اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-249: HADITH MAWDHU’ (PALSU)

 

 

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan hadith palsu?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Menyandarkan sesuatu perkara kepada Rasulullah SAW yang mana perkara tersebut bukannya daripada Nabi SAW adalah dilarang. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW adalah tempatnya di neraka. Banyak hadith-hadith berkaitan larangan berdusta di atas nama Nabi SAW. Antaranya:

 

  • Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (107)]

 

  • Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيَّ كَذِبًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang sengaja berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (108)]

 

  • Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ يَقُلْ عَلَيَّ مَا لَمْ أَقُلْ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata di atas namaku yang mana aku tidak perah mengucapkannya maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (109)]

 

  • Nabi SAW bersabda:

 

وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (110)]

 

  • Nabi SAW bersabda:

 

لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجِ النَّارَ

Maksudnya: “Janganlah kamu berdusta di atas namaku, kerana ia iaitu yang berdusta di atas namaku tempatnya adalah neraka. [Riwayat al-Bukhari (106) dan Muslim (1)]

 

  • Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيْثٍ يُرَىْ أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِيْنَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyampaikan daripadaku sesuatu hadith yang pada sangkaannya adalah dusta maka dia adalah termasuk dalam kalangan pendusta.” [Lihat: Muqaddimah Sahih Muslim]

 

Berdasarkan beberapa hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa ancaman yang cukup keras terhadap pendusta-pendusta terhadap hadith Nabi SAW. Untuk itu, dapat kita simpulkan bahawa hukum berdusta di atas nama Nabi SAW adalah haram secara jelas berdasarkan nas-nas di atas.

 

Sejarah Pemalsuan Atau Pendustaan Terhadap Hadith Nabi SAW

Tidak diketahui daripada kalangan sahabat Nabi SAW yang berdusta di atas nama Nabi SAW. Ini kerana, Rasulullah SAW merupakan insan yang mulia dan agung untuk didustakan di atas nama Baginda SAW. Telah diriwayatkan lebih daripada seratus orang sahabat Nabi SAW akan hadith yang menceritakan berkaitan ancaman terhadap orang yang berdusta ini dengan neraka sebagai nasihat (peringatan) buat umat ini (Nabi Muhammad SAW) dan juga menjauhkan mereka daripada berdusta di atas nama Rasulullah SAW.

Menurut ahli sejarah bermulanya pemalsuan hadith Nabi SAW adalah apabila berlakunya fitnah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman bin Affan RA. Ini kerana, pada waktu itu masuklah golongan-golongan al-Ahwa’ (golongan yang mengikut hawa nafsu) apabila berlakunya perpecahan dan perselisihan yang membawa kepada pendustaan terhadap hadith Nabi SAW agar hadith yang didustakan itu bertepatan dengan tuntutan hawa nafsunya.

[Lihat: al-Wadha’ Fi al-Hadith al-Nabawi, 19-20]

 

Kedudukan Dan Definisi Hadith Palsu

Kedudukan hadith palsu adalah seburuk-buruk hadith dhaif sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama’ seperti:

 

  • Imam Ibn Salah (643 H) berkata:

 

اعْلَمْ أَنَّ الْحَدِيثَ الْمَوْضُوعَ شَرُّ الْأَحَادِيثِ الضَّعِيفَةِ

Maksudnya: “Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya hadith palsu adalah termasuk di dalam hadith-hadith dhaif yang paling buruk.” [Lihat: al-Muqaddimah, 98]

 

  • Imam al-Nawawi (676 H) juga berkata:

 

الْمَوْضُوعُ: هُوَ الْمُخْتَلَقُ الْمَصْنُوعُ، وَشَرُّ الضَّعِيفِ

Maksudnya: “Hadith palsu adalah hadith yang direka atau dicipta dan ia adalah seburuk-buruk hadith dhaif.” [Lihat: Tadrib al-Rawi, 323/1]

 

Sebelum kita membincangkan secara lebih mendalam berkaitan hadith palsu ini maka ada baiknya kita memahami terlebih dahulu pengertian atau definisi hadith palsu ini. Kata Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya yang masyhur hadith palsu adalah:

 

وَالكَذِبُ المُخْتَلَقُ المَصْنُوعُ * عَلَى النَّبِيِّ فَذَلِكَ المَوْضُوْعُ

Pendustaan yang direka dan dicipta

Di  atas nama Nabi SAW maka itulah yang dinamakan [Hadith Mawdhu’]

 

Menurut Imam al-Baiquniy, hadith mawdhu’ atau palsu ini ialah hadith dusta yang direka atau dicipta dan ia disandarkan kepada Nabi SAW. Di samping itu, menurut Syeikh Sayyid Abd al-Majid al-Ghouri di dalam kitabnya menyatakan bahawa hadith palsu adalah:

 

“Hadith yang tidak datang daripada Nabi SAW sama ada ia berbentuk ucapan, perbuatan, taqrir dan ia disandarkan kepada Nabi SAW secara tersalah, sengaja, kejahilan dan juga muslihat.” [Lihat: Mu’jam al-Musthalahat al-Hadithiyyah, 798]

 

Untuk itu, jelaslah kepada kita bahawa hadith palsu ini adalah hadith yang direka atau dicipta lalu disandarkan ia di atas nama Nabi SAW secara dusta sama ada berbentuk ucapan, perbuatan dan iqrar Nabi SAW sedangkan ia tidak pernah datang daripada Nabi SAW.

 

Hukum Meriwayatkan Hadith Palsu

Para ulama’ menyatakan bahawa tidak dibolehkan atau haram bagi kita meriwayatkan hadith palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya. Ini merupakan pendapat Imam Ibn Salah, Imam al-Nawawi, al-Suyuthi (911 H) dan ramai lagi termasuk ulama’-ulama’ hadith masa kini. Hukum ini terbina berdasarkan hadith-hadith berkaitan larangan keras Rasulullah SAW terhadap pendustaan di atas nama Baginda SAW. Akan tetapi, hukum ini tidak terpakai kepada hadith dhaif kerana ia boleh diriwayatkan di dalam perkara fadhail apabila menepati syarat-syaratnya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dan kami sudah pun menjawabnya pada artikel yang lepas di bawah tajuk hadith dhaif.

 

Ciri-Ciri Atau Tanda-Tanda Hadith Palsu

Perkara ini dapat dikesan sama ada pada sanad dan juga matan hadith dan kami nukilkan daripada kitab Ulum al-Hadith oleh Prof. Dr, Muhammad Abu Laith iaitu:

 

Pada Sanad:

  • Iqrar atau pengakuan daripada perawi tersebut bahawa dia telah mencipta hadith tersebut.
  • Terbukti daripada pengakuannya bahawa dia telah berdusta. Contohnya seperti dia berkata, bahawa dia telah mendengar hadith ini daripada syeikh sekian di tempat sekian, sedangkan syeikh tersebut diketahui tidak pernah masuk atau sampai ke tempat tersebut.
  • Perawi tersebut terkenal sebagai seorang pemalsu hadith Nabi SAW.

 

Pada Matan:

  • Teks hadith bercanggah dengan al-Quran, usul-usul dan kaedah-kaedah agama.
  • Teks hadith bercanggah dengan teks hadith sahih yang lain.
  • Teks hadith bercanggah ijma’ para sahabat R.anhum.
  • Bertentangan dengan naluri, penyaksian dan ilmu sains (penemuan ilmiah moden yang sahih dan tidak bertentangan dengan al-Quran, hadith dan sumber-sumber utama di dalam agama).
  • Teks tersebut tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar.
  • Kelemahan pada susunan lafaz dan juga makna.
  • Terkandung di dalam teks hadith perkara-perkara yang dilihat melampau yang mustahil bagi seorang Nabi SAW mengucapkan kata-kata tersebut.
  • Terkandung di dalam teks hadith perkara-perkara bid’ah yang diada-adakan dan tidak mempunyai asal serta perawi tersebut termasuk di dalam orang yang menyeru kepadanya.

 

Tujuan Dicipta Hadith Palsu

Antara tujuan hadith palsu ini direka atau dicipta adalah:

  • Menyokong golongan-golongan tertentu termasuk golongan agama (aqidah), mazhab atau parti politik.
  • Dendam terhadap agama Islam dan juga umat Islam.
  • Menjauhkan manusia daripada agama.
  • Sifat keinginan terlalu tinggi untuk membawa merubah manusia ke arah agama.
  • Menginginkan habuan tertentu.

 

Istilah-Istilah Hadith Palsu

Di sini kami nukilkan kembali sebahagian artikel yang pernah kami tulis dahulu berkaitan istilah-istilah hadith palsu. Antara istilah yang biasa digunakan oleh para ulama’ dalam menyatakan sesuatu hukum terhadap sesebuah hadith adalah:

 

  • Al-Mawdhu’ (الموضوع): Istilah ini adalah yang paling masyhur dan sering digunakan.
  • Tiada asal baginya (لا أصل له): Di dalam kitab Tadrib al-Rawi “tiada asal baginya” bermaksud hadith yang tidak ada sanad baginya. [Lihat: Tadrib al-Rawi, 162/1]
  • Bathil (الباطل): Sebahagian ulama’ juga menggunakan istilah “bathil” yang merujuk kepada makna palsu.
  • Tiada sanad baginya (لا إسناد له): Kadang-kadang ditambah sedikit pada istilah ini iaitu “aku tidak ketahui baginya sanad (لا أعرف له إسنادا).” Menurut Ibn ‘Irraq (‘Arraq), jika para huffaz al-Hadith menyatakan pada hukum sesebuah hadith dengan menggunakan istilah “aku tidak mengetahuinya (لا أعرفه) atau tiada asal baginya (لا أصل له) maka telah cukup dalam menghukum sesebuah hadith.” [Lihat: Tanzih al-Syariah. 8/1]
  • Tidak sampai (kepada Nabi SAW) (ليس مرفوعا): Iaitu apabila sesebuah hadith dihukum dengan istilah ini maka ia menunjukkan bahawa sanadnya terputus atau tidak sampai kepada Nabi SAW.
  • Tidak diketahui dengan lafaz ini (لا يعرف بهذا اللفظ): Ini juga merupakan salah satu istilah yang digunakan dalam menyatakan bahawa hadith ini tidak sahih.

 

Kitab-Kitab Berkaitan Hadith Palsu

Antara kitab-kitab yang mengumpulkan dan menjelaskan berkaitan hadith-hadith palsu ini adalah:

 

  • Tazkirah al-Mawdhu’at oleh al-Hafiz Ibn Thahir al-Maqdisi (507 H)
  • Al-Mawdhu’at Min al-Ahadith al-Marfu’at oleh Imam al-Juzaqaniy (543 H)
  • Al-Mawdhu’at oleh Imam Ibn al-Jauzi (597 H)
  • Al-Manar al-Munif oleh Imam Ibn al-Qayyim (751 H)
  • Al-Maqasid al-Hasanah oleh Imam al-Sakhawi (902 H)
  • Al-La’aali al-Masnu’ah oleh Imam al-Suyuthi (911 H)
  • Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah oleh Imam Ibn ‘Irraq (‘Arraq) al-Kinaniy (963 H)
  • Al-Asrar al-Marfua’ah dan al-Masnu’ Fi Ma’rifah al-Hadith al-Mawdhu’ oleh Syeikh Mulla Ali al-Qari (1014 H)
  • Kasyf al-Khafa’ Wa Muzil al-Ilbas oleh Imam al-‘Ajlouniy (1126 H)
  • Al-Fawaid al-Majmu’ah Fi al-Ahadith al-Mawdhu’ah oleh Imam al-Syaukani (1255 H)
  • Al-Athar al-Marfu’ah Fi al-Ahadith al-Mawdhu’ah oleh Syeikh Abd al-Hayy al-Laknawi al-Hindi (1304 H)

 

Tanggungjawab Dan Peranan Kita

Sebagai seorang mukmin yang cinta kepada Rasulullah SAW seharusnya bagi kita menjaga nama dan batang tubuh Rasulullah SAW daripada dicemari dengan pendustaan dan pemalsuan golongan yang tidak bertanggungjawab. Ini merupakan bukti cinta dan kasih kita kepada Rasulullah SAW sebagaimana di dalam sebuah hadith:

 

  • Sabda Nabi SAW

 

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia kasih kepadaku lebih daripada dia kasih kepada ibubapanya, anakya dan manusia keseluruhannya.” [Riwayat al-Bukhari (15)]

 

Di samping itu juga, menjadi kewajipan kita semua sebelum membaca, menulis, mengajar, menyampai atau menyebarkan sesebuah hadith Nabi SAW perlulah dikenalpasti terlebih dahulu akan sumber dan status (hukum) hadith tersebut kerana bimbang dengan tidak menyatakan sumber dan hukum hadith akan terjerumus ke dalam ancaman Nabi SAW tersebut. Dengan cara ini, ia akan menjaga kesucian agama ini dan juga penyelewengan golongan-golongan yang ingin menghancurkan Islam.

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith mawdhu’ (palsu) adalah merupakan peringkat hadith dhaif yang paling buruk sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Tambahan pula, hukum meriwayatkan hadith palsu adalah haram melainkan bagi menyatakan akan kepalsuannya dan akibatnya akan dicampakkan ke dalam neraka di akhirat kelak. Akhirnya, semoga dengan perkongsian yang ringkas ini dapat memberi sedikit kefahaman kepada kita terhadap apakah yang dimaksudkan dengan hadith palsu serta bagaimanakah cara ingin mengenalinya. Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta menjaga lidah kita daripada melakukan sebarang pendustaan di atas nama Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam