اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI SIRI 652: HUKUM TERKENTUT DI DALAM SOLAT JUMAAT (EDISI KEMAS KINI)

 

Soalan:

Salam SS mufti, apakah hukum jika ketika solat Jumaat saya bermufaraqah pada tasyahhud akhir sebelum imam memberi salam disebabkan ingin membuang angin?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Menunaikan solat Jumaat merupakan satu kewajipan bagi setiap Muslim yang lelaki, baligh, beraqal, merdeka, bermukim, sihat dan tidak uzur. Kefarduan solat Jumaat ini telah bermula di Makkah lagi, sebelum daripada peristiwa hijrah berlaku.  

Berkaitan soalan di atas, ia melibatkan kekhusyukan seseorang itu di dalam solat. Ini kerana khusyuk dituntut dalam setiap pergerakan kita di dalam solat kerana solat yang didirikan dalam keadaan tidak khusyuk daripada awal solat sehingga ke akhir solat adalah batal. Lihat Fiqh al-Manhaji (1/157). Untuk itu, terdapat sebuah hadith yang melarang kita untuk mengerjakan solat dalam keadaan makanan telah terhidang dan juga ketika menahan diri kita daripada dua perkara yang jijik iaitu air kecil dan air besar.

Daripada Aisyah R.Anha, beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلَا هُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ

Maksudnya: “Tiada (kesempurnaan) solat ketika makanan sudah dihidang dan ketika seseorang itu menahan dua perkara yang jijik (air kecil dan air besar).”

Riwayat Muslim (560)

Kata ulama, hukum yang terdapat di dalam hadith ini juga terpakai kepada orang yang menahan kentut kerana seseorang yang bersolat dalam keadaan menahan kentut tidak mungkin dapat menunaikan hak solat seperti khusyuk dan kehadiran hati. Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/324). Maka, tidak berdosa seseorang yang terkentut ketika solat Jumaat kemudian berwuduk dan kembali solat mengikut jemaah kerana keuzurannya. Jika dia sempat satu rakaat bersama dengan Imam, maka dia mendapat Jumaat. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الصَّلاَةِ، فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلاَةَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang sempat mendapat satu rakaat daripada solat maka dia dapat solat itu.”

Riwayat Bukhari (580), Muslim (607), Tirmidzi (524) dan lain-lain.

Daripda Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الْجُمُعَةِ رَكْعَةً فَلْيُصَلِّ إِلَيْهَا أُخْرَى

Maksudnya: “Barangsiapa yang sempat satu rakaat (bersama imam) dalam solat Jumaat maka dia tambah satu rakaat lagi.”

Riwayat Hakim (1708)

Jika tidak sempat satu rakaat, maka dia perlu menambah 4 rakaat solat Zuhur. Ini kerana solat Jumaat wajib secara berjemaah.

Daripada Tariq bin Syihab RA, Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ

Maksudnya: “Jumaat itu adalah hak wajib setiap Muslim lelaki dalam keadaan berjemaah.”

Riwayat Abu Daud (1067)

Timbul persoalan, apakah hukum seseorang yang sudah berada pada tahiyyat akhir solat Jumaat sebagai makmum berasa sakit perut kerana menahan air besar atau angin untuk mufaraqah daripada Imam, menghabiskan solat sendiri lalu menunaikan hajatnya?

Jawapannya adalah sah solat Jumaatnya kerana dia sempat mendapat satu rakaat, yakni rakaat pertama dengan Imam.

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu` (4/582): “Jika seseorang solat bersama Imam dengan satu rakaat dalam solat Jumaat kemudian berpisah (mufaraqah) daripada Imam itu kerana uzur atau selainnya, maka kami katakan tiada batal solatnya dengan mufaraqah, kerana telah sempurna Jumaatnya, seperti mana jika Imam berhadas dan ini tiada khilaf padanya.”

Terdapat jua pendapat yang dinisbahkan kepada Imam Ibn Hajar al-Haitami, bahawa jika seseorang itu sempat mendapat rakaat kedua solat Jumaat, maka wajib baginya untuk solat bersama Imam sehingga salam. Jika dia mufaraqah maka dia tidak mendapat solat Jumaat. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (hal.339).

Kami cenderung dengan pendapat yang pertama bahawa solat Jumaatnya adalah sah kerana dia sudah mendapat satu rakaat bersama Imam. Semoga penerangan ini dapat memberikan kebaikan kepada kita semua.

Wallahua’lam.