اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-375: SIFAT BACAAN NABI SAW DI DALAM SOLAT JUMAAT

 

 

ih375_15291523.png

 

 

Soalan: Apakah terdapat bacaan yang khusus dibaca oleh Nabi SAW ketika solat Jumaat?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hari Jumaat merupakan hari yang mulia di sisi umat Islam. Ini kerana, terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan yang ada padanya. Berdasarkan soalan di atas, suka bagi kami untuk mendatangkan beberapa teks hadith berkaitan bacaan Nabi SAW di dalam solat Jumaat. Antaranya:

 

  • Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ، وَفِي الْجُمُعَةِ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى، وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW membaca (di dalam solat) pada hari Jumaat dan hari Raya “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى” dan “وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ.” [Riwayat Muslim (878)]

 

  • Daripada Ibn Abi Rafi’ berkata:

صَلَّى بِنَا أَبُو هُرَيْرَةَ، يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَقَرَأَ بِسُورَةِ الْجُمُعَةِ، وَفِي الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ: إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ، قَالَ: فَأَدْرَكْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ حِينَ انْصَرَفَ، فَقُلْتُ لَهُ: إِنَّكَ قَرَأْتَ بِسُورَتَيْنِ كَانَ عَلِيٌّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقْرَأُ بِهِمَا بِالْكُوفَةِ، قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ، «فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ بِهِمَا يَوْمَ الْجُمُعَة

Maksudnya: “Abu Hurairah telah mengimamkan kami pada hari Jumaat dan dia membaca surah al-Jum’ah dan pada rakaat terakhir “إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ”. Lalu aku mendapatkan Abu Hurairah ketika dia ingin pergi dan aku berkata kepadanya: Sesunggunhnya kamu telah membaca dua surah ini sepertimana Ali RA juga membacanya ketika di Kufah. Kata Abu Hurairah: Sesungguhnya aku pernah mendengar Nabi SAW membaca keduanya (kedua surah tersebut) pada hari Jumaat.” [Riwayat Abu Daud (1124)]

 

Syeikh al-Mubarakfuri berkata, para ulama menjadikan hadith-hadith yang membicarakan berkaitan sifat bacaan Nabi SAW ini sebagai dalil bahawa sunat (sesekali) bagi imam untuk membaca ketika solat Jumaat dalam rakaat pertama surah al-Jum’ah dan rakaat yang kedua al-Munafiqin atau pada rakaat pertama surah al-A’la dan pada rakaat kedua al-Ghashiyah atau pada rakaat pertama surah al-Jum’ah dan pada rakaat kedua al-Ghashiyah.

Kesemua hadith yang membicarakan berkaitan sifat bacaan Nabi SAW adalah thabit dan tidak ada cara untuk mendahulukan di antara satu sama lain melainkan sebahagian hadith menunjukkan bahawa Nabi SAW sering melakukannya atau membacanya (melebihi bacaan-bacaan yang lain). [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 3/44]

Imam Abu Hanifah serta ashabnya menyatakan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya daripada al-Hasan al-Basri bahawa imam boleh membaca apa sahaja di dalam solatnya (tanpa mengkhususkan pada bacaan tertentu). Selain itu, Ibn ‘Uyainah menyatakan makruh bagi seseorang yang sengaja membaca di dalam solat Jumaatnya dengan apa yang hanya dibaca oleh Nabi SAW (membaca surah yang sama sahaja). Ini kerana, orang tersebut telah menjadikan perkara tersebut sebagai satu sunnah sedangkan ia tidak sedemikian. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 3/333]

Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa sunat bagi imam sesekali untuk membaca surah-surah ini di dalam solat Jumaat. Ini kerana, Nabi SAW tidak melakukannya atau membacanya pada setiap minggu. Di samping itu juga, imam juga boleh membaca surah-surah yang lain juga. Hal ini amat penting kerana bimbang masyarakat akan tersalah faham dan menganggapnya ia adalah wajib untuk membaca surah tersebut sekiranya ia dilakukan setiap mingu. Tambahan pula, ia bergantung atau melihat kepada fiqh imam itu sendiri kerana imam yang akan membuat pilihan dengan meraikan orang-orang yang solat dibelakangnya. Ini kerana, di dalam sebuah hadith, Nabi SAW telah memberi panduan bagi setiap orang yang ingin solat bersama manusia. Antaranya adalah:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِلنَّاسِ، فَلْيُخَفِّفْ، فَإِنَّ مِنْهُمُ الضَّعِيفَ وَالسَّقِيمَ وَالكَبِيرَ، وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِنَفْسِهِ فَلْيُطَوِّلْ مَا شَاءَ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu solat bersama manusia maka ringankanlah (pendekkan bacaan). Ini kerana, ada di antara mereka orang yang lemah, sakit dan tua. Dan jika salah seorang daripada kamu solat secara bersendirian maka panjangkanlah mengikut kemahuannya.” [Riwayat al-Bukhari (703)]

 

Penutup

Kesimpulannya, mengikut atau mengamalkan sunnah Nabi SAW adalah satu tuntutan di dalam agama. Akhirnya, marilah sama-sama kita melatih diri kita untuk sentiasa melaksanakan solat lima waktu secara berjemaah di masjid-masjid dan semoga Allah SWT menerima solat-solat kita terutamanya di dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini. Amin.

 

Wallahua’lam