet. Dar Ibn Rejab, hlm. 92-93)

Manakala Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff dan al-Sayyid Ahmad al-Syatiri pula menyebutkan bahawa disunatkan bagi orang bersolat untuk diam di dalam solat mereka pada enam tempat. Dan setiap tempat tersebut disunatkan untuknya diam dengan kadar tempoh bacaan “Subhanallah”. Tempat-tempat tersebut ialah :

  • Antara takbiratul ihram dan doa iftitah.
  • Antara doa iftitah dan isti’azah.
  • Antara isti’azah dan surah al-Fatihah.
  • Antara akhir ayat di dalam surah al-Fatihah dan lafaz “Amin”.
  • Antara lafaz “Amin” dan bacaan surah (selain al-Fatihah). Disunatkan juga bagi imam untuk memanjangkan diamnya itu di dalam solat jahriyyah bagi memberi ruang kepada makmum menyelesaikan bacaan surah al-Fatihah mereka.
  • Antara surah (selain al-Fatihah) dan rukuk.

(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 238 dan Nail al-Raja’, Cet. Dar al-Minhaj, hlm. 193-194)

Sunat diam sejenak selepas selesai membaca surah dan sebelum rukuk

Berbalik kepada persoalan di atas, maka kita ketahui bahawa disunatkan bagi orang yang bersolat itu untuk diam sejenak selepas selesai membaca surah pilihan dan sebelum mengangkat takbir untuk rukuk, dengan kadar tempoh yang sangat singkat atau lebih kurang kadar bacaan “Subhanallah”.

Hal ini adalah berdasarkan hadis al-Hasan al-Basri daripada riwayat Samurah bin Jundub R.A bahawa :

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَتْ لَهُ سَكْتَتَانِ، سَكْتَةٌ حِينَ يَفْتَتِحُ الصَّلَاةَ، وَسَكْتَةٌ إِذَا فَرَغَ مِنَ السُّورَةِ الثَّانِيَةِ، قَبْلَ أَنْ يَرْكَعَ، فَذُكِرَ ذَلِكَ لِعِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ، فَقَالَ: كَذَبَ سَمُرَةُ، فَكَتَبَ فِي ذَلِكَ إِلَى الْمَدِينَةِ إِلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ فَقَالَ: صَدَقَ سَمُرَةُ

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah diam (di dalam solatnya) pada dua tempat, diamnya (yang pertama) ialah ketika awal solat (waktu doa iftitah) dan diamnya (yang kedua) pula ialah selepas selesai membaca surah yang kedua, sebelum baginda rukuk. Lalu perkara itu diceritakan kepada Imran bin Husain. Beliau menjawab : Samurah telah berbohong. Lalu beliau menulis pula surat mengenai perkara itu kepada Ubai bin Ka'ab di Madinah, ternyata Ubai berkata : Samurah berkata benar.” Riwayat Ahmad (20166)

Antara hikmah diam tersebut ialah supaya ia menjadi pemisah antara bacaan surah dan lafaz takbir untuk rukuk. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, Cet. Dar Ibn Rejab, hlm. 93) Begitu juga, Imam Ibn Qudamah juga ada meletakan satu fasal mengenai apabila selesai membaca surah (selain al-Fatihah). Kemudian beliau menukilkan kenyataan Imam Ahmad bahawa :

يَثْبُتُ قَائِمًا، وَيَسْكُتُ حَتَّى يَرْجِعَ إلَيْهِ نَفَسُهُ قَبْلَ أَنْ يَرْكَعَ، وَلَا يَصِلُ قِرَاءَتَهُ بِتَكْبِيرَةِ الرُّكُوعِ

Maksudnya : “Tetaplah berdiri dan diam sehingga kembali fokus sebelum rukuk dan janganlah menyambung bacaan (surah tersebut) dengan takbir untuk rukuk.” (Lihat al-Mughni, 1/356-357)

Selain itu juga, difahami daripada kenyataan Imam Ahmad ini bahawa seolah-olah diam itu menjadi isyarat kepada orang yang bersolat itu supaya jangan tergesa-gesa dan tergopoh gapah dalam menunaikan ibadah solat sehingga dilihat seperti menggabungkan dua bacaan berbeza yang mana sepatutnya dipisahkan. Akan tetapi, sebaliknya tunaikanlah ibadah solat itu dengan penuh kusyuk dan berfokus.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa disunatkan bagi orang yang bersolat untuk diam sejenak selepas selesai membaca surah pilihan dan sebelum mengangkat takbir untuk rukuk, dengan kadar tempoh yang sangat singkat atau lebih kurang pada kadar bacaan “Subhanallah”. Antara tujuannya ialah supaya diam tersebut menjadi pemisah antara bacaan surah pilihan tadi dan lafaz takbir sebelum rukuk. Selain itu juga, ia menjadi isyarat dan ingatan buat orang yang bersolat itu untuk tidak tergesa-gesa dan tergopoh gapah dalam menunaikan ibadah solat.

Kami juga pernah membahaskan mengenai hukum imam diam seketika selepas bacaan surah al-Fatihah di dalam ruangan al-Kafi li al-Fatawi Siri ke-1055.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3036-al-kafi-1055-hukum-imam-diam-seketika-selepas-baca-al-fatihah. Telah diakses pada 30 April 2020.