اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1851: HUKUM IBU SENGAJA TIDAK MENYUSUKAN ANAKNYA TANPA SEBAB MUNASABAH

1851.JPG

SOALAN:

Assalamualaikum wbt Ustaz. Apakah hukum seorang ibu yang sengaja tidak mahu menyusukan anak tanpa alasan munasabah seperti ingin menjaga badan dan sebagainya?

RINGKASAN JAWAPAN:

Penyusuan bayi adalah suatu pilihan kepada ibu dan bukanlah kewajipannya secara mutlak melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti si anak tidak boleh menerima susu daripada perempuan lain atau minum susu formula. Namun, seorang ibu sangat digalakkan untuk memberikan susu ibu kepada anaknya kepada susu ibu adalah susu yang terbaik dan paling sesuai untuk bayi.

HURAIAN JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menurut Islam, penyusuan anak merupakan suatu perkara yang dianjurkan oleh agama kerana ia menjadi teras kepada kelangsungan hidup seseorang bayi. Namun dalam beberapa keadaan seorang ibu tidak mampu menyusukan bayi kerana menghidap penyakit berbahaya seperti aids atau susunya kering atau mengalami masalah-masalah yang lain. Namun timbul persoalan, adakah wajib si ibu menyusukan anaknya sekiranya tiada masalah-masalah yang telah disebutkan.

Menurut syarak, penyusuan adalah hak bagi seorang ibu untuk menentukan sama ada ingin menyusukan anaknya atau tidak. Perkara tersebut bukanlah kewajipan ke atasnya secara mutlak melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti si anak tidak boleh menerima susu daripada perempuan lain atau susu formula yang lain. Hal yang demikian berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya (anak).”

Surah al-Thalaq (6)

Berdasarkan ayat di atas, penyusuan bayi adalah pilihan bagi si ibu dan bukanlah kewajipannya secara mutlak. Namun adalah menjadi kelaziman si ibu akan menyusukan anak disebabkan seusai lepas bersalin kebiasaannya seorang ibu akan mempunyai susu hasil daripada proses mengandung dan melahirkan bayi tersebut.

Di samping itu, para ulama menjelaskan bahawa hukum menyusukan anak bagi seorang ibu adalah sunat dan merupakan perkara yang dituntut dalam agama. Hal ini adalah kerana susu ibu adalah yang paling terbaik untuk anaknya dan kasih sayang ibu terhadap anaknya adalah lebih tulus. Meskipun demikian, proses penyusuan tersebut ialah pilihan ke atas ibu dan tiada siapa pun yang boleh memaksanya sekiranya dia enggan menyusukan anaknya (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 4/203-206).

Walau bagaimanapun, dalam masalah ini para ulama menyatakan terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan seorang ibu wajib menyusukan anaknya iaitu seperti berikut:

  • Bayi tersebut tidak ingin menyusu daripada mana-mana perempuan yang lain. Dalam keadaan ini wajib ke atas ibu tersebut untuk menyusukan anaknya demi menjaga kelangsungan hidup anak tersebut.
  • Tidak menemui mana-mana ibu susuan yang sesuai untuk menyusukan anaknya.
  • Si bapa tidak mempunyai kemampuan kewangan yang cukup untuk mengupah ibu susuan yang lain (Rujuk: Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 10/25).

Justeru, dalam isu ini dapat difahami bahawa wajib ke atas ibu menyusukan anaknya sekiranya dikhuari mendatangkan mudarat kepada nyawa atau kesihatan anak tersebut iaitu khususnya apabila bayi tersebut enggan meminum susu selain daripada susu ibunya.

Sementara itu, fuqaha mazhab Syafie pula berpandangan bahawa wajib bagi seorang ibu memberikan susu awal kepada anaknya (susu kolostrum)[1] kerana seorang bayi tidak mampu hidup tanpa susu tersebut menurut kebiasaan. Perkara ini dijelaskan oleh Shaikh Zakariyya al-Ansari:

(فَصْلٌ: عَلَى الْأُمِّ إرْضَاعُ وَلَدِهَا اللِّبَأَ) ، وَإِنْ وَجَدَتْ مُرْضِعَةً أُخْرَى؛ لِأَنَّهُ لَا يَعِيشُ أَوْ لَا يَقْوَى غَالِبًا إلَّا بِهِ وَهُوَ اللَّبَنُ النَّازِلُ أَوَّلَ الْوِلَادَةِ

Fasal: Diwajibkan ke atas ibu untuk menyusukan anaknya dengan susu awal (susu kolestrum) sekalipun dia menjumpai ibu susuan yang lain (untuk anaknya). Hal demikian kerana kebiasaannya seorang bayi tidak mampu hidup dan tidak cukup khasiat tanpa susu tersebut iaitu susu yang keluar ketika awal kelahiran. (Rujuk Zakariyya al-Ansari, Asna al-Mathalib, 3/445).

Malahan kajian sains moden pada hari ini turut membuktikan bahawa susu pada fasa ini sangat baik untuk memberi antibodi yang menyokong sistem imun badan bayi dalam minggu pertama kehidupan mereka. Bahkan, susu kolostrum juga mengandungi protein yang sangat tinggi nilainya kerana ia memenuhi keperluan nutrisi pemakanan bayi seperti daya ketahanan tubuh, gula, dan juga lemak.[2]

KESIMPULAN

Proses penyusuan ialah pilihan ke atas ibu dan tiada siapa pun yang boleh memaksanya sekiranya dia enggan menyusukan anaknya. Namun, seorang ibu sangat digalakkan menyusukan anaknya kerana susu ibu adalah yang paling terbaik dan kasih sayang ibu terhadap anaknya lebih tulus.

Demikian juga dalam beberapa keadaan seorang ibu wajib menyusukan anaknya sekiranya dikhuari mendatangkan mudarat kepada nyawa atau kesihatan anak tersebut iaitu khususnya apabila bayi tersebut enggan meminum susu selain daripada susu ibunya.

Wallahu a’lam.

 

[1]Kolostrum yang juga telah dikenali sebagai “susu pertama”, “cecair emas” atau “susu imun” bewarna jernih, melekit, cecair pekat yang dihasilkan oleh kelenjar susu ibu selepas hari pertama kelahiran bayi. Ia dihasilkan dalam jumlah yang sangat kecil untuk empat hari pertama (Apa Itu Kolostrum? | Vitamin Sihat (healthyvitagarden.com))

[2] Colostrum – its Composition, Benefits as a Nutraceutical – A Review. (foodandnutritionjournal.org)


طباعة   البريد الإلكتروني
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+