اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1763: ADAKAH DISUNATKAN MEMBERI SALAM KEDUA SELEPAS BANGKIT DARIPADA  SUJUD TILAWAH?

sujud 55

Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu kemusykilan. Adakah disunatkan memberi salam kedua selepas bangkit daripada sujud tilawah? Sebab sepanjangan pengamatan saya, ramai yang hanya buat salam yang pertama. Mohon pencerahan.

 

Jawapan Ringkas

Disunatkan memberi salam kedua selepas bangkit daripada sujud tilawah sama seperti salam yang dilakukan dalam solat. Jadi, setiap perkara yang sunat dilakukan ketika salam yang dilakukan dalam solat, ia juga sunat dilakukan ketika memberi salam selepas sujud tilawah.

 

Huraian Jawapan

Sujud tilawah merupakan suatu perbuatan sujud yang sunat dilakukan disebabkan bertemu dengan ayat Sajadah iaitu ayat al-Quran yang menyebut tentang sujud. Melakukan sujud tilawah merupakan suatu perkara yang dituntut dalam agama kepada pembaca ayat tilawah dan mereka yang mendengarnya sebagai tanda tunduk dan patuh kepada Allah SWT.

Para menghuraikan secara panjang lebar berkenaan tatacara sujud tilawah. Ulama mazhab Syafie menyebutkan bahawa rukun-rukun dalam sujud tilawah seperti berikut,

وَجُمْلَةُ مَا ذَكَرَهُ مِنْ الْأَرْكَانِ أَرْبَعَةٌ: النِّيَّةُ، وَتَكْبِيرَةُ الْإِحْرَامِ، وَالسَّجْدَةُ، وَالسَّلَامُ

Maksudnya: Kesimpulan daripada penerangan tatacara di atas, rukun sujud ada empat iaitu niat, takbiratul ihram, sujud dan salam.

(Rujuk: Hasyiah al-Qalyubi, 1/237)

Khusus berkenaan salam, ia diwajibkan kerana sujud tilawah dimulakan dengan takbiratul ihram sebagai permulaan, maka ia memerlukan ‘salam’ sebagai pengakhiran sama seperti solat-solat yang lain. Hal ini bersandarkan kepada sebuah hadis,

مفتاحُ الصلاةِ الطهورُ وتَحريمُها التكبيرُ وتحليلُها التسليمُ

Maksudnya: “Kunci bagi solat ialah bersuci. Permulaannya adalah takbir manakala penyudahnya ialah salam”.

Riwayat al-Tirmizi (238)

Merujuk kepada soalan di atas, para ulama menyebutkan bahawa salam yang dilakukan selepas bangkit daripada sujud tilawah tersebut adalah sama seperti salam dalam solat-solat yang lain berhubung perkara yang wajib dan sunatnya cuma tidak perlu melakukan bacaan tasyahhud.

Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan,

ثُمَّ (سَلَّمَ) كَسَلَامِ الصَّلَاةِ فِي وَاجِبَاتِهِ وَمَنْدُوبَاتِهِ

Maksudnya: “Kemudian (memberi salam) sama seperti memberi salam dalam solat dalam bab perkara yang diwajibkan dan disunatkan padanya”.

(Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 2/214)

Khatib al-Syirbini juga menyebutkan dalam kitabnya,

(وَسَلَّمَ) وُجُوبًا بَعْدَ الْقُعُودِ كَالصَّلَاةِ وَلَا يُشْتَرَطُ التَّشَهُّدُ فِي الْأَصَحِّ

Maksudnya: “(Dan memberi salam) adalah rukun (yang dilakukan) selepas duduk (daripada bangkit sujud) sama seperti solat namun tidak disyaratkan tasyahhud (bacaan tahiyyat akhir) mengikut pendapat yang lebih tepat”.

 (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/445)

Bahkan Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Jaziri menyebutkan secara jelas perihal disunatkan memberi salam kedua ketika menghuraikan tatacara sujud tilawah di sisi mazhab Syafie,

ويسن رفع اليدين عند تكبيرة الإحرام ويسن التكبير للهوي للسجود والرفع منه والدعاء فيه والتسليمة الثانية

Maksudnya: “Disunatkan mengangkat tangan ketika takbiratul ihram. Disunatkan juga bertakbir sebelum turun untuk sujud dan bangun daripadanya beserta doa ketika sujud dan juga memberi salam yang kedua”.

 (Rujuk: al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah, 1/424)

Sebagai kesimpulan, memberi salam kedua merupakan perkara sunat ketika memberi salam dalam solat yang biasa. Maka, ia juga disunatkan untuk dilakukan selepas bangkit daripada sujud tilawah berdasarkan hukum qiyas kepada salam dalam solat.

Wallahu a’lam.