اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LI AL-HAJ SIRI KE-31 : HUKUM HAJI SEORANG WANITA SECARA BERSENDIRIAN

SOALAN

Adakah wajib haji bagi seorang wanita yang menunaikan haji secara bersendirian?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Secara umumnya seorang wanita adalah diwajibkan untuk menunaikan fardhu haji sekiranya dia berkemampuan. Hal ini berdasarkan umumnya firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali Imran: 97)

Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat halangan-halangan yang membawa kepada keadaan tidak berkemampuan terhadap seseorang, maka gugurlah kewajipan tersebut ke atasnya.

Berdasarkan persoalan di atas, tidak wajib bagi wanita tersebut untuk menunaikan haji dan dia disyaratkan pergi bersama-sama dengan suami atau mahramnya atau perempuan yang tsiqah iaitu yang dipercayai sekurang-kurangnya dua orang. Akan tetapi harus baginya pergi dengan seorang perempuan tsiqah atau seorang diri sekiranya dia yakin terjamin keselamatan dirinya.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُسَافِرَ مَسِيرَةَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ لَيْسَ مَعَهَا حُرْمَةٌ

Maksudnya: “Tidak dihalalkan bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat melakukan perjalanan jauh (safar) sejauh perjalanan sehari semalam tanpa bersamanya mahram”

Riwayat Bukhari (1088)

 

KESIMPULAN

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin.