SOALAN:
Assalamualaikum, maaf saya bertanya di sini. Apakah hukum mengecas telefon bimbit di tempat kerja (bangunan kerajaan). Adakah halal atau haram kerana kita menggunakan elektrik tempat kerja (yang dibayar menggunakan duit cukai rakyat). Terima kasih.
Ringkasan Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Hukum mengecas telefon di pejabat adalah bergantung kepada kepada peraturan penggunaan elektrik daripada pihak pengurusan pejabat masing-masing. Adapun sekiranya tiada peraturan yang menghalang, maka mengecas telefon bimbit di pejabat dibenarkan berdasarkan uruf (kebiasaan setempat) kerana ia sudah dianggap sebagai satu keperluan dan penggunaannya adalah sedikit dan tidak memberi kesan yang besar kepada penggunaan elektrik.
Huraian Jawapan :
Secara umumnya, menggunakan atau mengambil harta tanpa kebenaran pemilik adalah dilarang, Ini berdasarkan hadis berikut:
Daripada Anas bin Malik RA, Sabda Nabi SAW:
لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ
Maksudnya: “Tidak halal mengambil harta seseorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya”
Riwayat al-Daraqutni (2885)
Walaupun demikian, terdapat beberapa perkara yang berkaitan hukum feqah akan merujuk kepada amalan tradisi dan kebiasaan selagi ianya tidak bertentangan dengan hukum syara’. Imam Jalaluddin al-Suyuti menyebut antaranya seperti mengambil buah yang terjatuh dan seumpamanya menurut pandangan paling sahih diukur dengan tradisi setempat. ( Lihat :al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nazha’ir, 90)
Sehubungan itu, mengecas telefon bimbit di pejabat (bangunan kerajaan) adalah dibenarkan berdasarkan kepada uruf (kebiasaan setempat) selagi tiada peraturan yang melarangnya kerana ia sudah menjadi hajat dan keperluan kepada semua pihak. Selain itu, pekerja perlu merujuk kod etika jabatan masing-masing terhadap penggunaan elektrik untuk kegunaan peribadi.
Akhir kalam, semoga kita terhindar daripada perkara-perkara syubhah.